Wednesday, 27 November 2019

TINDAKAN TEGAS PERLU DIAMBIL KEATAS PIHAK YANG TERLIBAT MEMBAWA BALIK ABU MAYAT CHING PENG DAN MENUKAR BINTANG 14 PENJURU JALUR GEMILANG KEPADA BINTANG 5 PENJURU MILIK PARTI KOMUNIS MALAYA

Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini konsisten dengan pendiriannya tidak membenarkan abu mayat Ching Peng, Ketua Komunis Malaya dibawa pulang ke tanahair.  Ini disahkan sendiri oleh Datuk Aziz Jamman, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan beliau juga menegaskan bahawa pendirian KDN kini kekal sama.

Membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke negara ini membawa banyak maksud dan natijah yang sangat buruk dan tragis kepada negara dan rakyat negara ini.  Ini bukan soal membawa pulang abu mayat seorang lelaki Cina atau seorang bukan Islam.  Ini soal membawa masuk abu mayat seorang ketua pengganas yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan lebih dari 10,000 orang rakyat Malaysia berbilang kaum khususnya pejuang-pejuang tanah air kita daripada pihak Polis, Tentera dan pelbagai pihak lain termasuk orang awam.

Mereka yang membawa pulang abu Mayat Ching Peng dan yang sengaja menukar bintang 14 penjuru Jalur Gemilang kepada bintang Parti Komunis Malaya 5 penjuru telah jelas melukakan hati rakyat Malaysia yang pernah berjuang menentang komunis dan mempunyai anggota keluarga yang pernah terkorban atau cedera akibat keganasan pihak komunis.  

Sungguhpun kami kecewa dengan tindakan biadap mengiktiraf dan cuba menghidupkan semula ideologi komunis ini, Sekretariat Suara Rakyat TIDAK AKAN membazir masa membuat sebarang laporan polis berhubung isu ini.  Ini adalah disebabkan, sebarang laporan polis yang dibuat keatas manusia-manusia yang biadap dan tidak sensitif ini sudah pasti tidak akan diambil sebarang tindakan oleh Jabatan Peguam Negara yang diketuai oleh bekas Peguam Ketua Komunis Malaya, Ching Peng.

Hanya ada satu cara bagi rakyat menghukum mereka yang membawa masuk abu mayat Ching Peng dan mereka yang menghina bendera negara ini iaitu dengan menolak terlebih dahulu Perdana Menteri dan Kerajaan Pakatan Harapan yang telah memaksa DYMM SPB Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad V untuk melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.  Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed, yang menjadi kuda tunggangan saudara mara Ching Peng di dalam DAP adalah punca sebenar semua kebiadapan ini berlaku.

Tun Mahathir sepatutnya memberi nama lain selain Tommy Thomas setelah Baginda YDP Agong menolak nama Tommy Thomas yang merupakan Peguam Ketua Komunis Malaya dan Peguam Lim Guan Eng sebagai Peguam Negara.  Sebaliknya, Tun Mahathir bertegas tidak mahu menamakan nama lain sebagai Peguam Negara selain Tommy Thomas.  Ini jelas membuktikan bahawa Tun Mahathir telah memaksa YDP Agong, bukan menasihati YDP Agong.

Akibat pengkhianatan Tun Mahathir ini, terlalu banyak kerosakan telah dilakukan oleh Peguam Ketua Komunis Malaya ini.  Dengan kuasa untuk mendakwa sesiapa yang beliau suka, Tommy telah menganiaya pimpinan UMNO dengan pendakwaan terpilih dan pendakwaan berniat jahat.  Malah, penjawat awam seperti arwah Adib, Wira Bomba kita turut menjadi mangsa KETIDAKADILANNYA. Pemangku YDP Agong dan Kerajaan Malaysia juga tidak diberikan maklumat yang sahih sehingga negara diaibkan dengan kewujudan Tribunal untuk menghukum 6 Ahli Suruhanjaya Pilihanraya yang sudahpun meletakkan jawatan serta peristiwa pahit Kerajaan Malaysia Menandatangani Statut Rome.

Dengan kuasa yang ada pada Peguam Ching Peng ini juga, kita telah melihat semua tuduhan keatas pimpinan Pakatan Harapan seperti Sivarasa Rasiah, Eric Paulsen, Tian Chua, Hassan Karim, Rafizi Ramli, Tamrin Ghafar, Phang Li Kun, Lim Guan Eng dan ramai lagi, semuanya telah digugurkan.  Malah mereka yang menyokong penganas LTTE juga mendapat keistimewaan yang sama seperti mereka yang menyokong keganasan komunis dalam negara ini.  Tindakan Tommy ini telah menghantar mesej yang salah kepada dunia luar seolah-olah Malaysia menyokong perjuangan komunis dan keganasan.

Sia-sia langkah bijaksana Allahyarham Tun Razak menjalinkan hubungan diplomatik dan hubungan dagangan dengan Negeri China bagi menghentikan bantuan kewangan dan senjata Kerajaan China kepada Parti Komunis Malaya.  

Akhirnya, Mahathir yang dikutipnya semula selepas dipecat Tunku Abdul Rahman, memberi nyawa pula kepada ideologi komunis bertapak dalam negara ini dengan melantik Peguam Ketua Komunis Malaya sebagai Peguam Negara.  Sewajarnya juga, rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya, tindakan mana-mana pihak yang memberikan sokongan untuk Perdana Menteri Tunggangan DAP ini terus mengekalkan kuasanya dan melakukan lebih banyak kerosakkan.

No comments:

Post a Comment