Pembentangan Bajet Alternatif 2018 atau Bajet Silap Mata |
Dua hari sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, Pakatan Harapan diketahui DAP membentangkan bajet alternatif mereka.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, melalui ‘bajet silap mata’ (bajet menghapuskan pendapatan tetapi mampu berbelanja mewah serta menikmati perkhidmatan dan kemudahan secara percuma) itu, mereka mengemukakan pelbagai tawaran kepada rakyat, kononnya bagi menunjukkan apa juga yang akan dibentangkan Perdana Menteri dua hari selepas itu tidak akan mampu menandingi ‘bajet silap mata’ mereka.Bajet alternatif pakatan pembangkang 2018 atau ‘bajet silap mata’ mereka diolah dalam bentuk ‘manifesto’ di mana ia tidak perlu dilaksanakankan setelah memenangi pilihan raya seperti yang telah mereka putuskan dahulu.
Oleh itu, apabila Perdana Menteri dengan tenang dan penuh ceria membentangkan bajet yang dianggap paling komprehensif dan menyeluruh, melibatkan seluruh lapisan masyarakat, Pakatan Harapan bagaikan ‘kera kena belacan’.
Maka terpancul kata-kata daripada pemimpin mereka termasuklah Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan, Bajet 2018 oleh Najib meniru bajet pakatan pembangkang tersebut.
Ternyata sekali Dr Mahathir sudah tidak keruan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang dianggap ‘musuh politik nombor satunya’ berjaya membentangkan satu bajet yang tidak mampu dilakukannya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Seperti juga Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin pembangkang lain termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali turut tumpang semangkuk dengan menterjemahkan sikap ‘lembu punya susu sapi dapat nama’ apabila mendakwa pemansuhan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor adalah hasil perjuangan Pakatan Harapan.
Tidak apalah biarlah pemimpin-pemimpin seperti Dr.Mahathir dan Mohamed Azmin mahu terus ‘meroyan’ atau berkata apa sahaja, tetapi yang pasti Najib membuktikan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) bukanlah pemain silap mata mahupun pemborong janji langit, bulan dan bintang.
Sebaliknya, kerajaan BN membentangkan satu bajet realiti yang terbukti akan memberi manfaat besar kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan tidak menghitung siapa yang memerintah sesebuah negeri.
Meneliti satu demi satu, apa yang dibentangkan Perdana Menteri hampir dua jam setengah di Dewan Rakyat, biarpun terus diganggu dengan ‘telatah’ ahli-ahli Parlimen pembangkang yang bagaikan ‘kanak-kanak tadika’ atau ‘pasar borong ikan’, ia membuktikan kerajaan BN benar-benar mahu memastikan Bajet 2018 akan dapat dirasai oleh seluruh rakyat, tidak kira sama ada didesa mahupun kota, di bandar mahupun luar bandar.
Dari bayi yang bakal dilahirkan hinggalah warga emas, semua mendapat manfaat dalam Bajet 2018, begitu juga penjawat awam dan swasta, yang bekerja sendiri mahupun makan gaji.
Oleh itu, biarlah Pakatan Harapan yang tiada harapan, terus dengan mainan politik, terus bermain silap mata dan janji-janji langit, bulan dan bintang yang telah dan tidak akan ditunaikan, apa yang pasti Perdana Menteri Datuk Seri Najib membuktikan dalam membela nasib rakyat dan majukan negara, kerajaan BN tidak pandai bermain silap mata dan menabur janji tetapi hanya menghidangkan realiti.
No comments:
Post a Comment