Monday 23 September 2019

MENGHINA MAHKAMAH: PEGUAM NEGARA WAJAR LETAK JAWATAN ATAS KES INKUES ADIB

Kami rakyat yang perhatin serta cintakan keadilan hari ini memandang serius kertas alasan penghakiman oleh Hakim Koroner, Rofiah Mohamad yang memutuskan secara prima facie bahawa Peguam Negara Tommy Thomas telah menghina Mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues.

Ini kerana Peguam Negara secara tidak bertanggungjawab serta subjudis telah membuat satu afidavit dengan menyatakan pendirian lebih awal mengenai punca kematian arwah Adib yang masih menjadi persoalan yang cuba dirungkaikan di dalam inkues yang sedang berlangsung.

Menurut Yang Arif Hakim Koroner juga perlakuan Peguam Negara tersebut adalah satu bentuk ‘scandalized’ prosiding inkues.

Seterusnya menurut beliau, “Inkues berkenaan boleh sahaja ditanggap hanya sebagai satu lakonan atau permainan wayang dan satu proses ‘rubber stamping’ sahaja kepada kedudukan yang telah diambil oleh Peguam Negara”.

Justeru itu kami rakyat yang perhatin mendesak agar Tan Sri Tommy Thomas sewajarnya meletakkan jawatan secara terhormat kerana Peguam Negara adalah merupakan satu jawatan yang amat besar dan penting dalam sistem perundangan negara kerana mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara sahaja tentang undang-undang.

Perkara 145 (3) pula menggariskan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Memandangkan luasnya kuasa dan kewajipan Peguam Negara ini, maka jawatan ini tidak boleh dipegang oleh individu yang dianggap telah melakukan satu penghinaan terhadap Mahkamah.

Mengambil kira reputasi Peguam Negara yang begitu tinggi martabat di sisi Perlembagaan, maka jawatan ini tidak sewajarnya digalas oleh seorang individu yang tidak menghormati prinsip ‘rule of law’ atau ‘kedaulatan undang-undang’ dengan melakukan perbuatan yang menyalahi mana-mana prinsip perundangan negara.

Selain isu penghinaan mahkamah dalam prosiding inkues kematian Arwah Muhammad Adib ini, Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas juga beberapa kali bertindak secara pilih kasih dengan pengguguran pendakwaan terhadap beberapa kes melibatkan pimpinan Pakatan Harapan seperti kes Banglo Lim Guan Eng, isyarat lucah Siti Kassim dan kes berprofil tinggi yang melibatkan hubungan diplomatik seperti kes kematian pembantu rumah warga Indonesia Adelina Jerima Sau tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Selaku Peguam Negara, Tommy Thomas telah gagal memberikan nasihat undang-undang secara adil dan tuntas kepada DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu mengenai kesan dan impak Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Akhir sekali kami rakyat yang inginkan keadilan merafak sembah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan supaya menamatkan jawatan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dalam kadar segera untuk kepentingan negara yang tercinta ini.

Ini kerana berasaskan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan, “Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”. Dengan perbuatan beliau menghina mahkamah serta kesalahan yang lain menghina institusi Jabatan Peguam Negara, wajarkah anugerah Tan Sri beliau tidak ditarik balik serta perkhidmatannya terus diperkenankan Tuanku.

No comments:

Post a Comment