Friday 22 September 2017

ADAKAH KETUANAN MELAYU HAKIS PERPADUAN KAUM?

Untuk memahami fenomina ini kita hendaklah mengimbau kembali sejarah, terutama pada zaman di ambang pra kemerdekaan. Jika dikaji dokumen yang membawa kepada kemerdekaan, antara prasyarat utama yang diletakkan oleh penjajah British dalam membebaskan negara ini daripada cengkaman mereka ialah kesemua kaum yang ingin berbumbungkan Tanah Melayu sebagai tanah tumpah negara mereka hendaklah boleh duduk secara aman dan harmoni.

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi bagi sesebuah negara. Tujuan perlembagaan diwujudkan adalah untuk mengendalikan perjalanan dan pentadbiran sesebuah negara agar menjadi licin dan saksama.

Perlembagaan juga menjadi punca kepada segala perundangan lain yang wujud dalam sesebuah negara.

Secara amnya, perlembagaan mengandungi satu set hak, kuasa dan prosedur yang mengawal hubungan antara kerajaan dalam sesebuah negara dan antara pemerintah dengan rakyat.

Akhir-akhir ini isu berkaitan ketuanan Melayu yang mencorak perlembagaan negara ini mula dinyatakan semula oleh individu-individu tertentu. Saban hari di media sosial pasti ada sahaja yang tidak berpuas hati dan rata-rata isu ini ditonjolkan secara terbuka.

Mungkin tujuan mereka kerana ingin meraih populariti murahan ataupun sekadar ingin melonjak nama, apatah lagi pilihan raya umum sudah begitu hampir.

Ironinya mereka yang mengutarakan perkara ini mungkin secara alpa atau kerana kejahilan tidak mengetahui bahawa ketuanan Melayu itu bukanlah satu dokumen yang wujud secara nyata. Bahkan ia sekadar manifesto persetujuan secara bersama antara pemimpin kaum.

Untuk memahami fenomina ini kita hendaklah mengimbau kembali sejarah, terutama pada zaman di ambang pra kemerdekaan. Jika dikaji dokumen yang membawa kepada kemerdekaan, antara prasyarat utama yang diletakkan oleh penjajah British dalam membebaskan negara ini daripada cengkaman mereka ialah kesemua kaum yang ingin berbumbungkan Tanah Melayu sebagai tanah tumpah negara mereka hendaklah boleh duduk secara aman dan harmoni.

Melahirkan suasana simbiosis penuh dengan tolak ansur. Maka bertitik tolak daripada syarat mencapai matlamat memerdekakan negera, satu kompromi antara kaum perlu dilaksanakan segera.

Atas usaha inilah Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Al-Haj memulakan satu inisiatif perbincangan dengan teraju MCA yang ketika itu diterima ramai sebagai satu institusi yang mewakili kepentingan kaum Cina serta MIC yang dianggap pertubuhan mewakili kaum India telah duduk semeja dan berbincang mencari jalan keluar terhadap permasalahan ini.

Antara topik yang diperbincangkan adalah mengenai dengan hak kerakyatan bagi penduduk Tanah Melayu.

Disebabkan kaum Cina dan India adalah kaum yang dibawa masuk British untuk memajukan negara ini, mereka bukanlah penduduk asal Tanah Melayu berbanding orang Melayu. Mereka perlu memohon untuk mendapat kerakyatan.

Berdasarkan sifat orang Melayu yang tinggi toleransinya, telah memudahkan bagi kaum lain untuk menjadi warga Tanah Melayu. Atas sifat ingin bersama inilah menyebabkan hampir kesemua mereka yang ingin kekal di sini diberi kerakyatan. Sebagai membalas jasa orang Melayu ini, kaum lain bersetuju untuk memberikan hak keistimewaan orang Melayu sebagai sesuatu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Kompromi inilah yang dikenali sebagai kontrak sosial, pakatan murni, kompromi merdeka, empat campur satu (4+1) atau quid pro qou. Empat (4) di sini merujuk kepada empat kelebihan yang diberikan oleh kaum lain kepada bangsa Melayu, iaitu sistem Raja Perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak keistimewaan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini.

Dalam pada itu, 1 merujuk kepada kelonggaran yang tidak mungkin dapat diberikan oleh mana-mana negara di dunia ini dalam memberikan kerakyatan kepada orang asing. Kompromi inilah yang telah membawa kepada artikel 153 dalamPerlembagaan Persekutuan.

Di samping itu empat perkara yang dinyatakan di atas, menjadi unsur tradisi yang dikekalkan secara sebulat suara dalam perlembagaan. Ia juga dianggap penting bagi melambangkan bahawa sistem dan nilai asal negara dikekalkan meskipun kemerdekaan bererti demokrasi dan kesamarataan antara kaum.

Unsur-unsur ini penting kerana ia menjamin kestabilan politik dan sistem pemerintahan yang cekap lagi adil.

Orang Melayu menganggap unsur ini sebagai satu jalan yang penting untuk menjadikan mereka setanding dengan masyarakat lain dan untuk mendapatkan kembali kedudkan mereka yang hilang akibat penjajahan bangsa asing ke atas bumi mereka.

Hak mentadbir negara sendiri, serta hak untuk menjadi pengurus dalam kediaman yang dibina, tanpa wujudnya prejudis serta sikap berat sebelah terhadap mana-mana kaum yang berkongsi langit yang sama. Oleh sebab itu juga tidak wujud sebarang frasa dalam perlembagaan Malaysia yang mengecilkan mana-mana kaum. Semua diberi hak yang setara di bumi bertuah ini.

Pengorbanan orang Melayu dalam memberikan kerakyatan berdasarkan jus soli dan bukannya jus sanguinis haruslah dihargai. Janganlah disebabkan nila setitik habis susu sebelanga dan janganlah disebab santan, pulut binasa, janganlah meruntuhkan tebing yang menghalang ombak pantai, kelak tenggelam semua yang telah kita bina bersama.

Sejarah sudah membuktikan Artikel 153 bukanlah sesuatu yang diletakkan secara sewenang-wenang oleh orang Melayu. Ia terhasil daripada persetujuan bersama dalam menghasilkan keadaan sama-sama menang kepada semua orang.

Kepada mereka yang masih lagi cuba bermain api perkauman, berhati-hatilah, jangan sampai nanti rumah yang kita diami terbakar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata kelak badan binasa. Yang pasti konsep ketuanan Melayu inilah yang menyatukan kita sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment