Tuesday, 24 October 2017

‘BAPAK KLEPTOKRASI’: GAGAL MEMPERGUNAKAN RAKYAT


PUAS hati? Kecoh sangat bercakap tentang kleptokrasi sebelum ini. Kononnya dengan istilah yang ‘boombastic’ itu mampu menipu rakyat di negara ini? Kononnya mahu tunjuk kuat di mata rakyat. Kononnya mahu tunjuk pengaruh yang ada. Tapi apa hasilnya?
Disasarkan kehadiran dari pagi sampai malam seramai 100,000 yang hadir himpunan propaganda itu. Penganjur tanpa rasa malu mengumumkan konon yang hadir 25,000 orang. Portal pro-pembangkang yang mungkin malu untuk bersetuju dengan jumlah itu pula hanya memberi jumlah kehadiran seramai 8,000 orang sahaja.
Pihak berkuasa yang memantau rapat himpunan tersebut pula hanya menganggarkan seramai 4,000 orang sahaja. Untuk angka-angka itu, penulis ‘pejam mata’ menganggar jumlah kehadiran hanya seramai 6,000 orang. Itu pun atas ‘belas ehsan’ saja…
Ke mana ‘hilangnya’ lebih 94,000 orang yang disasarkan? Jika tidak menepati sasaran pun, mana pula ‘lesap’nya seramai 17,000 atau 19,000 orang? Adalah penganjur kira sekali dengan ‘jin dan setan’ yang hadir? Kasyaf sungguh penganjurnya, bukan?
Walaupun membariskan kehadiran ‘artis-artis’ ternama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, Lim Kit Siang, Mat Sabu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan ramai lagi, banyak itu saja yang hadir?
Di mana hendak diletak muka? Atau terpaksa menebal muka lebih 20 inci menahan malu? Jangankan Barisan Nasional (BN), mahu tewaskan PAS pun rasanya jauh panggang dari api. Bezanya bagai langit dengan bumi, bukan?
Menyebut istilah kleptokrasi pada pandangan penulis, ia bukanlah satu istilah baru. Ia wujud sejak diperkenal pada 1968 lagi. Ia mungkin baru didengar di Malaysia, namun masyarakat antarabangsa dan ahli akademik, istilah itu sudah lama didengar.
Pada penulis, perlakuan kleptokrasi sudah lama wujud di negara kita mahupun di Asia Tenggara. Cuma ketika ia mula berlaku, ia dibayangi dengan istilah-istilah seperti nepotisme, kronisme dan sebagainya, serta disusuli dengan ‘reformasi’.
Jika semua istilah yang popular digunakan oleh puak ‘Anwarisme’ itu diteliti dan dirangkumkan, semuanya jelas merujuk kepada seorang individu yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kontroversi, namun ‘terselamat’ akibat kehebatan ‘kuku besi’nya.
Padahal, kita boleh melihat pemimpin-pemimpin yang sezaman dengannya tumbang satu persatu akibat kleptokrasi yang mereka amalkan. Nama-nama seperti Soeharto, Ferdinand Marcos dan ramai lagi ‘tewas’. Yang ‘selamat’ hanyalah ‘dia’. Licik bukan?
Namun dia tidak sedar bahawa rakyat di negara ini sudah begitu ‘masak’ dengan apa yang dia lakukan sebelum ini. Dia fikir segala jasanya selama 22 tahun dulu mampu membersihkan namanya dari ‘dosa’ kleptokrasi di negara ini?
Dan kini, dia cuba kleptokrasikan kuasa dan saki baki pengaruh politik yang dia miliki untuk kepentingan anak-anak dan kroninya? Dalam usia yang sangat senja pun dia masih lagi tegar dengan amalan kleptokrasi? Itupun dia masih mahu menuduh orang lain amalkan kleptokrasi?
Untuk kesekian kalinya, penulis menyeru kepada anak-anak dan keluarganya supaya tidak membiarkan warga emas itu terus ‘bertuhankan’ politik dan kuasa. Kembalilah ke pangkal jalan sebelum terlambat. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya…

No comments:

Post a Comment