Kami bekas tentera yang mempunyai pengalaman tentang keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) ingin menempelak kenyataan Pengerusi Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menganggap kemarahan rakyat dalam isu Chin Peng hanya akan menimbulkan huru-hara dan pertelagahan antara kaum.
Malah, kami melihat, kononnya andaian Patriot bahawa kemarahan orang ramai adalah satu polemik untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), adalah satu kenyataan yang naive, amat dangkal dan tidak bermoral.
Terdapat perbezaan yang jelas antara Chin Peng dan anggota PKM yang telah pulang ke Malaysia dahulu. Seingat kami, Chin Peng tidak pernah meminta maaf dan beliau adalah ketua kumpulan pengganas yang membunuh ribuan askar, polis dan orang awam. Manakala bekas anggota lain telah memohon maaf dan mereka hanyalah pengikut dan telah kembali ke pangkuan masyarakat.
Patriot yang dilihat tidak menunjukkan sebarang semangat patriotik telah mengaitkan kemarahan rakyat dengan perkauman. Tetapi ingatkah bahawa yang telah terbunuh termasuk juga ramai askar dan polis yang berbangsa Cina.
Rata-rata keluarga mereka ini masih ada dan masih terkesan dengan pembunuhan ini oleh PKM. Apakah ini dikatakan sebagai perkauman?”
Kelmarin, Patriot mengeluarkan kenyataan menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap isu abu bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng dijadikan isu perkauman untuk memburukkan kerajaan.
Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji berharap supaya insiden memerangi PKM dapat dijadikan pengajaran untuk generasi akan datang dan bukannya membangkitkan isu perkauman.
Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan dibawa ke Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.
Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81, dilaporkan berkata, separuh daripada abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.
Mengulas lanjut, kami bekas tentera meluahkan rasa hairan apabila Patriot bersikap terlalu ‘protective’ seolah melindung pihak tertentu dengan membuat sangkaan yang tidak berasas.
Ini soal moral pejuang negara, jati diri anak bangsa, maruah negara dan emosi keluarga mangsa. Bukan soal perkauman! Tidak sama sekali.
Kita telah dengar luahan kekecewaan ramai askar dan bekas-bekas askar yang kecewa dengan tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng ini.
Jadi, Patriot sebenarnya tidak mewakili kami bekas tentera dan dilihat seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi untuk mengembalikan perjuangan PKM di tanah air ini.
Dalam pada itu, kami yakin bahawa terdapat agenda tersembunyi yang cuba dibawa oleh golongan berhaluan kiri terutamanya dalam parti DAP untuk menghidupkan kembali ideologi komunis dalam masyarakat. Banyak bukti telah didedahkan setakat ini sejak kerajaan Pakatan Harapan yang dikuasai DAP memerintah negara ini.
Kami harap Patriot lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan terutamanya untuk isu yang sensitif sebegini, demi untuk mengambil hati tuannya sebagai tentera upahan DAP.
No comments:
Post a Comment