Thursday 25 April 2019

INKUES MUHAMMAD ADIB: KERAJAAN TERUS DIDESAK TUBUH RCI - PERKASA

KUALA LUMPUR 25 April - Kerajaan sekali lagi digesa menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengheret penjenayah ke atas kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim ke muka keadilan.
Gesaan tegas oleh Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif itu berikutan pihaknya menjangkakan ketidakadilan pasti berlaku jika kematian Muhammad Adib tidak dipandang serius.
Jelasnya, lebih menjengkelkan lagi apabila tular dua pakar forensik yang juga saksi pakar bagi prosiding inkues kematian Muhammad Adib membuat laporan polis berhubung ugutan serta cubaan mempengaruhi penilaian mereka ketika pendengaran inkues masih berlangsung.

“RCI ini perlu ditubuh segera kerana kredibiliti dan integriti inkues Muhammad Adib sudah pun tercalar dan seterusnya mencemarkan institusi kehakiman yang mulia. Keterangan-keterangan yang telah dimanipulasi pasti akan memberi impak negatif dan tidak boleh diperakui di dalam keputusan inkues jika ia tetap diteruskan.
“Peguam Negara yang memfailkan afidavit mengenai kematian Adib juga tidak sepatutnya berlaku kerana tindakan itu seperti telah meletakkan satu keputusan tertentu mendahului keputusan inkues yang sedang berlangsung sekali gus bersifat tidak menghormati kemuliaan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tegas beliau, tiada alasan untuk kerajaan tidak mewujudkan RCI berkenaan kerana jelas saksi-saksi inkues yang terlibat telah dipengaruhi bagi memberi penilaian yang tidak tepat dan sesuai mengikut penelitian mereka.
“Perkasa berharap agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang melaung-laungkan ‘rule of law’ jangan cakap tak serupa bikin dan memandang serius hal ini.
“Perkasa akan terus mendesak bagi memastikan keluarga Allahyarham mendapat pembelaan yang sepatutnya dan penjenayah yang mengakibatkan kecederaan hingga membawa kepada kematian arwah Muhammad Adib menerima hukuman yang setimpalnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment