Monday, 13 April 2020

MAT JENIN MALAYSIA : DULU BERANGAN, SEKARANG MEROYAN

1. Siapa tidak pernah mendengar sebuah cerita rakyat berkenaan seorang jejaka yang kuat berangan bernama Mat Jenin. Sebatang tubuh yang dihikayatkan dengan sikapnya yang kuat berangan dan pada akhir riwayat hidupnya, dia menjadi mangsa kepada angan-angannya sendiri, lalu meninggal dunia dek tersungkur jatuh dari pohon kelapa. Kisah ini merupakan sebuah cerita yang banyak memberi iktibar kepada seluruh warga tidak mengira tua atau muda malah tidak salah jika kita katakan bahawa cerita ini adalah antara cerita yang mempunyai pengajaran yang “evergreen”. Hinggakan pada masa kontemporari ini juga kita dapat melihat jenin-jenin sebegini melata. Angan mereka bukan lagi terhenti dengan mengahwini anak raja, malah pada versi terbaharu mereka ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia.
2. Seiring tumbangnya Pakatan Harapan pada 1 Mac 2020 yang lalu, runtuhlah bersama angan Mat Jenin Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak sekian lama. Terus mempolitikkan keadaan semasa biarpun dalam pergelutan negara menghadapi wabak Covid-19. Terkini, pada tanggal 9 April baru-baru ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan pula sebuah kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan berbentuk sebuah video, mengatakan bahawa YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah merangkap Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah memfitnah beliau sebagai seorang ahli Freemason menerusi surat terbuka yang dihantar oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kepada pemimpin gerakan Islam di Timur Tengah bertarikh 22 Mac 2020.
3. Berdasarkan terjemahan surat tersebut ke Bahasa Melayu oleh ‘Friends of Harapan Jordan’, setelah diteliti, jelas tanpa samar, hanya dua perkataan Freemason yang dijumpai terselit dalam penulisan tersebut.
Pertama:
“Kemudian setelah Pakatan Harapan berjaya mengubah kerajaan dengan kemenangan mereka dalam pilihanraya, berlaku usaha dalaman untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri oleh DAP, PKR dan AMANAH bagi mengetepikan Tun Mahathir, dengan sokongan Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan juga Freemason.”
Kedua:
“Selepas YDP Agong bertemu dengan semua pemimpin setiap parti untuk mendapatkan sokongan terbanyak, telah jelas kepada YDP Agong setelah melakukan dan melaksanakan setiap proses melalui demokrasi dan mengikut perlembagaan. Maka telah gagal gerakan balas tersebut meskipun dengan campurtangan daripada duta-duta Barat dan para penasihat Freemason dan Zionis.”
4. Daripada kedua-dua perkataan Freemason yang dijumpai dalam teks terjemahan tersebut, ternyata tidak ada sama sekali kenyataan berunsur fitnah yang melabel Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli Freemason. Dalam teks tersebut hanya ditekankan mengenai wujudnya komplot yang dikaitkan dengan Freemason dalam usaha mengangkat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia. Impian setinggi langit ingin menjadi Perdana Menteri, sedang bahasa ibunda sendiri tertatih, gagal memahami.
5. Malah, pernyataan seperti “Delegasi Amerika yang mengajak PAS untuk menyertai Pakatan Harapan dan membantu Anwar Ibrahim menumbangkan Tun Mahathir” dalam surat tersebut tidak pula dipersoalkan oleh Dato’ Seri Anwar sendiri. Jelas hal ini menjadi manifestasi bahawa beliau sendiri tidak menafikan hubungan erat beliau dengan entiti luar seperti Amerika sehingga mendapat sokongan yang sebegitu rupa. Maka benarlah apa yang diperkatakan oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
6. Justeru kami, Sinergi Mahasiswa Islam (SMI) mengecam sepenuhnya fitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Perkara ini tidak ubah adalah Falasi Strawman Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan sendiri mewujudkan persepsi bahawa beliau yang difitnah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi lalu menjadikan persepsi tersebut bahan makian beramai-ramai. Masih terngiang lagi kata-kata yang telah diungkapkan olehnya ketika tindakannya mencemar pentas Dewan Kuliah Pusat 3, USIM dengan fitnah terhadap Presiden PAS. Katanya bahawa padanya ada bukti-bukti bahawa YB Marang telah mengambil wang sebanyak RM 90 juta. Akan tetapi, daripada tarikh tersebut sehinggalah ke saat Pakatan Harapan ini tumbang, tiada sebutir habuk pun bukti yang dicanang olehnya kelihatan.
7. Sudah-sudahlah bersandiwara, bermain karakter ‘victim of circumstances’ sebegini, asyik meraih simpati demi karier politik sendiri. Kami sangat berharap agar Dato’ Seri Anwar insaf dengan apa yang berlaku dan menghentikan segala tohmahan ini. Kami juga selalu memerah otak, entah apa yang merasukimu Dato’ Seri Anwar Ibrahim tatkala anda berada di dalam tahanan suatu ketika dahulu.
“LIQAUMIN YATAFAKKARUN”
NURUL IZZAH BINTI ZAHIR
JABATAN KAJIAN DAN INTELEKTUAL
SINERGI MAHASISWA ISLAM
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

No comments:

Post a Comment