27 JUN: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan gambaran nilai lebih 1 bilion ringgit barangan rampasan yang dinyatakan oleh pihak polis dalam sidang media hari ini.
Rampasan itu sekali lagi menjadi isu panas di media yang dilaporkan secara meluas media dalam dan luar negara, memberi gambaran kesalahan di pihak beliau.
“(Nilai ini) bergantung pada sumber batu permata tersebut, bergantung pada bila dihadiahkan dan masa dibeli. Penilaian boleh berbeza,” katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan portal berita Malaysiakini.
Kata Najib, semua pihak tidak perlu terlalu teruja dengan rampasan ini, sambil menuntut diberi peluang melihat dan menilai barangan tersebut untuk mengetahui nilai sebenarnya.
“Kemudian barulah kita boleh simpulkan sumber barangan tersebut dan mendapat penjelasan tentang barangan dirampas pihak polis itu,” tegasnya.
Najib turut menjelaskan yang banyak daripada barangan tersebut ialah hadiah daripada ahli keluarga dan kenalan.
Rampasan terbaru ini dan sidang media yang diadakan untuk memberitahu kepada umum nilai barangan dan wang dirampas tersebut dilihat sebagai drama terkini yang bertujuan menampakkan Najib bersalah dalam isu 1MDB.
Ia juga rentetan Kempen Pakatan Harapan sejak 2015 mendakwa Najib terlibat mengambil wang 1MDB dan digunakan untuk tujuan peribadi.
Bagaimanapun, setakat ini Najib hanya disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak ditahan mahupun didakwa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Amar Singh dalam sidang medianya hari ini mendedahkan barangan dirampas berjumlah RM1.1 bilion.
Beliau turut membuat kenyataan mengatakan tidak ada ditulis nama UMNO pada wang tunai yang dirampas.
Pendedahan nilai barangan dirampas ini menguatkan lagi persepsi ramai berkaitan kesalahan Najib tetapi pihak berkuasa masih tidak menunjukkan kaitan yang jelas antara Najib dengan barangan tersebut.
No comments:
Post a Comment