Thursday 6 June 2019

KESILAPAN LALU MENGAJAR NAJIB UNTUK BANGKIT SEMULA

Bekas perdana menteri Najib Razak kini dilihat sudah mula bangkit daripada kekecewaan selepas tewas pada pilihan raya umum ke-14. Jika dulu Najib jatuh disebabkan kuasa media sosial. Pelbagai cemuhan, tohmahan dan kutukan dilemparkan melalui pelbagai platform sehingga akhirnya parti pimpinan beliau gagal mengekalkan kuasa.
Ada beberapa kesilapan yang menyebabkan Barisan Nasional gagal mempertahankan kuasa. Salah satunya bertitik-tolak daripada serangan tanpa henti rakyat terhadap akaun media sosial Najib.
Jika tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya, Najib dilihat tidak begitu mesra dengan rakyat melalui media sosial. Beliau gagal menjawab persoalan demi persoalan yang diajukan rakyat. Daripada isu ekonomi, pertukaran jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, pengangguran, sehingga menyentuh hal-hal peribadi, semuanya gagal dijawab.
Itu setahun yang lalu, iaitu semasa Najib memegang jawatan perdana menteri.
Selepas tewas, Najib dilihat tercari-cari rentak baru dalam pentas politik. Pertuduhan di mahkamah pula menambah lagi tekanan sehingga mengakibatkan ada dalam kalangan ahli politik mula meninggalkan blok pembangkang dan menyertai blok pemerintah.
Secara tiba-tiba, istilah “bossku” muncul di saat suhu politik sedang hangat sehingga menaikkan semula nama Najib.
Selepas gagal menambat hati rakyat pada PRU14, nampaknya kali ini Najib betul-betul bersedia berhadapan dengan rakyat.
Kita semua tidak tahu berapa ramai jumlah “tentera” media sosial yang ditugaskan, namun pasukan beliau dilihat seolah-olah sudah mampu menghidu kelemahan lawan.
Ini kerana, hampir keseluruhan menteri dan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) tidak begitu popular di media sosial. Mereka juga tidak terkedepan dan gagal menjawab persoalan demi persoalan yang dilemparkan rakyat.
Melihat kepada kelompongan yang ada, pasukan media sosial Najib mengambil peluang dengan menyerang tanpa henti menteri kabinet PH.
Serangan demi serangan berlandaskan fakta mengakibatkan PH hanya mengambil langkah berdiam diri. Ada juga beberapa orang pemimpin tertinggi PH cuba menjawab semula melalui media sosial, namun jawapan mereka disusuli komen-komen negatif daripada rakyat.
Jika PH ingin terus kekal berkuasa, berusahalah menjawab persoalan dan menangani keresahan rakyat yang dilontarkan melalui media sosial. Jika tidak, PH akan ditolak oleh rakyat pada PRU 15 akan datang, sama seperti apa yang berlaku terhadap kerajaan sebelum in pada PRU 14.


No comments:

Post a Comment