Friday, 2 February 2018

BN HILANG KUASA EMPAT NEGERI ? - PEMBANGKANG DICABAR KEMUKA DATA KAJIAN EMPIRIKAL .


Barisan Nasional (BN) Johor hari ini mencabar pembangkang supaya menunjukkan data empirikal berhubung dakwaan BN berkemungkinan hilang kuasa di empat negeri termasuk Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dakwaan tersebut merupakan perang psikologi yang dimainkan pembangkang, namun sebagai parti yang berpengalaman, BN dan UMNO tidak akan termakan dengan perang psikologi itu.
“Kepada mereka yang pasang angan-angan, jangan anggap kita (BN) tidak akan lawan dengan mereka. Apabila mereka kata hendak tawan Johor, cuba tunjukkan dengan data empirikal kalau mereka kata bahawa mereka boleh tawan Johor.
“Kalau dia (pembangkang) kata boleh tawan Johor, beritahu saya kerusi mana yang dia akan tawan? Permas, Semarang, Mahkota, Kemelah? Kita ada jentera dan data, tapi kita tidak mahu kongsi, buat apa kita hendak beritahu kekuatan kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin yang mendakwa terdapat kajian yang BN berkemungkinan hilang kuasa di empat negeri – Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah – pada PRU14 berdasarkan beberapa perkembangan semasa.
Mohamed Khaled berkata perpaduan BN Johor sangat kukuh, malah yakin dapat merampas kerusi yang dikuasai pembangkang di negeri ini.
“Bila sampai masa, saya akan beritahu prestasi wakil rakyat pembangkang. Kita ada data siapa yang paling rendah prestasi perkhidmatan dia. Bila kita ukur prestasi wakil rakyat BN, kita tidak hanya hadkan pada BN sebab rakyat hendak tahu.
“Kita boleh kata, secara keseluruhan, prestasi wakil rakyat BN adalah lebih baik daripada pembangkang,” katanya.
Mengenai mesyuarat hari ini, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata pihaknya berpuas hati dengan persiapan di peringkat UMNO Bahagian dalam menghadapi PRU14.
“Kita sekarang dalam proses untuk memantapkan dan memastikan jentera parti dan isu-isu yang dihadapi dapat diselesaikan atau diminimakan. Jadi, kita berbincang mengenai pelbagai pendekatan dan peranan patut dimainkan BN peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Mohamed Khaled berkata kira-kira 100,000 jentera BN Johor juga sudah disusun dan dimantapkan bagi menghadapi PRU14.
Mengenai senarai calon yang bakal bertanding, beliau menegaskan ia adalah urusan pucuk pimpinan parti dan setiap pilihan raya pasti terdapat calon muka baharu yang akan ditampilkan parti.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Johor itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka melawat negeri ini, minggu depan.
“Kita akan menyambut kedatangan Perdana Menteri ke daerah Muar pada 9 Feb manakala Timbalan Perdana Menteri melawat negeri ini pada 10 dan 11 Feb. Selain memenuhi program yang disusun, ia juga memberi peluang kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri bertemu dengan rakyat,”  katanya.

PERDANA MENTERI PAKATAN HARAPAN AKAN JADI BONEKA DAP?

Kami menjangkakan bahawa sesiapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang hanya akan menjadi boneka DAP.
Kami berpendapat bahawa situasi itu bakal terjadi berdasarkan agihan kerusi oleh Pakatan Harapan yang diumumkan dahulu.
Pengagihan kerusi kepada tiga lagi parti komponen Pakatan Harapan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat(PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) adalah merupakan kawasan hitam yang bagi mereka, iaitu sama ada ia kubu kuat UMNO atau PAS di mana parti-parti tersebut akan menghadapi masalah dan berkemungkinan kalah.
Akhirnya nanti DAP lah yang akan jadi parti kuasa dominan sebab sudah sedia mempunyai lebih kurang 31 kerusi yang sudah terjamin di Semenanjung. Ini tidak termasuk 56 lagi kerusi Sabah dan Sarawak. Dan jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum… sudah tentu Perdana Menteri yang dilantik yang mempunyai jumlah kerusi yang kecil akan terpaksa jadi boneka DAP dan mengikut sahaja dasar parti itu.
Pakatan Harapan dahulu telah menamakan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.
Ia turut mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen akan ditandingi parti komponen iaitu PPBM (52), PKR (51) Dap (35) dan Amanah (27), keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia tidak termasuk Sabah dan Sarawak..
Kami juga turut menarik perhatian bahawa Dr Mahathir dilaporkan hanya akan menjadi Perdana Menteri sementara sebelum Pakatan Harapan melantik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja beliau dibebaskan daripada penjara.
Bayangkan jika betul, tidakkah suami isteri akan jadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri?
Ini bukan amalan biasa dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita ini. Ini bukan main-main. Kita kena pilih pemimpin yang berwibawa, yang bertaraf antarabangsa. Sebab itu tawaran Pakatan Harapan itu sama sekali tidak boleh diterima oleh rakyat.

MELAYU JANGAN TERTIPU DENGAN AGIHAN KERUSI PAKATAN HARAPAN - DAP ADALAH TAIKO.

Berapa ramai agaknya rakyat Malaysia terutama orang Melayu yang tertipu dengan persepsi yang cuba dibina oleh persepakatan dan persetujuan yang terhasil daripada Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC, Shah Alam, hari ini, khususnya yang membabitkan pengagihan kerusi-kerusi kawasan Parlimen antara PPBM, PKR, DAP dan AMANAH?
Berdasarkan “Muafakat Pakatan Harapan” yang ditandatangani oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, jelas dinyatakan bahawa:
“Sebagai persiapan Pakatan Harapan menghadapi dan memenangi PRU 14, kami telah memutuskan pengagihan kerusi-kerusi kawasan Parlimen bagi Semenanjung iaitu yang melibatkan 165 kerusi, seperti berikut:
1. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – 52 kerusi
2. Parti Keadilan Rakyat (PKR) – 51 kerusi
3. Parti Tindakan Demokratik (DAP) – 35 kerusi
4. Parti Amanah Negara (AMANAH) – 27 kerusi”

Ada yang terdiam dan terpesona dengan pengagihan kerusi-kerusi kawasan Parlimen ini kerana kononnya ia adalah bukti bahawa yang akan mendominasi Pakatan Harapan ialah parti Melayu Islam PPBM, bukannya parti bukan Melayu bukan Islam DAP, kerana kononnya jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP hanyalah 35 berbanding jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh PPBM, iaitu 52.
Walaupun begitu, perkara penting pertama yang perlu diingati adalah bahawa, daripada 35 kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Semenanjung di dalam PRU 14 ini, 31 daripadanya adalah kerusi yang telah sedia dimenangi oleh DAP di dalam PRU 13 lalu, iaitu:
(1) Kerusi-kerusi P43 Bagan, P45 Bukit Mertajam, P46 Batu Kawan, P48 Bukit Bendera, P49 Tanjong, P50 Jelutong dan P51 Bukit Gelugor di Pulau Pinang.
(2) Kerusi-kerusi P60 Taiping, P64 Ipoh Timor, P65 Ipoh Barat, P66 Batu Gajah, P68 Beruas, P70 Kampar dan P76 Telok Intan di Perak.
(3) Kerusi P80 Raub di Pahang.
(4) Kerusi-kerusi P102 Serdang, P103 Puchong, P106 Petaling Jaya Utara dan P110 Klang di Selangor.
(5) Kerusi-kerusi P114 Kepong, P117 Segambut, P120 Bukit Bintang, P122 Seputeh dan P123 Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
(6) Kerusi-kerusi P128 Seremban dan P130 Rasah di Negeri Sembilan.
(7) Kerusi P138 Kota Melaka di Melaka.
(8) Kerusi-kerusi P145 Bakri, P152 Kluang, P162 Gelang Patah dan P163 Kulai di Johor.
Ini jauh berbeza dengan PPBM di mana daripada 52 kerusi yang akan ditandingi oleh PPBM di Semenanjung di dalam PRU 14 ini, 0 daripadanya adalah kerusi yang telah sedia dimenangi oleh PPBM di dalam PRU 13 lalu (tetapi 1 daripadanya adalah kerusi yang telah dimenangi oleh calon PPBM di atas tiket BN, iaitu kerusi P143 Pagoh di Johor).
Jadi, walaupun bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh PPBM di Semenanjung di dalam PRU 14 ini adalah lebih banyak berbanding bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP, iaitu pada kadar 52:35, status quo kemenangan kedua-dua parti di Semenanjung pula adalah 31:0 untuk DAP.
Perkara penting kedua yang perlu diingati adalah bahawa PPBM telah mengumumkan bahawa ia tidak akan meletakkan sebarang calon di di Sabah dan Sarawak di dalam PRU 14. Ini menjadikan bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh PPBM di seluruh Malaysia di dalam PRU 14 kekal pada tahap 52.
Sebaliknya, di dalam PRU 13 lalu, DAP telah meletakkan 4 calon di Sabah, iaitu di kerusi-kerusi P171 Sepanggar, P172 Kota Kinabalu, P173 Putatan dan P186 Sandakan (dan menang di kerusi-kerusi P172 Kota Kinabalu dan P186 Sandakan).
Pada 30 Disember 2016 lalu pula, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, telah mengisytiharkan bahawa DAP akan menggandakan bilangan kerusi Parlimen (dan kerusi Dewan Undangan Negeri) yang akan ditandinginya di dalam PRU 14 di Sabah, bermakna bahawa bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Sabah di dalam PRU 14 ini ialah 8.
Di dalam PRU 13 lalu juga, DAP telah meletakkan 11 calon di Sarawak, iaitu di di kerusi-kerusi P192 Mas Gading, P195 Bandar Kuching, P196 Stampin, P199 Serian, P208 Sarikei, P211 Lanang, P212 Sibu, P213 Mukah, P215 Kapit, P217 Bintulu dan P222 Lawas (dan menang di kerusi-kerusi P195 Bandar Kuching, P196 Stampin, P208 Sarikei, P211 Lanang dan P212 Sibu).
Pada 30 April 2016 lalu juga, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, telah mengisytiharkan bahawa strategi DAP Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 adalah bagi menyediakan DAP Sarawak untuk memenangi Kerajaan Negeri Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021, sekali gus menjadikan kemungkinan untuk DAP menandingi lebih banyak kerusi Parlimen di Sarawak di dalam PRU 14 itu ada.
Oleh itu, paling tidak sekalipun, bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Sabah dan Sarawak di dalam PRU 14 ini adalah 19, sekali gus menjadikan bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di seluruh Malaysia di dalam PRU 14 meningkat menjadi 54.
54 kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP di seluruh Malaysia di dalam PRU 14 adalah lebih tinggi berbanding 52 kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh PPBM di seluruh Malaysia, apatah lagi dengan status quo kemenangan kedua-dua parti di seluruh Malaysia adalah 38:0 untuk DAP.
Berdasarkan kepada penjelasan ini, nyatalah bahawa cubaan “Muafakat Pakatan Harapan” yang diumumkan oleh Konvensyen Pakatan Harapan hari ini untuk mengabui mata rakyat Malaysia terutama orang Melayu bahawa yang akan mendominasi Pakatan Harapan ialah parti Melayu Islam PPBM, bukannya parti bukan Melayu bukan Islam DAP, adalah jelas gagal.
Ini kerana yang akan kekal mendominasi Pakatan Harapan ialah parti bukan Melayu bukan Islam DAP.
Apa pula ceritanya dengan sebuah parti lagi, iaitu PKR?
Memang betul PKR juga meletakkan calon di Sabah dan Sarawak di dalam PRU 13, tetapi PKR di Sabah dan Sarawak, malah di Semenanjug pun, bukanlah parti Melayu Islam. Lihatlah sahaja siapa Pengerusi PKR Sarawak, bukankah beliau si evangelis Kristian tegar yang bernama Baru Bian?
Lihatlah sahaja nama-nama yang tertera di dalam senarai 15 calon Parlimen PKR di Sarawak di dalam PRU 13 ini:
P193 Santubong: Zulrusdi Bin Mohamad Hol
P194 Petra Jaya: Ahmad Nazib Bin Johari
P198 Mambong: Willie Anak Mongin
P201 Batang Lupar: Abang Zulkifli Bin Abang Engkeh
P202 Sri Aman: Nicholas Mujah Anak Ason
P203 Lubok Antu: Nicholas Bawin Anak Anggat
P204 Betong: Cecilia Siti Una @ Sittie Endek
P205 Saratok: Ali Anak Biju
P209 Julau: Wong Hong Yu
P210 Kanowit: Thomas Laja Anak Besi
P214 Selangau: Joshua Anak Jabing @ Joshua Jabeng
P216 Hulu Rajang: Abun Sui Anyit
P219 Miri: Michael Teo Yu Keng
P220 Baram: Roland Engan
P221 Limbang: Baru Bian
Apatah lagi dengan PKR Sabah yang akan menghadapi PRU 14 dengan diketuai oleh seorang yang bernama Christina Liew setelah ia di dalam PRU 13 dulu diketuai oleh seorang yang bernama Datuk Lajim Ukin.
Bagaimana pula dengan sebuah parti lagi, iaitu AMANAH?
Kami berpendapat, sampaikan salam takziah terhadap parti tersebut sudah mencukupi agaknya.
Kesimpulannya Pakatan Harapan bukanlah gabungan yang Melayu sebagai kuasa dominan tetapi DAP. Walaupun tiga parti gabungan seperti PKR, PPBM dan PAN dipimpin oleh pemimpin Melayu, hakikatnya mereka adalah proksi kepada DAP untuk dijadikan alat atau umpanan atau perangkap untuk meraih undi Melayu (memandangkan kaum ini merupakan kaum majoriti negara ini) supaya DAP boleh menguasai negara ini.

ULANG SIAR CERITA-CERITA ‘BASI SERTA BANGANG’ PEMBANGKANG SUDAH MULA KEDENGARAN MENJELANG PRU-14.

Minggu lepas, bila ringgit kukuh pembangkang guna BBC untuk main semula cerita lama.
Dalam Whatsapp minggu ini, berbagai-bagai cerita lama masuk balik. Cerita cerita  ‘recycle’ yang dimainkan semula pembangkang bila mereka kering idea dan ketandusan isu.
Cerita cerita persepsi yang ditabur semula semata mata untuk buat rakyat sangsi. Bagi mereka yang jarang membaca, hanya membaca fitnah pembangkang sahaja, mereka ini akan percaya bulat bulat dengan segala berita yang diterima.
Inilah golongan yang paling diidamkan oleh pembangkang untuk “dibangangkan”. Sumbat apa sahaja terus percaya dan mudah diterpedaya.
Samalah seperti dua tiga orang netizen yang bodoh mempertikaikan kenapa kereta berhuruf  “Z” tidak membayar tol, dan negara sudah tergadai kerana ada kereta polis China di jalanraya Malaysia. Padahal kereta tersebut digunakan untuk pengambaran filem oleh sebuah syarikat perfileman dari negara China..
Golongan seperti inilah sasaran pembangkang untuk “dibangangkan”. Tidak payah untuk diperjelaskan mereka terus dipercayai.
Dua tiga hari lepas, di media sosial, pembangkang “recycle” semula cerita tentang projek Bandar Malaysia di tapak Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang sudah dipindahkan ke Pangkalan Udara TUDM yang lebih baik di Sendayan.
Penyokong PH kata, tanah di tapak projek berkenaan sudah digadaikan kepada negara China. Walaupun cerita ini sudah basi untuk dibuang ke dalam tong sampah, namun PH masih lagi mahu menghidangkan nasi basi ini kepada rakyat yang sudah “dibangangkan” itu.
Faktanya, dalam Konsortium ICBS, pegangan saham antara pihak Konsortium adalah sebanyak 40 peratus oleh syarikat China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) manakala 60 peratus oleh Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH).
Pegangan saham IWH pula terdiri daripada sebanyak 40% oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ – Kerajaan Negeri Johor) dan 60% dimiliki oleh ‘Credence Resources’ yang diuruskan oleh Tan Sri Lim Kang Hoo.
Kalau dilihat dari pegangan pemilikan tanah Bandar Malaysia pula ia dimiliki oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau Menteri Kewangan Diperbadankan sebanyak 40 peratus dan baki 60 peratus lagi oleh Konsortium IWH-CREC.
Pemilikan utama projek adalah 76 peratus dimiliki oleh Malaysia dan sebanyak 24 peratus oleh China. Pada 20 Mei tahun lepas, Tun Razak Exchange City telah batalkan perjanjian dengan konsortium ICBS yang terdiri daripada IWH dan CREC.
Susulan langkah pembatalan ini, Kementerian Kewangan yang memiliki 100 peratus projek TRX City kini memiliki 100 peratus Bandar Malaysia. Tidak masuk akal, jika dituduh 100 peratus tanah dan projek berkenaan sudah digadaikan kepada China kerana semuanya masih dimiliki oleh kerajaan Malaysia. Nampak sangat rakyat yang sudah “dibangangkan” oleh pembangkang dihidangkan dengan nasi basi.
Datuk Seri Najib pun sudah menyatakan bahawa beliau tidak akan sekali-kali menggadaikan kedaulatan negara dalam apa-apa juga projek yang melibatkan syarikat dari luar negara.
Pada 19 Januari 2018, Battersea Power Station di London telah dibeli oleh syarikat dari Malaysia dengan harga £1.6 billion.
Tidak ada pun pembangkang atau Mat Salleh di London kata negara mereka terjual kepada Malaysia. Ada dengar tak?
Oktober 2015, di Melbourne, Australia, syarikat dari Malaysia telah melabur dan akan membina bangunan setinggi 92 tingkat di sana.
Bangunan itu yang bernilai AS$770 juta suatu hari nanti akan jadi bangunan tertinggi di Melbourne. Tidak pula Mat Salleh di Melbourne kata Australia sudah tergadai pada Malaysia. Ada dengar tak?
Syarikat dari Malaysia juga banyak terlibat dalam projek pembangunan di Mekah, Arab Saudi. Tidak pula Tok Arab kata Arab Saudi sudah tergadai pada Malaysia?
Hanya pembangkang di Malaysia suka ‘membangangkan’ rakyat dengan teori “negara sudah kena gadai” kononnya mereka patriotik. Kalau patriotik kenapa minta campurtangan duta-duta Kesatuan Eropah (EU) pada PRU-14 akan datang? Kalau patriotik kenapa tidak sampaikan bantahan kepada duta-duta EU tentang kempen boikot minyak sawit terhadap Malaysia. Sebaliknya mengundang EU untuk campur tangan dalam PRU-14.
Pembangkang juga “recycle” balik cerita berkaitan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu walaupun mahkamah sudah pun membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang bersalah dan yang terlibat.
Pada saat begini undang-undang kekang berita palsu yang dicadangkan oleh Perdana Menteri adalah amat penting sekali. Ini kerana penyebaran maklumat dan berita seumpama itu boleh merosakkan kestabilan demokrasi negara ini.
Pembangkang yang sudah terdesak, tidak sabar menunggu pilihanraya untuk menggunakan berita palsu untuk berkuasa. Mereka tiada pilihan, kerana selama ini mereka tidak mempunyai sebarang sumbangan yang boleh dibanggakan, terutama dua negeri yang dikuasai iaitu Pulau Pinang dan Selangor. Melaikan kemusnahan alam sekitar, rasuah, salah guna kuasa dan kegagalan tadbir urus.
Pembangkang lebih suka mengelirukan rakyat dengan cerita cerita bohong ini agar minda rakyat penuh dengan toksik dan semangat kebencian terhadap kerajaan pusat yang memerintah.
Allah SWT Maha Berkuasa, akhirnya hari ini lihatlah parti mana yang penuh toksik dan kebencian?
Sesama parti pembangkang sekarang penuh dengan kesangsian dan huru hara. Di situ lompat, di sana keluar parti, di satu tempat lagi berebut kerusi.
Pembangkang sebenarnya tidak berpakat lagi. Elemen negatif yang mereka cuba semai menerusi cerita cerita tidak baik ini akhirnya balik ke mereka sendiri. Segala yang mereka lakukan sebelum ini memakan diri. Mereka sedang menuju ke kehancuran.

Thursday, 1 February 2018

ANTISAWIT EU - PAKATAN HARAPAN AKAN DIAJAR OLEH PENGUNDI FELDA DAN FELCRA DI 92 KERUSI PARLIMEN DAN 50 KERUSI DUN.


Kita rakyat Malaysia tidak pasti sama ada rombongan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menemui 16 orang duta Kesatuan Eropah (EU) di kediaman ketua delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez di Petaling Jaya Khamis lepas ada membangkitkan isu sekatan eksport dan anti minyak sawit.

Sekiranya ada sudah tentu ia merupakan satu bentuk penjajahan yang dijemput oleh Dr. Mahathir kepada kuasa asing EU terhadap komoditi negara ini.

Setakat ini tiada laporan mengenai isu besar berkepentingan berkaitan isu tersebut.

Hanya dipaparkan di portal berita, blog dan laman sosial dalam pertemuan dua jam itu berkisar gesaan gerombolan pembangkang kepada duta-duta EU supaya memberi tekanan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) secara bersih dan adil.

Apa yang tidak adilnya sistem pilihanraya di negara ini tidak dapat dipastikan di mana pakatan pembangkang sendiri meraih kemenangan di beberapa buah negeri dalam PRU-13 lalu.

Kalaupun Barisan Nasional (BN) bersikap diktator atau kuku besi, masakan BN mahu melepaskan dua negeri terkaya di Malaysia - Selangor dan Pulau Pinang - ke tangan PKR dan DAP begitu sahaja?

Sudah tentulah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan ‘dicucuk hidung’ untuk berpakat memenangkan BN dengan mengatur segala penipuan dan sabotaj dalam pilihan raya 2013 itu. Tapi ini tidak berlaku.

Malah di sebaliknya pula yang berlaku semasa PRU-13, iaitu pembangkang pula yang menipu dan mensabotaj pilihan raya dengan menyebar berita palsu tentang 40,000 pengundi hantu warga Bangladesh dan juga isu bergelap semasa pengiraan undi di mana kemudian ia didapati tidak benar serta merupakan berita palsu.

Melalui pengalaman itulah mengapa sekarang kerajaan sedang dalam proses untuk mengubal satu undang-undang untuk menangani berita palsu, yang merupakan darah daging pembangkang sejak dahulu lagi. Itulah sahaja sumbangan pembangkang terhadap rakyat dan negara ini setakat ini dan tidak ada perkara yang lain yang boleh membanggakan melaikan perkara yang menjijikan.

Bahkan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sepanjang 10 tahun pentadbiranya boleh berbuat macam-macam perkara tanpa sebarang halangan, sehinggalah beliau sendiri akhirnya terbabit dalam kes rasuah dan kontroversi projek mega terowong dasar laut.

Kalaulah Kerajaan Pusat mahu mensabotaj Selangor yang terlepas dua penggal dari gengamannya, masakan Selangor masih lagi menikmati perutukan RM564.6 juta dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk penyelenggaraan jalan seluruh negeri itu?

Itu belum lagi termasuk peruntukan-peruntukan lain bernilai puluhan dan jutaan juta ringgit untuk negeri di Lembah Klang itu.

Walaupun difahamkan banyak berlaku ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan terhadap dana-dana tersebut, tak mengapalah kerana mereka belum tertangkap. Nanti bila tertangkap, jangan salahkan SPRM atau Kerajaan Pusat atau UMNO dan BN, itu yang lazim dilakukan oleh pembangkang apabila didapati bersalah, kerana mereka sentiasa menganggap diri mereka sebagai malaikat dan orang lain sebagai setan.

Realitinya, isu pilihan raya yang dimomokkan sebagai tidak adil di Malaysia yang telah diulang 13 kali pilihan raya sebenarnya satu isu basi yang harus dibuang ke dalam tong sampah. Ini kali ke 14 diulang, yang memperlihatkan pembangkang ketandusan modal. Ya, ketandusan modal kecemerlangan yang sepatutnya disumbangkan kepada rakyat dan negara ini, selain daripada politik kebencian dan politik sabotaj yang sedang dilakukan sekarang.

Isu besar sebenarnya yang kami bangkitkan di sini adalah mengenai Dr. Mahathir dalam pertemuan dengan duta-duta EU terbabait ‘terkedu’ dan ‘tergamam’ untuk menyuarakan bantahan terhadap kempen antisawit oleh EU.

Bukannya Dr. Mahathir bersendirian di situ. Beliau ditemani Timbalan Presiden pakatan yang juga Presiden PAN, Mat Sabu, Ketua Setiausaha Sekretariat pakatan, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar dan Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bukankah mereka ini terkenal dengan kelantangan mulut yang celupar untuk ‘membahaskan’ dengan duta-duta EU terbabit?

Isu anti minyak sawit nampaknya langsung tiada kotak fikiran Dr. Mahathir semasa berada di kediaman duta EU, Maria Castillo Fernandez. Yang beliau fikir ialah hanya  politik untuk kepentingan peribadinya dengan mengundang kuasa asing untuk mencampuri urusan pilihan raya Malaysia.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu nampak tidak memikirkan langsung untung nasib peneroka FELDA dan FELCRA yang bergantung rezeki pendapatan pada kelapa sawit. Apa yang Dr. Mahthir mahu hanyalah undi daripada peneroka-peneroka ini, tentang kebajikan mereka harus dipersetankan.

Sedangkan EU sudah mengesahkan rancangannya mengharamkan bahan bakar biosawit yang menjadi sebahgian besar eksport Malaysia. Pengharaman ini akan bermula tahun 2021, iaitu tiga tahun sahaja lagi. Minyak sawit diakui penyumbang utama kepada ekonomi negara, masyarakat dan kemakmuran Malaysia.

Lebih 650,000 pekebun kecil bergantung kepada tanaman sawit. Jumlah ini akan mencecah 2.3 juta rakyat Malaysia sekiranya bilangan kanak-kanak daripada keluarga yang terbabit juga diambil kira.

Sebelum ini minyak sawit mendapat tempat di Eropah. Pada 2016, EU merupakan destinasi eksport yang penting bagi minyak sawit Malaysia - berjumlah 3.63 juta tan metrik yang bernilai RM 10.3 bilion - naik 4.14% berbanding RM 9.89 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanpun ‘gerhana’ melanda. Pelobi-pelobi di Eropah sengaja menjaja cerita tidak benar terhadap produk kelapa sawit. Malah kerajaan mendapat maklumat ada produk yang dipasarkan di sana digalakkan meletakkan label tanpa minyak sawit.

Tindakan diskriminasi ini hanya mengakibatkan kesan buruk terhadap industri kelapa sawit di negara ini termasuklah membabitkan 112,635 pekebun kecil di tanah rancangan FELDA, manakala FELCRA melibatkan 120,000 keluarga.

Bukan sahaja di Malaysia, jiran kita di Indonesia turut menjadi mangsa melibatkan 17.5 juta pekebun kecil.

EU menyerlahkan hipokrasi mereka dengan melakukan penjajahan ekonomi ke atas negara-negara pengeluar minyak sawit berhubung sekatan yang dicadangkan terhadap komoditi tersebut.

Langkah itu lebih kepada penjajahan berikutan ia didorong oleh alasan yang tidak berasas, susulan mereka menyedari terdapat hubungan antara kelapa sawit dan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar.

Maka, di mana air muka dan maruah Dr. Mahathir dan pemimpin pembangkang lain yang mengenepikan kepentingan peneroka dengan tidak membangkitkan langsung isu antisawit EU dalam pertemuan pada Khamis lepas?

Sama ada Dr. Mahathir sengaja enggan membangkitkan isu kempen antisawit EU ini kerana mahu meletakkan bebanan kepada kerajaan yang diharap akan dibenci oleh peneroka, itu tidak pasti, tetapi kemungkinannya benar.

Ini lebih-lebih lagi apabila PPBM diberi sepenuh kepercayaan oleh DAP menerusi peruntukan kerusi terbanyak pembangkang iaitu 52 kerusi dengan dikatakan bakal meletakkan calon-calon yang mana sebahagian besarnya adalah kerusi-kerusi di luar bandar terutamanya di kawsan FELDA.

Tapi yang pastinya dalam PRU-14 nanti, Pakatan Harapan akan ‘diajar’ oleh pengundi FELDA dan FELCRA di sekurangnya 92 kerusi Parlimen dan kira-kira 50 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, apabila mereka mensia-siakan pertemuan itu dengan tidak membangkitkan isu kempen antisawit EU yang menjejaskan pendapatan negara, terutamanya peneroka seluruh negara.