Wednesday, 25 October 2017

TRAGEDI TANAH RUNTUH: ADUN PKR DILANDA SINDROM BISU


Sehingga ke saat ini, belum ada seorang pun Adun-Adun PKR Pulau Pinang mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai tragedi cerun runtuh yang melibatkan kehilangan 11 nyawa tenaga kerja pada Sabtu lalu.
Di manakah suara Adun PKR-Penanti Norlela Ariffin, Adun PKR-Kebun Bunga Cheah Kah Peng, jiran kepada Adun Dap-Tanjung Bungah Teh Yee Cheu dan tiga orang lagi Adun PKR yang bersama dalam Teh Yee Cheu semasa mengundi usul yang dibawa oleh Adun BN-Pulau Betong mengenai projek tambakan laut di Pulau Pinang dia tahun lalu?
Kenapakah dalam kes tragedi cerun runtuh ini mereka membiarkan ADUN DAP Teh Yee Cheu berseorangan membidas Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang?
Sepertimana dalam kes kilang haram memproses habuk gergaji kayu di Sungai Lembu, Adun PKR-Penanti Norlela Ariffin dibiarkan berseorangan mempertahankan diri dari serangan Kerajaan Pulau Pinang sendiri. Norlela berseorangan mempertahankan suara rakyat DUN Penanti dan penduduk Sungai Lembu.
Satu perkara yang menarik adalah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang dan Majlis Perbandandaran Seberang Perai (MPSP) telah mengheret Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke dalam kemelut itu dengan membuat kenyataan pada awalnya kononnya JAS telah memaklumkan tiada ancaman kepada alam sekitar berdasarkan satu minit mesyuarat bersama Exco Kebajikan dan MPSP padahal JAS telah menulis surat kepada MPSP menyatakan kilang haram itu tidak mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.
Tetapi dalam kes tragedi cerun runtuh pula, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bantahan JAS terhadap permohonan Kebenaran Merancang oleh pemaju Granito@Permai diketepikan dalam keputusan akhir OSC memberi peluang kelulusan kerana JAS pernah meluluskan dua permohonan projek pembangunan pada 2008 di kawasan berhampiran.
Jelas sekali, Kerajaan Negeri Pulau Pinang cuba menepis kebertanggungjawaban di atas kecelakaan runtuhan cerun dengan meletakkan kesalahan kepada JAS.
Jadi kesimpulannya, kami ingin mempersoalkan kenapa ADUN-ADUN PKR termasuk yang menjadi exco Kerajaan Negeri terus senyap? Apakah mereka tidak dibenarkan bersuara atau mereka tidak berani untuk bersuara? Apakah mereka bersetuju dengan semua tindakan yang dilakukan oleh Dap di Pulau Pinang?
Atau mungkin mereka juga mendapat laba dari pembangunan hartanah yang begitu banyak diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri?
Kerajaan negeri sebenarnya sudah semakin tersepit dan kini Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sedang berusaha keras untuk meyakinkan rakyat bahawa insiden tersebut kononnya hanyalah satu kemalangan di tapak kerja.
Sehingga ke tahap manakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memutar belitkan kebenaran untuk membebaskan mereka dari bertanggungjawab ke atas tragedi yang telah berlaku?
Semakin terdesak tindakan Lim Guan Eng dan Kerajaan Pulau Pinang semakin jelas sikap sebenar mereka akan dilihat oleh rakyat.
Banyak pihak turut membidas PKR yang terus berlagak seolah-olah tragedi yang berlaku itu tiada kena mengena dengan mereka.
Memandangkan PKR adalah anggota Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang. Kepincangan atau salah laku Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, jika ada, adalah juga menjadi tanggungjawab PKR.
Sebagai anggota Kerajaan Pakatan Harapan, PKR juga bertanggungjawab ke atas kelulusan Kebenaran Merancang yang diluluskan kepada Taman Sri Bunga SB, pemaju projek perumahan Granito@Permai. Berdiam diri tidak akan membebaskan PKR dari turut sama bertanggungjawab di atas tragedi yang berlaku.
Kebisuan PKR dan lain-lain anggota Pakatan Harapan terhadap tragedi cerun runtuh di tapak projek Granito@Permai Tanjung Bungah akan menampakkan ketidakmampuan dan ketidak-sungguhan Pakatan Harapan sebagai sebuah pakatan parti politik untuk membawa pembaharuan atau ‘reform’ yang nyata kepada lanskap politik negara.
Maka dengan itu, PKR akan kekal sebagai sebuah parti picisan atau parti jalanan dalam Pakatan Harapan jika PKR masih tidak berani untuk menegur kebongkakan sekutu mereka DAP sebagai teraju dalam urustadbir dan tata kelola Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment