Monday 10 August 2020

ADA PIHAK CUBA KERUHKAN HUBUNGAN UMNO-PAS… PAS NAFI SURAT SOKONGAN SERTAI PN

 

“Yang pasti ada pihak yang cuba sedaya upaya untuk mengeruhkan hubungan antara UMNO dan PAS dengan sengaja mengeluarkan dan menyebarkan surat palsu.”

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berikutan tular surat mengatakan PAS menyatakan sokongan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) secara sah.

Katanya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi pihak PAS telah nafi mengeluarkan surat menyatakan sokongan untuk PN secara sah mengikut undang-undang, seperti yang diviralkan pihak tertentu di media sosial.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional Khamis lalu, kepimpinan kedua-dua parti UMNO dan PAS sepakat untuk tidak menyertai sebagai komponen kepada PN, sekiranya PPBM mahu mendaftarkannya secara rasmi sebagai sebuah parti politik,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya berkaitan isu tersebut.

Ujar Dr Asyraf lagi, ada juga video tular ucapan calon Ketua Pemuda Armada PPBM yang mendakwa PAS juga sudah bersetuju untuk bertanding atas logo PN yang kononnya bewarna biru gelap, sedangkan PN sehingga sekarang pun belum berdaftar. Masakan sebuah parti belum berdaftar dibenarkan menggunakan logo PN yang belum diluluskan oleh SPR? (Video ucapan pemimpin berkenaan disertakan)

“Apa-apa pun pendirian UMNO jelas tidak akan menyertai PN sebagai komponen parti sekiranya mahu didaftarkan,” katanya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial surat bertarikh 3 Ogos dan 27 Julai 2020 kononnya ditandatangani oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan persetujuan parti itu menjadi anggota penaja PN.

Surat itu juga turut menamakan Tuan Ibrahim dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Khairuddin Takiri sebagai ahli jawatankuasa penaja PN.

Sebelum ini Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN). 

 

Thursday 30 July 2020

KEPUTUSAN UMNO TIDAK LAGI SERTAI PN HARI INI, SEBALIKNYA MEMPERKASAKAN MN ADALAH SATU KEPUTUSAN YANG TEPAT


Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Katanya yang juga Pengerusi BN, sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan dibeberapa negeri tertentu.

“ YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN. Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi

Kesimpulannya UMNO tidak lagi secara rasmi sebagai komponen PN. Sokongan kepada PN sekarang hanyalah berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat sehingga PRU ke 15 sahaja.

 

Saturday 25 April 2020

UMNO TIDAK PERNAH SERTAI PN, KERANA IA BUKAN SATU ENTITI POLITIK - TOK MAT

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Utama Mohamad Haji Hasan berkata, UMNO tidak pernah menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana PN bukan satu entiti politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional (BN).
Jelas beliau, hubungan UMNO dengan PN ialah hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan (PH).
“Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, dalam artikelnya yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada 24 April 2020 menulis tentang dilemma UMNO dalam PN dan kemungkinan UMNO akan meninggalkan PN dalam pilihanraya akan datang.
“Saya berhasrat untuk mengulas tentang hanya satu perkara iaitu kedudukan UMNO dalam PN agar semua pihak memahami dengan jelas kedudukan UMNO dan haluan politiknya. UMNO tidak pernah menyertai PH… secara mudahnya, antara UMNO dan PN adalah persefahaman untuk menyelamat serta membentuk kerajaan dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH dan tidak lebih dari itu.
“Persefahaman ini berbeza dengan kerjasama politik UMNO dengan PAS yang dikenali sebagai Muafakat Nasional. Kerjasama ini diurus secara rasmi melalui Piagam Muafakat Nasional dan telah melalui pelbagai proses sumbangsaran, termasuk dibincangkan di Perhimpunan Agung sebelum Piagam tersebut dimeterai,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Tambah Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, UMNO juga mempunyai kerjasama politik yang mengikat antara MCA, MIC serta PBRS melalui BN. BN pula adalah sebuah entiti politik yang terdaftar.
“Maknanya UMNO dan PAS serta UMNO dan BN mempunyai perjanjian kerjasama politik yang teratur, kemas dan terikat. Matlamatnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan memenangi pilihanraya sebagai sebuah ‘coalition’. Tetapi jika tidak berjaya sekalipun, kerjasama politik itu akan tetap kekal dan berfungsi.
Kerjasama ini telah diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti, projek dan program politik bersama di pelbagai peringkat agar MN dan BN semakin mengukuh.
”Justeru, UMNO tidak akan menghadapi apa jua dilema tentang kedudukannya dalam PN. Ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian dalam bentuk apa jua dengan PN apatah lagi PPBM dan GPS. Ia hanya menyertai Kerajaan atas dasar mendukung Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia,” terang beliau.
Menjelaskan dengan lebih lanjut Tok mat berkata, sebagai parti politik, tugas dan fokus UMNO waktu ini ialah untuk menyediakan parti bagi memenangi PRU 15 akan datang bersama rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN.
“UMNO akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar di negara ini dan insyallah, parti yang akan memenangi paling banyak kerusi dalam PRU seperti lazimnya. Bagaimana UMNO ingin melakukannya, itu adalah urusan dan strategi dalaman UMNO dengan sekutunya iaitu PAS dan BN.
“Sebagai parti politik Melayu terbesar, UMNO mesti bertanding di semua kerusi tradisionalnya dan kerusi yang ia sangat berpotensi untuk menang. Kekuatan UMNO adalah di kawasan ‘the Malay heartland’ dan ia akan menguatkan pengaruh, keterlihatan dan khidmatnya di semua kawasan tersebut.
“Insyallah dengan dukungan jutaan ahli parti, orang Melayu serta seluruh rakyat Malaysia, UMNO akan bekerja keras untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi. Hanya dengan cara inilah, UMNO boleh menjadi parti dengan majoriti terbesar di Parlimen dan memimpin Kerajaan seperti sebelumnya,” ujar beliau.
Maka ujar Tok Mat, sesiapa yang ingin bekerjasama dengan UMNO sangatlah dialu-alukan tetapi mestilah dengan keikhlasan dan kesediaan mereka untuk menyertai Muafakat Nasional ataupun BN kerana UMNO sangat menghargai setiakawan rakan-rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN.
“Sesuatu selain dari Muafakat Nasional dan BN, adalah tidak strategik kepada kelangsungan UMNO,” tegas beliau.




ZAMRI VINOTH -ADAKAH YB RAMASAMY PENGANAS LTTE??


ZAMRI VINOTH MENCABAR YB RAMASAMY(TIMBALAN KETUA MENTERI PENANG) UNTUK MEMBUKTIKAN MELALUI DEBAT BAHAWA BELIAU BUKAN PENGANAS DARI LTTE UNTUK MENGHILANGKAN KERESAHAN RAKYAT

Saturday 18 April 2020

EXCO ARMADA JANGAN SEMBERONO, PRESIDEN UMNO ADA HAK KEMUKAKAN CADANGAN PELANTIKAN GLC

Hak pelantikan jawatan kabinet dan pengerusi-pengerusi GLC merupakan kuasa preogratif Perdana Menteri tetapi sebagai Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak untuk memohon pertimbangan dalam apa-apa saja pelantikan kerajaan membabitkan pemimpin UMNO.
Tindakan Exco ARMADA Mohd Ashraf yang ‘mengherdik’ Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerana menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kurang ajar dan semberono.
Kami faham ramai berpendapat tidak elok berpolitik ketika COVID-19 ini. Namun Perdana Menteri sedang membuat pelantikan, maka mahu tidak mahu Ahmad Zahid perlu mengemukakan pandangan beliau.
Persoalannya, apa salahnya Ahmad Zahid mencadangkan beberapa nama pemimpin UMNO Sabah supaya dipertimbangkan dalam agensi kerajaan dan GLC?
Amat mustahillah jika semua nama tidak layak dipertimbangkan. Namun jika tidak layak pun jawablah, secara adat orang berkawan, bukan seolah mencari musuh.
Sekiranya Armada Bersatu sudah lupa, elok diingatkan bahawa Ahmad Zahid adalah antara orang yang telah menjayakan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meletakkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Jika Armada Bersatu juga sudah lupa lagi eloklah diingatkan bahawa BN mempunyai 39 kerusi Parlimen dan merupakan antara parti komponen terbesar dalam PN sekarang.
Justeru kami nasihatkan Armada Bersatu jangan masuk campur dalam hal membabitkan urusan tertinggi parti. Ukur baju di badan sendiri sebelum menunding jari. Sedarlah kerajaan PN ini seperti telur dihujung tanduk sahaja. Tidak siapa yang untung sekiranya ia tumbang. Terutama Bersatu yang mempunyai kerusi bukan majoriti berbanding dengan Mufakat Nasional (UMNO/BN dan PAS) dalam PN.
Oleh itu jikalau mengurus masalah biar seperti menarik rambut dari tepung. Biar tepung tidak berselerak. Takut nanti kerana pulut santan binasa, kerana mulut kerajaan PN binasa.
Terdahulu Mohd Ashraf dilapor menggesa Ahmad Zahid supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran Muhyiddin kerana menjadi “hak prerogatif perdana menteri” untuk membuat lantikan dalam GLC.
Kenyataan beliau bahawa ‘UMNO gila kuasa seakan UMNO sahaja yang layak adalah suatu perlakuan yang tidak mencerminkan keharmonian dalam gabungan dan ini tidak seharusnya ditonjolkan oleh beliau.

KEMUKA CADANGAN DAN MENCAMPURI URUSAN PM DUA PERKARA BERBEZA - EXCO ARMADA PPBM JANGAN BIADAP

Exco Armada PBBM Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir diingatkan agar jangan biadap berhubung kenyataanya sebelum ini yang meminta supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mencampuri berlebihan urusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kami netizen berpendapat bahawa mencampuri urusan PM dan mengemukakan cadangan adalah dua perkara yang berbeza dan tidak timbul sepertimana yang diperkatakan oleh Exco Armada berkenaan.
Pada mulanya kami tidak ingin respon terhadap kenyataan dangkal dan jelas membuktikan yang dia masih lagi cetek dan ketandusan pengalaman dalam berpolitik. Bahkan secara jujurnya tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu kepada Presiden UMNO.
Kami minta dia baca dan hadam terlebih dulu surat yang ingin dihantar Presiden UMNO itu kepada Perdana Menteri sebelum membuat kenyataan yang dangkal dan membabi buta dengan emosi. Surat yang dikemukakan Presiden UMNO merupakan cadangan, bukan bermakna ia sesuatu yang bersifat mutlak. Adalah sesuatu yang normal, Presiden bagi sebuah parti mengemukakan cadangan dan kuasa Perdana Menteri untuk menerima atau sebaliknya.
Malah, surat yang dihantar itu penuh dengan tertib, jadi di mana urusan mencampuri tugas Perdana Menteri seperti yang dibangkitkan Exco Armada ini ?.
Persoalannya  apakah Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk hari ini terhasil dengan kekuatan satu parti saja, yang membuat beliau angkuh dan sombong? Apakah tanpa UMNO dan PAS, PN masih berupaya membentuk kerajaan?
Kami berpendapat bahawa apabila UMNO menjadi sebagai daripada kerajaan PN, bermakna UMNO juga berhak untuk bersuara dan mengemukakan pandangan.
Mencampuri urusan Perdana Menteri dan mengemukakan cadangan adalah dua perkara yang berbeza dan saya harap Exco Armada ini dapat menghadam maknanya, supaya tidak terjebak dalam politik yang kuno.
Begitu juga dengan kenyataan Datuk A Kadir Jasin yang menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuli UMNO hanya dengan surat cadangan itu. Kami kira rakyat Malaysia cukup mengenali siapa Kadir Jasin, seorang pentaksub tegar kepada mantan perdana menteri ketujuh.
Kalau kita membaca pemikiran beliau, hanya apa yang beliau cakapkan saja yang betul, jadi kami kira rakyat Malaysia cukup mengenali sikap dan perangai Kadir Jasin ia iaitu seorang wartawan tua penjilat tegar kepada seorang pemimpin tua bernama Mahathir Mohammad.

Friday 17 April 2020

BEBERAPA INDIKASI PERLU DILIHAT SEBELUM PKP DITAMATKAN- KP KESIHATAN

Beberapa indikasi perlu dilihat terlebih dahulu sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham berkata antara faktor yang perlu dikenal pasti untuk menamatkan PKP adalah pengurangan kes positif COVID-19 yang direkodkan, sama ada masih ada kebolehjangkitan virus tersebut.
“Bagi penamatan PKP, kita mesti ada ‘exit strategy’, dan antara indikasi-indikasi kita ialah pengurangan kes yang masih dirawat atau kebolehjangkitan kes. Sekarang ini kita ada 2,198 kes (kes kebolehjangkitan) tapi kalau kes berkurangan maksudnya kita ada pengurangan kes jangkitan di komuniti. Antara seorang dengan seorang jadi itu adalah salah satu faktor.
“Yang kedua, kita menggunakan survailance (pengawasan). Survailance yang kita laksanakan dari bulan Januari lepas yang kita lihat kepada kes-kes influenza-like-illness (ILI) and severe acute respiratory syndrome (SARI) di dalam komuniti,” katanya pada sidang media COVID-19 di sini, hari ini.
Jelasnya, pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kes-kes SARI semakin berkurangan.
“Jadi mungkin itu salah satu indikasi yang lain untuk kita menasihatkan kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk menamatkan PKP, dan juga kita lihat kepada kawasan-kawasan yang tertentu, kepadatan kawasan tersebut sama ada ada atau tidak ada jangkitan, wujudnya kluster-kluster baharu di kawasan di sesebuah kawasan,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata keupayaan makmal untuk mengesan kes positif COVID-19 tepat dan cepat serta kemampuan KKM untuk menampung pesakit antara dua isu yang perlu ditangani pihaknya bagi menamatkan PKP.
Menjawab pertanyaan pemberita mengenai petanda awal KKM berjaya melandaikan keluk pandemik, Dr Noor Hisham mengakui memang unjuran kes-kes positif COVID-19 iaitu kes kebolehjangkitan sekarang semakin berkurang.
“Sekarang ini masih ada 2,000 lebih kes positif. Kalau kita dapat jalankan aktiviti pemulihan sebagaimana kita laksanakan pada PKP 1 dan 2, kita boleh kurangkan (jumlah itu).
“Ada satu ketika kes 4,000 lebih sekarang kebolehjangkitan hanya 2,198, jadi tindakan kita walaupun hari ini kita ada 69 kes, yang penting adalah kita kurangkan lagi kes kebolehjangkitan ini lebih kurang 2,000 hingga 1,500.
Jelasnya, apabila kes tersebut berkurang, pengawalan akan lebih baik dan mudah bagi KKM menumpukan pada kawasan dan kumpulan berisiko tinggi. 

Thursday 16 April 2020

KENYATAAN NGEH KOO HAM DAP, FAUZIAH SALLEH BUAT KESILAPAN TIDAK SENGAJA?

Penasihat DAP Perak Ngeh Koo Ham berkata, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan menyalah guna kuasa dengan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Kuantan Fauziah Salleh yang membuat kesilapan tidak disengajakan.

Seterusnya beliau berkata “Fuziah Salleh dan media mempunyai kewajipan untuk memastikan rakyat kita dimaklumkan tentang peristiwa-peristiwa terkini, undang-undang melindungi mereka daripada apa-apa pendakwaan jenayah sekiranya terdapat kekhilafan atau kesilapan yang disebabkan oleh kesilapan fakta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Koo Ham berkata, kesilapan fakta adalah satu pembelaan lengkap di bawah Undang-Undang Am dan di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 76 & 79).

Di bawah undang-undang jenayah negara kita, niat untuk melakukan jenayah merupakan asas sebelum sebarang tindakan itu boleh dikatakan sebagai satu tindakan jenayah.

Video yang dimuat naik di akaun Facebook Fuziah menunjukkan keadaan bersesak-sesak melibatkan pekerja Malaysia dari Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, namun ia segera dipadam apabila didapati rakaman video lama.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pertama ialah, persoalannya apakah bukti Ngeh bahawa kerajaan telah menyalah guna kuasa apabila mendakwa Fauziah Salleh? Adakah mana-mana peruntukan dalam undang-undang negara bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang mempunyai immuniti terhadap pendakwaan jenayah atau lain-lain pendakwaan. Yang anehnya apabila tuduhan jenayah dikenakan terhadap pembangkang ‘ia dikatakan kerajaan menyalah guna kuasa’. Tetapi apabila tuduhan yang sama terhadap pihak lain ‘ia dikatakan kerajaan tidak menyalah guna kuasa’.Untuk maklumat Ngeh kononnya seorang pengamal undang-undang, bahawa Malaysia tidak mampu mempunyai satu set undang-undang yang lain khas untuk ‘pembangkang sahaja’. In fact nobody is above the law ‘including you’.

Kedua ialah, memang benar bahawa di bawah undang-undang jenayah negara, pihak pendakwa perlu membuktikan niat seseorang pelaku jenayah sebelum ia dikatakan sebagai satu tindakan jenayah. Persoalannya, adakah anda berpendapat pihak PDRM ketika menjalankan penyiasatan dan pihak Pendakwa Raya ketika mendakwa mereka, ‘naive’ tentang asas-asas ini? Perlu diingatkan, anda sebagai pengamal undang-undang bukan seorang sahaja yang tahu asas-asas ini, mereka juga bukan sahaja tahu malah mengamalkannya dalam kerjaya mereka setiap hari.

Ketiga ialah, anda menyatakan di bawah undang-undang Am dan di bawah Kanun Keseksaan seksyen 76 & 79, kesilapan fakta adalah satu pembelaan lengkap. Mungkin kesilapan fakta daripada pihak Pendakwa Raya merupakan satu pembelaan lengkap terhadap yang tertuduh untuk dilepaskan. Tetapi, persoalannya macam mana pula kesilapan fakta oleh yang tertuduh kepada mahkamah, yang hampir kepada pembohongan?

Seandainya niat untuk melakukan Sekysen 500 KK (fitnah) dan Seksyen 505(b) KK (kenyataan yang mendatangkan khianat awam) telah berjaya dibuktikan oleh Pendakwa Raya di mahkamah ‘melampaui keraguan yang munasabah’ (beyond reasonable doubt). Persoalannya mampukah pihak tertuduh menjadikan ‘kesilapan fakta’ sebagai alasan di bawah seksyen 76 & 79 sebagai pembelaan lengkap untuk yang tertuduh dilepaskan?

Amat tidak masuk akal bagi tertuduh yang telah jaya dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah berniat untuk memfitnah serta membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam, tetapi dilepaskan begitu sahaja oleh kerana di akhirnya mengatakan ia hanya ‘kesilapan fakta’ atau ‘tidak sengaja’ sahaja yang mana telah dianggap oleh Ngeh Koo Ham sebagai satu pembelaan yang lengkap untuk melepaskan diri atau dugugur pertuduhan.

Lazimnya sesuatu jenayah sudah tentu ia dilakukan dengan niat serta dirancang terlebih dahulu. Tidak ada jenayah yang dilakukan tanpa niat serta perancangan. Masakan setelah melakukannya dan niat untuk melakukan jenayah sudah terbukti oleh pendakwa, tiba-tiba tertuduh kembali semula dengan mengatakan ‘fakta keterangan yang diberi adalah silap’ atau ‘jenayah dilakukan dengan tidak sengaja’.Sesungguhnya itu bukanlah satu kriteria pembelaan yang lengkap untuk memudakan tertuduh dibebaskan. Mungkin ini akan diambil kira oleh hakim dalam proses mitigasi untuk meringan hukuman bukan untuk membebaskan tertuduh.

Kesimpulannya, kenyataan media Ngeh Koo Ham itu dianggap hanya merupakan satu pembelaan politik hanya untuk membentuk persepsi rakyat bahawa kerajaan tidak adil kerana menyalah guna kuasa. Dari segi undang-undang pula, beliau hanya mahu menunjuk-nunjuk yang dia seoranglah yang tahu tentang undang-undang. Malahan nas undang-undang yang beliau beri, tidak munasabah dengan kes yang beliau cuba pertahankan itu.