Saturday, 14 September 2019

LEBIH 100, 000 ORANG BERHIMPUN, SOKONGAN MUFAKAT NASIONAL TERBAIK UNTUK NEGARA

ALHAMDULILLAH, Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914 menutup tirai dengan dengan penuh jayanya, harmoni dan semangat ukhwah di mana kemuncak termeterainya piagam Muafakat Nasional.
Sejarah politik tanah air tercipta, dua buah parti terbesar orang Melayu/Islam menunjukkan kesepakatan merealisasikan agenda perpaduan ummah apabila secara rasminya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani piagam permuafakatan.
Sudah pasti yang paling menggembirakan penyatuan tersebut adalah rakyat di akar umbi yang sememangnya sekian lama mengimpikan dan mengharapkan UMNO PAS mampu duduk semeja demi mempertahankan kesucian agama, membela bangsa dan memakmurkan negara ini.
Sebagai tanda sokongan tanpa berbelah-bahagi, lebih seratus ribu rakyat dengan tema baju berwarna putih dari pelosok negara hadir ke Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula semalam, 13 September dengan berlangsungnya pelbagai program.
Antara pengisian seperti acara melibatkan Wanita UMNO dan Muslimat PAS yang mengadakan solat Dhuha, Hajat, zikir munajat dan Tadabbur Surah As-Saf serta diikuti program Puteri UMNO dan Ameerah PAS yang sepakat menganjurkan ‘Pentas Anak Muda’.
Dr Ahmad Zahid, kepimpinan parti dan PAS serta bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama hampir lima ribu jemaah menunaikan solat Jumaat di Surau Arrahman, PWTC yang diimamkan oleh Ustaz Shukri Ali serta solat Hajat yang diimamkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan buat julung kali Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan khutbah.
Juga berlangsung program wacana intelektual anjuran Penerangan UMNO dan PAS serta Townhall Anak Muda dari sayap pemuda kedua-dua parti.
Pemandangan ceramah malam 13 Sept 2019
Manakala sebelah malamnya, walaupun jerebu melanda dengan indeks pencemaran udara dicatatkan bacaan tidak sihat, lebih sepuluh ribu para pendukung serta penyokong himpunan tetap membanjiri Plaza Merdeka, PWTC dan kawasan sekitar teruja mendengar amanat dari pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS terutama dari kedua-dua Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga Tuan Ibrahim dalam ceramah perdana.
Sesuatu di luar jangkaan, apabila ceramah tersebut yang juga disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online mencecah hingga lebih tiga ratus ribu tontonan pada malam itu sahaja.
Kini, ia menjangkau ke angka lebih 639 ribu tontonan. Lihat video berikut :
Tanggal 14 September 2019, Dewan Merdeka yang dipenuhi lebih tiga ribu perwakilan kedua-dua parti menjadi saksi Piagam Muafakat Nasional dipaterikan bagi membawa agenda penyatuan ummah demi mensejahterakan Malaysia yang majmuk. Lihat video berikut :
Buat julung kalinya bersama-sama dengan lagu Negaraku dan UMNO, lagu rasmi PAS turut berkumandang sama bukan sahaja di dalam Dewan Merdeka, malah menjangkaui segenap ruang kompleks PWTC.
Pemandangan luar PWTC 14 Sep 2019
Kehadiran pemimpin-pemimpin dari parti komponen Barisan Nasional (BN) dari MCA dan MIC, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Gagasan Sejahtera dan Friends of BN antaranya seperti Parti India Bersatu Malaysia (MUIP) menjadi bukti gagasan penyatuan ummah ini turut mendapat sokongan daripada masyarakat bukan Melayu.
Oleh kerana itulah, Muafakat Nasional berazam menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara.
Dalam ucapan sebelum menandatangani piagam, Dr Ahmad Zahid dengan tegas berkata permuafakatan yang dijalinkan tiada langsung kaitan mahu menjerumuskan UMNO dan PAS ke arena politik perkauman.
Sesungguhnya, permuafakatan ini bukan berhasrat menjerumuskan UMNO dan PAS ke arena politik perkauman, sebagaimana tohmahan liar yang dilemparkan oleh beberapa pihak kebelakangan ini.
“Permuafakaan ini, hendaklah dilihat dalam ruang lingkup yang jauh lebih positif. Sebagai parti yang sudah masak dengan agenda perpaduan kaum, UMNO dan PAS akan memastikan penyatuan ini, bukan untuk memisahkan, menjarakkan atau memusuhi mana-mana kaum dan agama dalam negara tercinta ini,” katanya.
Begitu juga dengan Abdul Hadi dalam ucapannya berkata PAS dan UMNO sentiasa terbuka untuk menerima kebersamaan lain-lain kaum di dalam landskap politik negara bersandarkan lunas-lunas Islam tetapi dalam masa yang sama tidak gentar akan menentang sesiapa sahaja yang mahu memecahkan agenda penyatuan.
Majlis Tandatangan Piagam yang turut disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online sehingga kini telah mencapai lebih daripada 437 ribu tontonan dari pelayar maya.
Mufakat Nasional antara lain menyentuh berkaitan memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.
Di samping itu, Muafakat Nasional mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan. 

No comments:

Post a Comment