Wednesday, 8 November 2017

PPBM BAKAL DIHARAMKAN ?


Memang benarlah telahan ramai orang, Mahathir memang tidak minat pun hendak menjaga parti baru seperti PPBM. Mahathir hanya tubuh parti baru kerana hendak bagi peranan kepada Muhyiddin sahaja. Akhirnya dalam PPBM bergaduh sakan sesama mereka. Ramai ahli keluar parti, ahli yang ada pun malu mereka hendak umumkan jumlahnya.
Terbaru, PPBM yang ditubuhkan pada 9 September 2016 bakal mengikut jejak langkah DAP menjadi satu lagi parti yang berstatus haram. Bukan sesiapa yang mengharamkan PPBM atau DAP, tetapi orang dalam parti itu sendiri yang memusnahkan parti mereka sendiri.
DAP sejak tahun 2012 hingga kini masih berstatus parti haram kerana enggan mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Setelah 5 tahun, dan hampir hampir dengan pilihanraya umum, barulah DAP hendak buat pemilihan semula  CEC DAP yang dijangka diadakan pada 12 November ini di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam.
PPBM masih lagi enggan membuat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) walaupun usia parti itu sudah menjangkau lebih setahun. Kenapa takut buat AGM? Takut ada ahli PPBM baling kerusi ? Takut ada ahli PPBM tanya soalan tentang kroni Mahathir, skandal Muhyiddin, soalan pasal Memali atau pasal hilang RM32 billion?
Ada kelompok ahli PPBM di Negeri Sembilan sudah marah dan merasakan parti itu kini sedang dalam masalah. Mereka mendesak agar AGM diadakan segera. Ahli PPBM di negeri berkenaan telah membuat aduan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung isu itu. Mereka kata ahli peringkat akar umbi keliru berkenaan kepimpinan di peringkat negeri kerana ramai yang mengaku jadi ketua.
Ikut peraturan, PPBM harus mengadakan AGM selewat-lewatnya 9 September lepas mengikut Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984. Pengerusi PPBM, Mahathir nampaknya buat ‘tidak tahu” sahaja dengan desakan ahli  ahli peringkat bawahan ini.
PPBM bakal menjadi parti haram jika melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Mungkin Mahathir sengaja membiarkan PPBM jadi begitu supaya nanti bila sudah diharamkan, Mahathir akan tuduh kerajaan BN yang haramkan partinya. Padahal Mahathir sendiri yang mengharamkan PPBM, bukannya kerajaan. Ini jerat Mahathir.
Di Muar, PPBM cuba tipu ahli dengan mengadakan satu perhimpunan tetapi ia kemudian bertukar menjadi parti hari jadi. Ini kali pertama dalam sejarah politik Malaysia, mesyuarat agung boleh bertukar menjadi parti hari jadi.
“Setakat ini, kepimpinan PPBM telah mengadakan satu perhimpunan di Muar tetapi ia hanyalah sambutan hari jadi dan bukan mesyuarat agung seperti dikehendaki,” kata Ketua Penerangan PPBM Bahagian Kluang, Arjuna Putra Ali
Bukan sahaja di Muar dan Negeri Sembilan, ada lagi 358 aduan bertulis diterima ROS daripada tujuh bahagian iaitu Bakri, Kluang, Sembrong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Ledang dan Batu Pahat mengenai kepincangan yang berlaku dalam PPBM ini.
Mahathir lebih rela ikut telunjuk DAP daripada jaga kepentingan PPBM. Menjaga DAP dan Kit Siang lebih penting bagi Mahathir dari menjaga PPBM. Oleh kerana itulah biarpun PPBM dilanda pelbagai masalah dalaman, Mahathir tidak pernah pun hendak selesaikan masalah itu. Mahathir biarkan sahaja.
Ramai pengasas PPBM telah umum keluar parti. Satu persatu terjun dari kapal PPBM yang disifatkan oleh bekas Ketua Serikandi PPBM, Anina Saadudin sebagai kapal yang dipenuhi oleh lanun, keldai, lembu dan anjing.
PPBM lumpuh di Baling, Dungun, Kerteh, Negeri Sembilan, Kuala Kangsar, Parit, Pandan dan beberapa tempat lagi. Berpuluh puluh orang keluar parti di bahagian bahagian. Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman pun sudah lama keluar parti bersama 821 ahli parti itu dari seluruh negara.
Sana keluar, sini keluar, berapa kerat sahaja ahli PPBM yang tinggal dan berapa ramai yang hendak hadirkan diri pada AGM jika diadakan. Mungkin ini antara penyebab kenapa Mahathir dan Muhyiddin enggan buat AGM.
Buat demonstrasi jalanan lebih penting bagi Mahathir dan PPBM dari buat mesyuarat agung parti. Bila buat mesyuarat agung parti kena keluar belanja banyak. Lebih baik buat demonstrasi, tidak payah keluar belanja. Hanya jual air liur kutip derma.
Parti Semangat 46 bertahan selama 8 tahun dari 1988 hingga Mei 1996. Parti PAN yang dipimpin Mat Sabu yang ditubuhkan sejak September 2015 pun boleh buat Mesyuarat Agung.
Nampaknya hayat PPBM yang ditubuhkan kerana kebencian dan niat mahu merampas kuasa oleh Mahathir ini tidak akan bertahan lama. Hayatnya lebih pendek berbanding parti Semangat 46 dan parti PAN. Mat Sabu lebih hebat menjaga parti politik berbanding Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz.
Bila PPBM sudah diharamkan nanti, Mahathir akan cakap ‘tidak tahu” sahaja. Mahathir akan salahkan ROS, samalah seperti kegagalan Pakatan Harapan membuat logo dan perlembagaan pada hari ini. ROS juga akan dipersalahkan. Padahal memang sengaja Mahathir hendak Pakatan Harapan dan PPBM kekal dengan status haram sama seperti DAP.
Bolehkah PPBM menyertai PRU Ke 14 dengan statusnya yang haram? Begitu juga DAP sekiranya pemilihannya pada 12 hb November akan datang didapati tidak sah oleh ROS. Unsur-unsur ke arah itu sudah kedengaran daripada akar umbi DAP beberapa hari yang lalu.


MAHATHIR SERBA ‘SEMPURNA’, ‘MAKSUM’ DAN ‘U-TURN’.


Penulis tidak pasti sama ada rakyat Malaysia kenal dengan gaya politik Mahathir atau tidak. Namun bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan politik tanah air terutama yang hidup membesar di zamannya memerintah, mereka mudah membaca corak politiknya.
Politik Mahathir dahulu cukup terkenal bercorak autokratik. Bukan hanya pemimpin dari parti-parti pembangkang, malah Timbalan Menteri atau menteri kabinetnya juga ramai yang menjadi mangsa. Dia saja yang betul, orang lain semua salah. Kononnya dialah yang sempurna…
Mahathir dahulu ‘keras’ keputusannya. A yang dikata, maka A yang dia mahukan. B yang dia arahkan, maka B yang dia mahu hasilnya. Siapa yang membantah, mempersoal atau buat pusingan U, pasti ‘nahas’. Teruk dia ‘kerjakan’…
Politik Mahathir ketika itu serba sempurna. Siapa yang tidak sebulu dengannya di dalam parti, maka dia akan dianggap sebagai ‘pengkhianat’. Alasannya, si polan itu tidak setia pada Presiden dan UMNO. Cuba selidik sendiri berapa ramai yang dia pernah ‘kerjakan’.
Namun sejak dia mencecah usia 90 ke atas, nampaknya corak politiknya serba tidak ketahuan hala. Dia boleh buat ‘u-turn’ pada bila-bila masa yang dia suka. Walau pernah menuduh orang itu berzina dan meliwat, namun kini orang itu ‘sesusi-suci’ manusia?
Dia kini sanggup sebut apa saja asalkan mengikut selera nafsu serakah politiknya. Jika sebelum ini berpuluh-puluh tahun menghina DAP sebagai sebuah parti yang rasis dan ‘chauvinis ultra kiasu’, namun kini DAP sebenarnya ‘lebih suci’ dari UMNO yang dia pimpin lebih dua dekad yang lalu.
Siapa saja yang dulunya dilihat sebagai ‘jijik’ dan perosak negara, maka kini dilihat sebagai ‘pahlawan’ yang akan bersamanya ‘menyelamatkan negara’. Dia sanggup sebut apa saja kepada bekas musuh-musuhnya itu bagi memastikan mereka menerima dia seadanya.
Itu pandangan Mahathir? Soalnya, apakah dia fikir puak-puak pembangkang itu senyum padanya, tanpa menyimpan sesuatu di sebalik ‘senyuman’ tersebut? Dia fikir mereka lupa sepertinya? Dia fikir DAP, PKR dan PAN menghidap ‘alzhiemer‘ sepertinya?
Mungkin dia langsung tidak terfikir bagaimana ketiga-tiga parti itu sedang menjadikan dirinya sebagai ‘pekakas lama’? Tidakkah terlintas di fikirannya bagaimana DAP, PKR dan PAN kini ‘menunggang’ dirinya sebagai ‘kuda tua’? Sedarkah dia tentang kedudukannya yang sebenar?
Dia fikir, dengan meletakkan dirinya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, maka ketiga-tiga parti pembangkang itu akan ‘tunduk’ dan terima menurut apa saja yang dia mahu seperti ketika dia di dalam BN dulu? Tidakkah dia sedar tentang pentas ‘opera Cina’ dan dia hanyalah ‘boneka usang’ yang dipergunakan selagi boleh?
Namun justifikasinya mungkin adalah demi kepentingan dan masa depan anaknya. Mungkin kerana menyedari anaknya ‘tidak boleh cari makan’ menempatkan diri dalam UMNO, maka dia terpaksa menggunakan altenatif lain. Sampai sanggup menggadai maruah sendiri?
Biar terpaksa menelan kahak sendiri, demi survival politik anak yang tidak mampu berdikari, dia cuba membantu semampu boleh. Mungkin kini baru dia sedar bahawa tanpa ‘bin Mahathir’, anaknya itu tak mungkin dapat berdikari, berdiri di atas kaki sendiri.
Yang terkini, siapa yang tidak senada dengan apa yang terbit mulutnya, pihak berkenaan akan dianggap sebagai ‘pemakan dedak’. Siapa saja yang menyebelahi Dato’ Seri Najib Tun Razak, maka dia akan hina orang itu semahu-mahunya. Siapa yang ikut Mahathir saja yang akan dianggap ‘suci’ dan ‘makan nasi’?
Mungkin itu gaya politiknya yang tidak dapat dia ubah, sentiasa betul dan benar-benar belaka. Cuba bayangkan jika Mahathir kini tiba-tiba buat pusingan U sekali lagi dan menyebelahi Najib, maka siaplah Pakatan Harapan!
Jika Mahathir buat ‘u-turn’ menyokong Najib, penulis yakin bahawa DAP, PKR dan PAN semuanya akan dianggap sebagai ‘setan-setan’ yang sesat lagi menyesatkan. Silap-silap, bagaikan Tuhan, mungkin dia boleh tentukan yang mana masuk syurga dan yang siapa masuk neraka.
Sekiranya Mahathir buat ‘u-turn’, maka penulis yakin dia akan sebut kononnya Najiblah Perdana Menteri yang paling sempurna dan hebat dalam dunia. Puji-pujian yang elok saja untuk Najib biarpun Najib sendiri mengakui dirinya tidak sempurna, hanya manusia biasa.
Namun begitulah Mahathir di pandangan mata penulis. Politik bagaikan ‘hidup mati’nya. Politik bagaikan ‘Tuhan’ baginya. Tanpa politik, mungkin dia tidak dapat hidup, hilang nyawa. Berjuang atas nama ‘rakyat’? Budak ‘kanyaq’ bolehlah dia temberang….

MAHATIR HABISKAN SISA HIDUPNYA HANYA UNTUK JADI HAMBA BEKAS MUSUHNYA


Tidak ada sesiap yang pernah menjangkakan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya akan tunduk dan akur kepada kesemua musuh-musuh politiknya dahulu. Semasa dia masih berkuasa, nama-nama seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mat Sabu, dan ramai lagi, cukup dibenci Mahathir dan ada diantaranya, pernah dipenjarakan olehnya.


Hari ini, senarionya sudah berubah. Ketika dia mengumumkan untuk meletakkan jawatannya selaku Perdana Menteri pada 2003, ramai yang beranggapan, dia bakal menjadi rujukan dan panduan buat Perdana Menteri selepasnya. Manakan tidak, dengan pengalamannya di dalam politik, sudah pasti ianya mahu di pelajari oleh ramai orang termasuk dua orang Perdana Menteri selepasnya.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dia secara tiba-tiba berubah menjadi seorang yang begitu taksubkan kuasa sehinggakan dia sanggup menjadi dalang utama untuk menjatuhkan kedudukan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri.
Mungkin pada ketika itu, ramai yang beranggapan, tindakannya itu adalah untuk menyelamatkan kepimpinan negara. Tambahan pula pada waktu itu, Barisan Nasional dan UMNO yang pernah diketuainya berhadapan dengan prestasi yang cukup buruk sehingga kehilangan majoriti dua per tiga seperti yang selalu dimenangi oleh Barisan Nasional dan UMNO.
Nyata, tanggapan orang ramai terhadap tindak tanduknya selepas pencen dari jawatan Perdana Menteri, meleset sekali lagi. Dia melancarkan serangan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, bekas seorang anak didiknya satu ketika dahulu hanya kerana mengutamakan kepentingan peribadinya semata-mata.
Sehinggakan, dia akhirnya sanggup menyerahkan dirinya kepada kesemua bekas musuh politiknya untuk dijadikan hamba bagi membolehkan gabungan DAP, PKR dan PAN menumbangkan kerajaan dan Datuk Seri Mohd Najib. Tidak cukup dengan itu, dia dan Tan Sri Muhyiddin Yasin menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang antara lain bertujuan untuk menjahanamkan UMNO.
Hari ini, kesemua langkah dan tindakannya lebih menjurus kepada membantu bekas musuh politiknya, Lim Kit Siang mencapai impian yang cukup diingininya, iaitu menjadi Perdana Menteri dan menguasai tampuk pemerintahan, impian yang dibina sejak awal penubuhan DAP pada tahun 1966.
Kita sebenarnya sudah kehilangan seorang tokoh yang pernah dijulang sebagai Negarawan hanya kerana kemaruk kuasanya.
Kita hari ini berhadapan dengan satu watak hitam yang lahir hasil daripada kehitaman hatinya sehinggakan maruahnya sebagai seorang Negarawan digadai di kaki musuh politik yang pernah dilabelnya dengan pelbagai nama.

Inilah Mahathir Bin Mohamad, seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri namun dihujung usianya, dia lebih gembira menyaksikan perpaduan rakyat Malaysia dirosakkan dengan fahaman politik kotor yang diamanahkan kepadanya oleh DAP dan Pakatan Harapan.

Tuesday, 7 November 2017

MENGAITKAN BUGIS SEBAGAI ‘LANUN’ ADALAH CIPTAAN PENJAJAH BRITISH

Emeritus Profesor Khoo Kay Kim

Seorang ahli sejarah terkemuka negara mengatakan seorang pegawai kolonial berbohong sebab mereka memerlukan sebab untuk melanjutkan kawalan terhadap Malaya ketika itu.

Ahli sejarah terkemuka negara Emeritus Profesor Khoo Kay Kim telah megkritik mereka yang mengaitkan orang Bugis sebagai lanun, mengatakan bahawa mereka adalah jahil dalam fakta sejarah negara.
Bercakap kepada media FMT, emeritus professor berkenaan berkata pembohongan tersebut bermula pada abad ke 18 oleh pentadbir awam British di Malaya dan mereka melakukannya kerana untuk mendapat kebenaran daripada kerajaan British untuk melanjutkan pentadbiran mereka di negara ini.
“Mereka memerlukan sebab untuk diberitahu kepada kerajaan British,” kata Khoo. “Dengan mengatakan raja Melayu adalah lanun, adalah mudah untuk kerajaan British campur tangan.
“Kerajaan British mungkin memberhentikan campur tangan sekiranya mereka tahu cakap-cakap berkenaan lanun itu berdasrkan pembohongan.”
Beliau berkata tidak ada jalan Bugis dianggap sebagai lanun sebab pelanunan, sebagaimana yang didefinasikan dalam undang-undang ketika itu, dilakukan hanya di lakukan di kawasan yang tidak ada kerajaan.
“ Kawsan sekitar Selat Melaka dan Laut China Selatan adalah sebahagian negeri-negeri kerajaan Melayu dan sekiranya kapal-kapal memasuki kawasan itu dan tidak membayar cukai, maka kerajaan mempunyai hak untuk menyerang kapal-kapal itu. Itu bukannya pelanunan.”
“Lanun Bugis” adalah satu ungkapan yang digunakan pembangkang untuk mengejek Perdana Menteri Najib Razak didakwa sebagai keturunan pahlawan Bugis.
Pemimpin yang bukan dari rumpun Melayu menghina Bugis
Bulan lepas, ucapan oleh pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad mengundang kemarahan pemimpin masyarakat Bugis tempatan yang mendesak beliau memohon maaf kerana menghina kumpulan itu. Ini diikuti oleh Sultan Selangor, merupakan keturunan Bugis, menitahkan agar Mahathir disiasat kerana menghasut.
Mahathir sejak itu telah menafikan merujuk orang Bugis secara am, mengatakan yang beliau persoalkan sekiranya nenek moyang Najib merupakan “Lanun Bugis”.
Menurut Profesor Khoo, orang Bugis merantau ke semenanjung Tanah Melayu daripada tempat asal mereka Sulawesi pada abad ke 17.
“Mereka merupakan pedagang yang cekap dan mereka juga merupakan pahlawan. Oleh itu mereka mampu mengambil kuasa kebanyakkan negeri-negeri di semenanjung Tanah Melayu.”
Beliau kata Bugis memperolehi kerajaannya di Selangor yang sah daripada pandangan tradisi Melayu.
“Dalam tradisi Melayu, sesaorang boleh dipanggil sultan sekiranya dia mempunyai  daulat (legitimacy and authority).
“Semasa Bugis mengambil alih Selangor pada 1745, pemerintahanya tidak pernah dipanggil sultan. Baginda dipanggil Raja Lumu.
“Tetapi pada 1766, Raja Lumu belayar kepada satu tempat dipanggil Kota Lumut (bukan Lumut yang ada sekarang) di Perak dan di sana dia telah ditabalkan sebagai  sultan oleh Sultan Perak Sultan Mahmud dan hanya ketika itu dia memakai gelaran  Sultan Salehuddin Shah.”
Menurut seorang pegawai Persatuan Melayu Bugis Selangor (PMBS), budaya  Bugis dan Melayu telah menjadi ikatan kukuh sebab kerana sudah lama menjadi sekutu di antara mereka.
Mohamad Romazi Nordin, yang mengetuai sayap budaya, belia dan sukan PMBS, mengatakan salah satu faktor yang telah membawa kepada ikatan kepada kedua-dua budaya tersebut ialah melalui perkhawinan.
Perkhawinan di antara kedua-duanya telah berlaku sejak semasa era Kesultanan Melaka, beliau berkata.
“Mereka telah dikaitkan antara satu sama lain yang begitu lama yang kelihatan seolah mereka berkongsi budaya yang sama,” beliau menambah.
Bagaimanapun, beliau juga berkata hakikatnya kedua-dua budaya tidak jauh berbeza sebab Melayu dan Bugis hidup dalam persekitaran yang sama.
Beliau berkata kedua-duanya telah mengeluarkan dan makan makanan yang sama, menikmati jenis muzik yang sama dan menyimpan pantang larang yang sama.
Romazi juga seorang setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia bahagian Selangor.

Sunday, 5 November 2017

AZMIN ALI: PAKU DULANG PAKU SERPIH, MENGATA ORANG DIA YANG LEBIH


Menepuk air di dulang terpercik muka sendiri, inilah yang boleh dirumuskan terhadap pembentangan Bajet Selangor 2018 oleh Menteri Besar Azmin Ali, kelmarin.

Azmin sebelum ini paling ghairah mentohmah kononnya Bajet 2018 oleh Kerajaan Persekutuan adalah bajet pilihan raya. Bagaimanapun Bajet Selangor 2018 menyerlahkan hakikat tohamahan Azmin akhirnya terpercik di muka sendiri.

Ramai pemerhati menyifatkan Bajet Selangor 2018 sebagai gula-gula politik PRU-14 selain selain mengulangi dasar lama dan sebahagiannya meniru formula kerajaan pusat. Banyak pihak tersentak dengan defisit berjumlah RM820 juta iaitu 26 peratus daripada keseluruhan bajet negeri serta 38 peratus tambahan daripada jumlah anggaran hasil.

Peratusan defisit itu jauh lebih tinggi berbanding hanya 14 peratus daripada keseluruhan peruntukan Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan. Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

AMBIGA PANAS PUNGGUNG

Rakyat Malaysia tetap mahu jawapannya segera memandangkan ia kes berkepentingan awam. Setakat ini Ambiga tidak menafikan dakwaan Brown walaupun beliau sebenarnya boleh berbuat demikian.

Bekas Pengerusi Bersih, S. Ambiga kini kepanasan apabila namanya disebut sebagai pemberi maklumat kepada laporan memfitnah Presiden PAS, Hadi Awang.

Manakan tidak, dakwaan pengasas dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown bahawa Hadi menerima wang daripada Perdana Menteri, Najib Tun Razak berkaitan isu 1MDB, adalah serius. Jika benar atau setidak-tidaknya mempunyai asas, Hadi boleh menyaman Ambiga di dalam negara demi kebenaran dan maruah diri serta parti.

Walaupun Ambiga berdolak-dalik untuk memberi reaksi kerana menyatakan prosiding kes itu di London masih belum selesai, rakyat Malaysia tetap mahu jawapan segera memandangkan ia kes berkepentingan awam.

Setakat ini Ambiga tidak menafikan dakwaan Brown walaupun beliau sebenarnya boleh berbuat demikian jika benar-benar mahu. Apakah Pengerusi Bersih ini dapat membersihkan dirinya yang makin kelihatan tidak bersih, kit tunggu…….