Thursday 26 October 2017

TONY PUA, ANDA HARUS BERHENTI MENGELIRUKAN RAKYAT, SABOTAGE EKONOMI ANDA TERHADAP 1MDB TELAH GAGAL.

Kenyataan Media Oleh 1MDB

KUALA LUMPUR, 26 Okt – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini menggesa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua supaya menghentikan perbuatan mengelirukan rakyat mengenai syarikat itu dan sebaliknya akur bahawa tindakan tidak patriotik beliau melakukan sabotaj ekonomi terhadap 1MDB bagi kepentingan politik sendiri, telah pun gagal.
Menurut 1MDB, dalam cubaan untuk menipu rakyat, Tony Pua sebaliknya lupa untuk membangkitkan bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang beliau sendiri sebagai ahlinya, telah mengesyorkan bahawa sebahagian besar aset 1MDB dipindahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Kenyataan 1MDB itu sebagai mengulas kenyataan media Tony Pua semalam bahawa beliau telah “membuat banyak kenyataan yang salah serta mengelirukan,” di mana beliau mendakwa syarikat pelaburan strategik itu menanggung hutang sebanyak RM40 bilion.
Bagi pertimbangan pindahan itu termasuk Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, tanah Pulau Indah dan Air Itam, 1MDB akan menerima pembayaran mengikut tempoh terbabit.
Pembayaran itu beserta hasil usaha pengewangan aset-aset, akan digunakan untuk memenuhi baki obligasi utama dan faedah 1MDB yang meliputi hutang bon jangka panjang dan sukuk dianggarkan berjumlah RM32.5 bilion mengikut kadar tukaran asing ketika ini dan bukannya angka yang salah iaitu RM40  bilion sepertimana dinyatakan oleh Tony Pua.
Tony Pua turut membangkitkan persoalan “How in the world is 1MDB on track to realise a profit?” (Bagaimanakah 1MDB berada dalam keadaan yang mampu untuk mencatat keuntungan?)
Merujuk perkara itu, 1MDB berkata Laporan PAC mengenai 1MDB bertarikh 7 April, 2016, memberi butiran unjuran aliran tunai berkaitan program rasionalisasi 1MDB yang menunjukkan anggaran lebihan RM3.0 bilion yang dijana pada masa akan datang dan maklumat ini turut dikemukakan kepada PAC.
Malah, menerusi pengemudian dan pembangunan sewajarnya hartanah di bawah MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) dan pengewangan aset-aset lainnya, adalah dijangkakan lebihan itu akan dijana, sama ada di peringkat 1MDB atau di MKD yang memiliki kepentingan 100 peratus.
1MDB berkata, Tony Pua juga secara sengaja berbohong kepada rakyat dengan menyatakan bahawa pelaburan RM12.1 bilion syarikat itu dalam sektor tenaga telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit apabila ia menjual kepentingan tenaganya kepada General Nuclear Power Corp (CGN) pada harga RM9.3 bilion.
“Bukan sahaja angka dinyatakan Tony Pua itu salah, malah beliau sendiri gagal untuk menyatakan bahawa biarpun pertimbangan pembelian kasar itu adalah RM12.05 bilion, syarikat-syarikat yang dibeli itu mempunyai lembaran imbangan tunai RM1.63 bilion yang menyaksikan pertimbangan pembelian bersih kira-kira RM10.42 bilion,” katanya.
Malah, sepanjang tempoh pemilikan itu, kira-kira RM2.18 bilion telah dijana dalam bentuk dividen dengan sebahagian besarnya digunakan untuk membayar faedah bagi hutang pengambilalihan itu.
Oleh itu, apabila tunai, dividen dan kos-kos lain diambil kira dalam penjualan tunai RM9.83 bilion kepada CGN, 1MDB hampir mencapai ‘pulangan balik’ pelaburan tenaganya.
Pencapaian ini yang sewajarnya lebih dipuji berikutan kempen sabotaj ekonomi yang dilancarkan terhadap 1MDB pada masa itu, kata syarikat itu.
Selain itu, Pua turut mendakwa bahawa 1MDB tidak membantu menyelesaikan masalah perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang didakwa lebih menguntungkan pihak pengeluar tenaga bebas (IPP) kerana tidak menyebabkan tarif elektrik berkurangan.
Mengulasnya, 1MDB mendakwa Pua sebaliknya keliru dengan tarif PPA yang 1MDB turut berperanan mengurangkannya, dengan tarif elektrik.
Jelas 1MDB, tarif PPA itu adalah salah satu komponen tarif elektrik dengan komponen lain termasuk kos bahan api, transmisi, kos penghantaran dan sebagainya.
Fakta juga menunjukkan 1MDB mewujudkan persaingan ketika bidaan PPA bagi loji tenaga baharu dan pembaharuan kontrak PPA untuk loji tenaga sedia ada.
Malah, hasil daripada penyertaan 1MDB, tarif PPA untuk loji sedia ada dan yang baharu itu dikurangkan antara satu sen dan dua sen bagi setiap kilowatt jam (kWh) dan 1MDB merupakan pembida terendah dalam kesemua tender yang diperolehinya.
“Bedasarkan faktor kapasiti sebanyak 85 peratus, pengurangan tarif sebanyak satu sen bagi setiap kWh untuk loji tenaga 2,000-megawatt dalam 20 tahun, akan menyebabkan pejimatan kos sehingga RM3.0 bilion sepanjang tempoh PPA bagi satu-satu loji.
“Penjimatan itu pula berlipatganda membabitkan PPA lain. Ini telah menurunkan kos tarif keseluruhan PPA kepada TNB (Tenaga Nasional Bhd) yang merupakan pembeli utama bagi semua PPA serta menyumbang kepada tarif elektrik yang rendah kepada rakyat,” kata 1MDB.

No comments:

Post a Comment