Sunday 30 April 2017

FAKTA PENYELESAIAN KES HUTANG 1 MDB-IPIC.

Isu 1 Malaysian Development Berhad (1 MDB) awalnya dilihat menjadi senjata ampuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan PM Datuk Seri Najib Tun Razak. Rakyat agak termakan dengan hasutan Mahathir  mengenainya. Bahkan isu itu jugalah yang Mahathir gunakan untuk memujuk Tan Sri Muhyiddin Yassin bergabung dengannya menjatuhkan Najib.

Muhyiddin terpengaruh dengan hasutan Mahathir bahkan mereka yakin kononnya Najib akan didakwa oleh Peguam Negara dan dibicarakan di mahkamah. Sarawak Report (ditaja Mahathir) paling galak mengeksplotitasi isu 1 MDB melalui postingnya untuk memfitnah Najib dan negara. Bahkan kebanyakkan maklumat yang digunakan oleh Mahathir dan Muhiyiddin adalah merupakan kospirasi serta fitnah Sarawak Report.

Tindakan Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat untuk menyita aset milik Riza Aziz (anak tiri Najib) dan Jho Low cuba dikaitkan dengan Najib dan 1 MDB. Hakikatnya hingga ke hari ini saman tersebut masih belum dilaksanakan dan sebenarnya 1 MDB sendiri bukan pihak yang disaman DOJ.

Sebab itu apabila International Petroleum Investment Company (IPIC) membawa pertikaian mereka dengan 1 MDB ke Mahkamah Timbangtara, Mahathir/pembangkang sekali lagi merasakan mereka ada isu baru untuk memfitnah Najib. 

Tetapi harapan Mahathir/pembangkang meleset apabila IPIC-1MDB membuat penyelesaian luar Mahkamah Timbangtara terhadap kes yang melibatkan kedua-dua pihak ini. Mahathir/pembangkang kecewa dan cuba untuk memutarbelitkan beberapa fakta penyelesaian luar Mahkamah Timbangtara ini dengan cerita bohong yang tidak berasas.

Fitnah terbaru yang pembangkang termasuk Tun Mahathir dan Muhyiddin cuba mainkan akibat penyelesaian luar mahkamah ini, kononnya 1MDB dan kerajaan Malaysia perlu membayar jumlah hutang sebanyak RM25.18 bilion (IPIC RM5.28 bilion + Bon RM15.4 bilion + Faedah Bon RM4.5 bilion).

Di samping itu pembangkang juga mendakwa bahawa penyelesaian luar Mahkamah Timbangtara telah membuktikan 1MDB telah tersalah bayar kepada entiti yang tiada kaitan dengan IPIC. Hakikatnya jaminan IPIC ke atas bon 1MDB cukup jelas kerana IPIC perlu membayar faedah bon tersebut apabila 1MDB berkeras tidak mahu membayar faedah bon tersebut pada tahun 2016.

Justeru persetujuan penyelesaian pertikaian 1MDB-IPIC akan membantu penyelesaian hutang sebanyak AS$2.5 bilion dan bukan RM25.18 bilion seperti didakwa pembangkang, tentang hutang 1MDB tanpa mengguna sebarang dana tambahan daripada pihak kerajaan.

DAP CABARAN UTAMA BN

DAP yang mengetuai Pakatan Harapan adalah cabaran utama yang perlu dihadapi oleh Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO dalam PRU ke-14 nanti.

Ini kerana DAP terbukti lebih berkuasa berbanding parti-parti lain dalam Pakatan Harapan yang dilihat hanya menjadi 'pak turut'.

Yang mencabar BN bukan PKR,PPBM atau PAN kerana parti-parti itu lahir daripada strategi pecah-belah yang dalangnya adalah satu sahaja parti konsisten sejak awal iaitu DAP.

Maka generasi kita yang dibina kerajaan BN dengan apa sahaja yang diterima dan dicapai kekal diuji lagi pada PRU akan datang. Walaupun nampak banyak parti, tetapi sebenarnya adalah DAP. 

DAP terbukti mempunyai kuasa dominan dalam Pakatan Harapan termasuk dari segi jumlah kerusi di Parlimen sehingga menyebabkan yang lain terpaksa patuh kepada kepada parti dikuasai Lim Kit Siang itu.

Rakyat diingatkan supaya membuat keputusan tepat pada pilihan raya akan datang sebagai cara menghargai peluang 'hidup bernegara dalam kepelbagaian kaum' secara harmoni yang dikecapi sekarang.

Nikmat itu adalah hasil usaha BN yang diterapkan sejak zaman Parti Perikatan dan UMNO pada awal penubuhannya untuk membantu orang Melayu.

Pembentukan orde baharu politik akan muncul sekiranya PAS memutuskan hubungan dengan atau tahaluf siyasi dengan PKR yang menganggotai Pakatan Harapan diketuai DAP.

PAS sebelum ini telah memutuskan hubungan dengan DAP, PAN dan PPBM yang mana menerusi orde baharu politik itu, parti tersebut akan bergerak ke arah membentuk kuasa ketiga.

Agak sukar untuk kita meramalkan apa boleh berlaku, tetapi itu merupakan tamparan kepada Pakatan Harapan yang sekali lagi membuktikan bahawa politik yang berasaskan kebencian bukan formula berkesan untuk memberi pembelaan kepada rakyat.

Perkara ini juga telah kita lihat berkali-kali dan ini satu lagi manifestasi bahawa formula Pakatan Harapan adalah rapuh dan sesuatu yang harus kita elakkan.


DISKRIMINASI CAUVINIS CINA

Walaupun telah banyak kali dibangkitkan isu diskrimanasi majikan sektor swasta terhadap golongan muda bumiputera masih ketara. Pelbagai alasan digunakan bagi mewajarkan kecenderungan untuk mengenepikan pemohonan pekerjaan daripada kalangan bumiputera.

Salah satu kriteria yang masih digunakan secara terbuka mahupun tertutup adalah kemahiran dalam bahasa Mandarin. Lebih menyedihkan, syarikat yang mendapat kontrak dan bisnes daripada kerajaan turut berbuat demikian. Sudah sampai masanya kerajaan perlu campur tangan menangani perkara tersebut dengan formula terbaik sebelum keadaan lebih parah.

ZAIRIL BOHONG?

Orang ramai sedang menanti bilakah Ahli Parlimen DAP, Zairil Khir Johari dan aktivis parti itu, Dyana Sofya mahu membuat aduan polis berhubung foto intim mereka menular di media sosial.

Setakat ini kedua-duanya belum berbuat demikian walaupun sebelum ini Zairil mendakwa foto itu palsu dan mahu bertindak.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengesahkan pihak polis tidak menerima sebarang aduan daripada Zairil mahupun Dyana.

Banyak pihak tertanya-tanya apakah foto itu sebenarnya tulen sehingga mereka berdua tidak mahu siasatan dijalankan. Dyana dalam reaksinya tidak menafikan foto intim itu dan sekadar merungut.

Persoalan timbul sekiranya perbuatan sumbang yang terakam menerusi foto itu benar, bererti Zairil berbohong untuk selamatkan dirinya. Maka beliau perlu memohon maaf bukan sahaja kepada UMNO malah rakyat Malaysia.

ISU RAFIZI-ADAM : BANGKAI GAJAH TIDAK BOLEH DITUTUP DENGAN NYIRU.

Macam tidak percaya apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Ketua Angkatan Muda PKR Ampang, Adam Rosly yang terpalit skandal rasuah, sebagai bekas ahli PAS.

Banyak pihak mentafsirkan Rafizi mahu meletakkan beban kesalahan kepada PAS yang kononnya menjadi punca kepada tabiat salah laku Adam. Aneh, kekayaan yang diperolehi Adam ketika bersama PKR, PAS pula yang dibusukkan.

Semudah itu beliau mahu melepaskan tanggungjawab PKR terhadap Adam, 28 tahun, yang didakwa mempunyai kekayaan luar biasa dan didakwa di mahkamah baru-baru ini.

Pada hemat kami, biar apa pun helah Rafizi, PKR tidak boleh lepas tangan dan tidak akan dapat mencuci kekotoran PKR Selangor pimpinan Menteri Besar, Azmin Ali. 

Komen dangkal Rafizi itu seperti cuba menutup misteri daripada kes Adam yang bakal terbongkar. Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

LIM KIT SIANG: SINGA ATAU TIKUS?

Bekas Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan pertama selepas beliau dipanggil memberi keterangan di hadapan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat skandal kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam aktiviti spekulasi mata wang asing pada awal 1990-an. Anwar tidak mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin sebagaimana puluhan dakwaan berhubung kerugian tersebut sebelum ini. Beliau hanya menuding jari kepada bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Nor Mohamed Yakcop.

Itulah Anwar, sentiasa berubah-ubah untuk menjaga kepentingan politiknya. Namun apa yang jelas daripada kenyataan beliau, Anwar mengesahkan bahawa sememangnya berlaku kerugian besar iaitu antara RM15 bilion dan RM30 bilion.

Banyak pihak tidak sabar mahu menanti penampilan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Sebelum berbaik dengan Tun Mahathir, beliau sentiasa lantang mendesak agar dijalankan siasatan ke atas skandal tersebut. Malah DAP mahu memenjarakan Tun Mahathir jika mereka berkuasa. Tunggulah sama ada Kit Siang benar-benar singa atau tikus?

HADI DAN MUSUH ISLAM

Mukhtamar Agung PAS memberi isyarat jelas bahawa parti itu meletakkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP sebagai musuh utama pada PRU Ke 14.

Penegasan Presidennya, Hadi Awang yang menyifatkan DAP dan sekutunya sebagai ancaman kepada Islam, cukup keras. Ucapan perasmian beliau kelmarin juga hampir sama nadanya - menyerang balas Pakatan Harapan. 

Kelantangan Hadi itu dilihat sebagai semboyan perang buat ahli-ahli dan para penyokong menjelang PRU-14 nanti.

Lebih-lebih lagi Hadi baru sahaja dipilih semula sebagai Presiden PAS (menang tanpa bertanding) dan mencapai kemenang moral selepas pembentangan RUU 335 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bukan sahaja DAP, PAN dan PPBM yang diisytiharkan musuh, Dewan Ulama dan Dewan Pemuda turut meluluskan usul menamatkan hubungan dengan PKR.

Muktamar itu juga menyaksikan para perwakilan PAS membidas kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng dan MB Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Perkembangan terbaharu ini petanda buruk buat Pakatan Harapan. Segala penghinaan, permusuhan dan pengkhianatan oleh Pakatan Harapan diketuai pemimpin de facto DAP, Lim Kit Siang terhadap PAS ditentang habis-habisan, yang akan mencapai kemuncaknya pada PRU-14. Jangan diambil mudah Hadi dan PAS, senyuman boleh bertukar amukan.

Saturday 29 April 2017

MELAYU PULAU PINANG DILAYAN BURUK.

Layanan buruk yang ditunjukkan oleh DAP dan PKR terhadap orang Melayu dan umat Islam selama dua penggal membentuk kerajaan negeri memerintah Pulau Pinang wajar dijadikan panduan dalam mempertimbangkan usul memutuskan tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR.

Malah, kedua-dua parti itu tidak layak langsung untuk bercakap mengenai soal 'Menyelamatkan Malaysia' seperti yang dicanang bersama Parti Cap Bunga (PPBM) pimpinan Tun Mahathir, kebelakangan ini.

Perasaan geram dengan nasib orang Melayu dan umat Islam di negeri tersebut turut membuka satu demi satu pekung yang melanda negeri itu termasuk sikap Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang didakwa membisu berhubung nasib 300 nelayan yang hilang punca pendapatan utama akibat kedegilan kerajaan DAP Pulau Pinang menambak laut atas alasan mengurangkan kesesakan jalan raya.

Penambakan itu menyebabkan munculnya tiga pulau baharu dan sebahagian daripada nelayan yang terjejas berada dalam kawasan Abdul Malik sendiri. Tetapi Abdul Malik tidak berani kata apa-apa seolah-olah lupa bahawa nelayan-nelayan itulah yang mengundinya dalam PRU yang lalu.

Kalau nak cerita, macam-macam boleh cerita terutamanya kos sara hidup, tanah orang Melayu dan peluang pekerjaan. Surcaj air pula nak dinaikan dalam masa terdekat dan kenyataan kononnya mesra rakyat seperti dicanang kerajaan negeri diketuai DAP selama ini hanya pembohongan semata-mata.

Apabila ada pihak menyuarakan perkara tersebut demi kepentingan rakyat, mereka dituduh menentang kemajuan dan pembangunan, sehingga ada yang dituduh rasis (terutama ADUN dari UMNO). Hakikat sebenar mereka semua hanya mahu kerajaan DAP Pulau Pinang tidak menafikan masalah yang timbul dan mengambil langkah menyelesaikannya.

Kerajaan DAP Pulau Pinang juga didakwa langsung tidak menjaga kepentingan Islam apabila mereka bertindak campur tangan dalam penguatkuasaan fatwa di negeri itu.

Hal ehwal orang Islam, apa kena mengena dengan kerajaan negeri? Sepatutnya biarlah Majlis Fatwa jadi badan bebas dan apa yang dikesalkan, Abdul Malik selaku exco agama yang ada peluang untuk menegur dan membela agamanya sendiri hanya 'buat remeh' perkara tersebut.


DESAKAN RAKYAT: KIT SIANG HARUS BERDEBAT.

Banyak pihak akhir-akhir ini mendesak Penasihat DAP, Lim Kit Siang menerima cabaran untuk berdebat dengan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Debat itu boleh menjadi medan terbaik bagi Kit Siang mempertahankan diri dan menyangkal tuduhan bahawa beliau adalah seorang diktator dalam parti itu.

Jika debat ini menjadi kenyataan, ia juga akan memberi peluang kepada seluruh rakyat serta parti sekutunya dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP untuk mengetahui permainan politik sebenar parti itu yang hanya berkisar mengenai agenda tertentu dan bukan untuk kepentingan rakyat.

DAP di bawah penguasaan Kit Siang selama 51 tahun bersama anaknya, Lim Guan Eng umpama sebuah parti politik keluarga yang mengamalkan pilih kasih dan menggunakan tiket demokrasi untuk mencapai hasrat peribadi.

Istilah demokrasi tidak pernah wujud sama sekali dalam DAP. Sesiapa yang lantang menentang prinsip dan kehendak parti itu, Kit Siang tidak akan teragak-agak menyingkirkannya bagi menjaga kedudukan beliau dan anaknya.

Tunku Abdul Aziz dalam sidang media pada 4 April lalu mencabar Kit Siang untuk berdebat mengenai dasar dan pemerintahan diktator yang menjadi perjuangan parti itu selepas Penasihat DAP itu membuat keputusan melantik seorang Melayu untuk mengambil jawatan Pengerusi Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, isu penipuan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 2012 yang menyebabkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) belum mengiktiraf keputusan pemilihan itu sehingga kini.

Kit Siang harus beritahu kepada semua ahli DAP apakah benar berlaku penipuan dalam pemilihan 2012 dan pemilihan semula pada 2013 dan campur tangan beliau dalam isu ini?


Hakikatnya, terdapat banyak isu kepimpinan yang berpunca daripada Kit Siang dan beliau kini mempunyai peluang untuk mempertahankan diri dengan bersetuju untuk berdebat.

ANWAR BERMAIN SANDIWARA DALAM ISU FOREX.

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan kesalahan ke atas Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berhubung isu skandal kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) melalui aktiviti spekulasi mata wang asing yang berlaku sekitar 1990-an seolah-olah satu sandiwara politik bagi melindungi pembangkang.

Kenyataan Anwar itu dianggap pelik kerana Penasihat PKR yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mengaitkan Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin sebagai individu bertanggungjawab di sebalik skandal tersebut.

Namun, hakikatnya Anwar telah mengubah kenyataannya ketika memberi keterangan dalam siasatan kerugian Bank Negara itu. Kenyataan terbaharu Anwar itu bagaikan petanda bahawa beliau boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian politiknya selain berkemungkinan telah menerima Tun Mahathir sebagai sekutu politiknya.

Sudah menjadi kebiasaan apabila kita mendengar kenyataan yang diubah-ubah. Rakyat mungkin tidak percaya jika kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak konsisten dan mencurgiakan.

Nampaknya inilah sandiwara politik yang cuba dimainkan untuk menjuarai hati rakyat agar dapat menutup kebatilan silam.

Pada tahun 1993, Anwar menafikan kerugian Bank Negara akibat perdagangan mata wang itu ketika memberikan maklum balas terhadap persoalan yang dibangkitkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang di Parlimen.

Namun, setahun selepas itu, Anwar memberitahu Parlimen bahawa apa yang berlaku membabitkan Bank Negara itu melibatkan kerugian kecil sahaja dan hanya 'atas kertas'.

Walau bagaimanapun, melalui satu forum di Pulau Pinang pada tahun 2012, Anwar menukar ceritanya pula dengan memberitahu bahawa kerugian itu berjumlah AS$10 bilion (RM 43.4 bilion) dan turut menamakan tiga individu terlibat termasuk Tun Mahathir dan Tun Daim.


SKANDAL BNM: KENAPA KIT SIANG DIAM?

Kemana hilangnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang selama ini bersungguh-sungguh mahu kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) akibat aktiviti spekulasi mata wang asing (forex) pada 1990-an disiasat?

Kerajaan kini telah menunaikan hasrat pemimpin DAP itu agar sejak dari 1993 mendesak kes tersebut disiasat.

Akhir-akhir ini, komitmen Kit Siang untuk menyelesaikan kes berkenaan kini dipersoal terutama setelah beliau menjalin kerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad yang selama ini dituduhnya sebagai punca kerugian hampir AS$10 bilion (RM43 bilion) wang rakyat akibat urus niaga mata wang asing.

Tidak kedengaran lagi desakan Kit Siang supaya kes ini diselesaikan dan beliau kini diam seperti seekor tikus yang ketakutan. Adakah Kit Siang akan memberikan keterangan yang telus dan jujur apabila dipanggil oleh pasukan petugas yang menyiasat skandal ini ataupun beliau akan berbohong atau mungkin menggunakan alasan sudah lupa untuk menyelamatkan Tun Mahathir?

Walau apapun yang dilakukan oleh Kit Siang, imej serta integriti dirinya sudah tercemar apabila mula berkerjasama dengan Tun Mahathir, justeru, beliau bolehlah dilabelkan sebagai bapa kepada segala hipokrit.

Tambahan lagi, pada 2012, pemimpin DAP itu juga berjanji kepada penyokongnya jika berjaya memerintah kerajaan Pusat, Kit Siang akan menubuhkan satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat kes berkenaan.

Dalam satu kenyataan media pada 27 April 2017, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan telah kehilangan wang sebanyak RM10 bilion hingga RM30 bilion akibat kegiatan perdagangan mata wang ketika pentadbiran Tun Mahathir. Ia adalah sesuatu yang mengejutkan negara.

KERUSI MB SELANGOR IHSAN PAS

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sepatutnya sedar bahawa jawatan MB Selangor yang disandangnya ketika ini adalah hasil ihsan PAS kepada PKR di negeri berkenaan.

Peluang Timbalan Presiden PKR itu untuk mengekalkan jawatan tersebut adalah bergantung kepada kesediaan jentera PAS membantu partinya dalam PRU Ke 14.

Beliau boleh menggelarkan ahli PAS sebagai 'lebai yang meletakkan harapan akan mengambil Selangor'.

Tetapi mereka perlu ingat, kalau tanpa jemaah PAS membantu, jawatan MB penggal ini akan menjadi yang terakhir buat beliau.

Keceluparan Mohamed Azmin menyindir Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz selepas bekas Ketua Dewan Pemuda PAS itu kalah dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengklan Chepa baru-baru ini telah mencetuskan kemarahan ahli-ahli parti itu.

Mohamed Azmin menerusi laman sosial Twitternya bulan lalu menulis: "Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur."

Sementara itu PAS mencabar Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pandan dalam PRU-14.

Kalau beliau anak jantan, bersedialah menghadapi barisan pemuda PAS yang tidak akan luntur semangatnya.

PAS juga berjanji untuk melaksanakan misi menggempur Rafizi secara berterusan di Selangor.




Friday 28 April 2017

KERAJAAN PKR SELANGOR BAKAL TUMBANG

Keputusan Dewan Ulama PAS meluluskan usul menamatkan hubungan politik dengan PKR semalam dijangkakan memberi tamparan hebat kepada Pakatan Harapan yang dikuasai DAP khususnya kepada kerajaan Selangor diterajui MB, Azmin Ali jika dimuktamatkan oleh Majlis Syura PAS.


Keputusan berkenaan memungkinkan berlaku konflik di negeri yang diterajui PKR dan kepimpinan terbabait mungkin tumbang atau bertukar tangan.

MB Azmin Ali mungkin akan cuba untuk mempertahankan hubungan dengan PAS kerana Timbalan Presiden PKR itu tidak memberi respon segera berhubung perkembangan yang berlaku ketika ini sebaliknya mengambil langkah tunggu dan lihat.

Tindakan yang dilakukan oleh PAS adalah bagi memastikan faedah dan kebajikan parti mereka terjamin. Ini kerana hala tuju PAS dengan Pakatan Harapan adalah tidak sama.

Segala apa tindakan yang dibuat oleh PAS adalah bagi membuat persediaan PRU Ke 14 dan mereka merasakan tidak boleh bekerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan.