Friday 24 May 2019

MATRIKULASI HAK ORANG MELAYU


Kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bahawa isu kuota matrikulasi kepada bukan bumiputera dan syarat fasih berbahasa Mandarin ketika temu duga pekerjaan yang tidak boleh dilihat secara terpisah mengundang kecaman pelbagai pihak.
Maszlee diasak ramai pemimpin dan penyokong DAP serta MCA dan Gerakan sehingga timbul dakwaan kononnya mahu beliau digugurkan daripada Kabinet.
Namun ramai pihak mempertahankan menteri itu atas pelbagai sebab, termasuk bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang melihat daripada aspek Perlembagaan Persekutuan.
Berikut adalah kenyataan penuh Mohamed Mustafa:-

Dalam kes ini adalah dengan menyediakan tempat dan biasiswa kepada mereka bagi melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang yang mereka masih lemah dan kerajaan wajib sediakan.Isu matrikulasi ini senang sangat hendak dijawab. Ia adalah satu dasar yang dibuat selaras dengan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan di bawah Hak-hak Istimewa Orang Melayu di mana Yang di-Pertuan Agong boleh minta perezaban tempat kepada kerajaan untuk orang Melayu bagi mendapat pendidikan, biasiswa, tender, permit dan tempat dalam perkhidmatan awam.
Sama juga bagi kes Universiti Teknologi Mara (UiTM), tender kerajaan untuk kontraktor bumiputera, lesen dan permit serta perkhidmatan kerajaan.
Sebarang perubahan dasar pentadbiran dalam hal ini perlu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu untuk dibincang dan diperkenankan. Ini di bawah Perkara 38 (5). Jadi menteri dan kerajaan hanya laksana.
Siapa bantah dan tidak setuju bermakna mencabar Perlembagaan Persekutuan. Kenapa dasar ini dibuat, tentunya kerana ada keperluan kerajaan membantu anak-anak Melayu dan bumiputera yang masih tercicir dalam bidang pendidikan tinggi terutama bidang-bidang kritikal.
Buka 10 peratus untuk bukan bumiputera pun sudah patut bersyukur dan berterima kasih. Mahu apa lagi? Perkara 153 itu tukar gantinya atau Quid pro quo ialah kerakyatan dan kewarganegaraan secara jus soli kepada kaum bukan Melayu yang status asalnya kaum-kaum imigran di Tanah Melayu.
Perlembagaan dan kompromi merdeka antara elit-elit kaum Melayu dan bukan Melayu yang merealisasikan ini semua dan ia dimaktubkan dan dibuat provisi dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara mengenai kerakyatan dan Perkara 3 Islam Agama Rasmi, Perkara 152 Bahasa Melayu, Perkara 153 Hak Istimewa dan yang berkaitan dengannya.
Jadi fahamilah punca kuasa isu matrikulasi ini dan sedikit sejarah mengenai Perlembagaan Persekutuan. Masalahnya adakah hal ini diajar di sekolah-sekolah vernakular?


No comments:

Post a Comment