Sunday 29 September 2019

KEPUTUSAN INKUES ADIB: KENYATAAN MEDIA KPN MENGELIRUKAN

Dalam satu kenyataan media bertarikh 27 Sept di TV3 dan berita yang sama dipetik oleh media Malaysia Today pada tarikh yang sama, Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador menyatakan bahawa, “Polis akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kematian anggota Muhammad Adib Mohd Kassim, susulan keputusan inkues yang diumumkan Mahkamah Koroner, Shah Alam hari ini”.
Seterusnya beliau menyatakan akan mengadakan perbincangan bersama pegawainya di Bukit Aman bagi menentukan langkah seterusnya, termasuk sama ada akan memanggil semula beberapa individu yang pernah ditahan berhubung perkara itu sebelum ini.
“Sebelum ini kita telah berpuas hati bahawa tidak ada bukti untuk kita mengenakan tuduhan atas sesiapa, buktinya tidak cukup.
Polis mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim daripada cuba bunuh kepada bunuh”.
Persoalannya sekarang benarkah kes ini ‘belum disiasat dan suspek belum dikenal pasti’? Jikalau ia sudah disiasat, mengapa pula ia perlu disiasat semula untuk mengenal pasti suspek?
Sekiranya suspek belum dikenal pasti, bagi menentukan langkah seterusnya, siapa kah pula beberapa individu yang dimaksudkan yang pernah ditahan untuk dipanggil semula berhubung kes ini. Adakah mereka bukan suspek? Sebab beliau telah menyatakan suspek belum dikenal pasti.
Akhir sekali, benarkah pihak polis tidak ada bukti untuk mengenakan tuduhan atas sesiapa kerana tidak cukup bukti?
Difahamkan tidak ada sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak sama ada pihak polis mahu pun pihak Peguam Negara bahawa kes ini tidak cukup bukti.
Yang ada, susulan kematian terhadap mangsa, iaitu Muhammad Adib di IJN, kes ini telah diklasifikasi semula oleh pihak polis daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana  membunuh apabila berlaku kematian terhadap mangsa ketika itu.
Namun tidak ada juga sebarang kenyataan daripada Peguam Negara ketika mengarah agar inkues dibuat terhadap kes tersebut dengan memberi alasan bahawa ia tidak cukup bukti.
Kenyataan KPN bahawa kes ini tidak cukup bukti jelas menimbulkan banyak keraguan dan tidak selaras dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab melalui akabar Berita Harian bertarikh 18 Disember 2018.
Menurut beliau, kes berkenaan kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian Muhammad Adib ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
“Kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba bunuh, ekoran kecederaan yang dialami oleh Muhammad Adib dalam kejadian di Seafield, Subang Jaya pada 26 November lalu.
“Namun kes itu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas tidak ada mana-mana perkataan dalam kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor itu, walau pun sebagai pihak yang bertanggung jawab membuat siasatan kes ini, menyatakan bahawa kes ini tidak cukup bukti.
Begitu juga dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin dalam satu kenyataan media Astro Awani pada 27 September 2019. Dalam kenyataan media, beliau tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula suspek yang dipercayai terlibat berhubung kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Beliau juga tidak menyatakan bahawa kes ini tidak cukup bukti.
Oleh yang demikian jelas kelihatan sekali lagi, KPN sekali lagi cuba untuk menjadikan PDRM sebagai alat politik pihak penguasa.
Jika dahulu beliau mempolitikkan isu kes ‘video sek semburit’ sekarang ini sekali lagi beliau cuba untuk mempolitikkan isu pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib.


No comments:

Post a Comment