Wajah 'surat khabar lama' |
Banyak pihak hairan dengan pelbagai reaksi yang diberikan oleh Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP apabila bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib membuat keputusan untuk menyertai semula UMNO - lima tahun selepas meninggalkan parti keramat orang Melayu itu.
Sebelum ini Muhammad pernah berada dalam PAS dan dua tahun kemudian menyertai PKR. Kalau kita masih ingat kemasukan beliau ke dalam PKR telah disambut dengan penuh gembira dua pemimpin kanan PKR iaitu Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ketika itu kedua-dua pemimpin berkenaan begitu menghargai penyertaan Muhammad. Tiada langsung istilah surat khabar lama atau baharu, malah pandangan sama turut diberikan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang lain.
Mereka menganggap kehadiran Muhammad yang merupakan seorang ahli politik cukup berpengalaman di Selangor akan membantu meningkatkan sokongan rakyat terhadap parti itu sama ada di kawasan luar bandar mahupun bandar di negeri tersebut.
Tetapi kini apabila Muhammad membuat keputusan kembali ke dalam UMNO, segala puji-pujian dan penghargaan itu hilang entah ke mana. Apa yang ada hanyalah cacian dengan menyifatkan UMNO menerima ‘surat khabar lama’.
Wajah 'surat khabar yang lebih lama' |
Namun perlu diingatkan ‘surat khabar lama’ itulah yang sebelum ini digunakan pembangkang untuk menyerang kembali kerajaan. Muhammad diusung ke sana ke mari termasuklah dalam kempen-kempen pilihan raya.
Bagaimanapun kalaulah soal ‘surat khabar lama’ mahu diperkatakan. Pakatan Harapan lebih teruk apabila sanggup menerima ‘surat khabar yang lebih lama’ untuk dijadikan Pengerusi mereka iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Lebih menyedihkan, ‘surat khabar yang lebih lama’ itu dulunya amat dibenci oleh pembangkang khususnya DAP, PKR dan PAS, tetapi sekarang Mahathir telah digunakan habis-habisan bagi menyerang kerajaan.
Malah beliau juga digunakan Cina DAP untuk menipu pengundi-pengundi Melayu termasuklah dalam kawsan Felda. Soalnya, kenapakah isu ‘surat khabar yang lebih lama’ ini tidak diperkatakan? Apakah kerana ia memberi keuntungan kepada politik pembangkang maka segalanya mahu ‘dihalalkan’?
Justeru itu kami berpendapat, pihak yang suka mengumpul ‘surat khabar yang lebih lama’ ialah pembangkang. Mereka terima dengan gelojohnya segala macam jenis bentuk ‘surat khabar lama’, terutama yang datang daripada UMNO. Mereka tidak kira, sekalipun sama ada ‘surat khabar lama’ itulah peliwat, penipu rakyat, diktator, perasuah, penyalah guna kuasa, pemfitnah dan perompak bank, janji matlamat mereka untuk menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN tercapai.
Sudah pasti kembalinya mereka kepada UMNO itu bersebab, kami yakin seperti mana kata Muhammad puncanya adalah beliau akhirnya sedar parti pembangkang sememangnya tidak mampu berjuang seperti mana perjuangan UMNO dalam membela Islam, orang Melayu dan negara.
UMNO seperti mana yang kita tahu, sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk menjadi ahli. Malah, pemimpin dan ahli UMNO yang keluar parti, yang kemudian mahu kembali kerana sedar bahawa tidak ada parti selain UMNO yang mampu berjuang untuk agama, bangsa dan negara, pasti akan dialu-alukan.
Katakanlah jika Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal atau pun Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali pun ingin kembali kepada UMNO, insya-Allah kami yakin pintu UMNO sentiasa akan terbuka untuk membuat rundingan ke arah itu. Jadi tidak timbul isu soal surat khbar lama atau tidak.
Ia memandangkan bagi UMNO, sesiapa sahaja yang mahu memperjuangkan nasib bangsa dan agama pasti akan dialu-alukan. Ini kerana perjuangan itu sama sekali tidak boleh dilakukan oleh PKR, PAN mahupun PPBM.
Faktanya mereka adalah ‘pak turut’ dalam Pakatan Harapan. Pada luarannya Pakatan menggambarkan baris kepimpinan Melayu, hakikatnya kuasa disebalik Pakatan Harapan adalah Cina DAP sebab mempunyai kerusi Parlimen terbanyak dibandingkan ketiga-tiga parti lain iaitu PKR, PAN dan PPBM. Kesemua pemimpin ketiga-tiga parti tersebut merupakan alat kepada Cina DAP untuk meraih undi Melayu untuk berkuasa. Tanpa undi Melayu, undi kaum Cina sahaja tidak memungkinkan DAP menguasai negara ini. Inilah menjadi salah satu penyebab kenapa Muhammad yang mempunyai jati diri Melayu yang kental akhirnya kembali kepada UMNO.
Selepas berada dalam dua buah parti, Muhammad semakin sedar siapa ‘taiko’ dalam pakatan pembangkang dan memahami jika beliau berhasrat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, ia tidak akan kemana, justeru kembali kepada UMNO adalah langkah terbaik.
Kami juga beranggapan, sebenarnya dengan ‘menyerang’ kemasukan semula Muhammad ke dalam UMNO adalah satu lagi strategi mengalih perhatian bagi menutupi segala kepincangan yang berlaku di dalam Pakatan Harapan.
Jangan lupa ketika ini parti yang menjadi sandaran pakatan itu untuk menarik sokongan Melayu iaitu PPBM yang didalangi DAP, turut berhadapan dengan masalah apabila seorang demi seorang pemimpinnya meninggalkan parti tersebut. Bukan itu sahaja malah eksco sayap pemuda parti itu ARMADA mempersoalkan kredibiliti Pengerusinya Tun Dr. Mahathir.
Begitu juga DAP yang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) masih belum dapat diselesaikan hingga sekarang.
Begitu juga PKR tentang perbalahan Timbalan Presiden Azmin Ali dan Naib Presidennya Rafizi Ramli berkaitan isu kerjasama dengan PAS dalam PRU ke 14 akan datang.
Tetapi kami yakin, isu remeh-remeh yang cuba diprovokasikan itu tidak dapat mengalih perhatian rakyat daripada melihat kelemahan dan kepincangan yang sedang berlaku dalam Pakatan Harapan. Jika pemimpin Pakatan harapan yakin mereka dapat memperbodohkan rakyat seperti dulu-dulu, maka mereka salah percaturan.
Mana mungkin mereka mampu menyorokkan bangkai gajah dengan sehelai daun pisang dan itulah perumpamaan yang tepat kepada pembangkang yang sedang huru-hara dengan pergolakan dalaman mereka.
Atas sebab itulah mereka khuatir apabila ada pemimpin seperti Muhammad membuat tindakan meninggalkan pakatan tersebut kerana ini akan membuktikan bahawa Pakatan Harapan sama sekali tidak boleh disandarkan darapan oleh rakyat.
No comments:
Post a Comment