Thursday 26 October 2017

BELANJAWAN ALTERNATIF PEMBANGKANG 2018 MERUPAKAN BELANJAWAN KITAR SEMULA YANG TIDAK REALISTIK SERTA BERUNSUR KHAYALAN


Pakatan Harapan telah membentangkan Belanjawan Alternatif 2018 dengan mengitar semula janji lama untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Bertemakan ‘Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan’, belanjawan berjumlah RM258.52 bilion itu memberi peruntukan lebih tinggi bagi pembangunan, serta defisit yang rendah jika dibandingan Bajet 2017 yang dibentangkan Barisan Nasional (BN).
Belanjawan pembangkang juga berdasarkan nisbah 23:77 untuk pembangunan dan pentadbiran, berbanding BN pada tahun ini dengan nisbah 20:80.
Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan Harapan itu diumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen.
Berikut merupakan 10 intipati Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan Harapan.
1. Mansuhkan cukai GST yang membebankan rakyat.
2. Bantu penghutang PTPTN dan pendidikan percuma untuk rakyat.
3. Pelaksanaan gaji minima di seluruh negara RM1,500.
4. Skim sewa beli untuk semua rakyat memiliki rumah.
5. Jimat RM20 bilion daripada dasar hapus rasuah.
6. Hapus campur tangan politik dalam Felda.
7. Hapuskan tol dengan beli balik konsesi.
8. Menaikkan royalti minyak Kelantan, Terangganu, Sabah dan Sarawak kepada 20%.
9. Cuti bersalin 120 hari dengan paras gaji sama yang setara dengan kakitangan lelaki.
10. Dana pembangunan RM75 bilion buat penduduk Sabah dan Sarawak.
Persoalannya di sini, realistikkah belanjawan alternatif Pakatan Harapan itu?
Ambil contoh sahaja dalam isu pendidikan percuma, di negeri yang ditadbir mereka iaitu Selangor, sehingga kini mereka masih tidak melaksanakan pendidikan percuma.
Jika dilihat, Bajet Alternatif ini hanya mengulangi janji-janji yang lama iaitu pemansuhan GST dan tol serta janji pendidikan tinggi percuma.
Adakah Pakatan Harapan menyediakan satu rancangan yang jelas dan konsisten mengenai bagaimana janji-janji ini akan dibiayai dan dilaksanakan?
Pemansuhan GST akan meninggalkan satu ruang yang besar dari aspek pendapatan kerajaan yang perlu untuk diisi.
Adakah Pakatan Harapan berkongsi apakah langkah yang diambil untuk menggantikan pendapatan ini?
Sebaliknya mereka hanya bergantung kepada jangkaan bahawa pemotongan cukai akan menyebabkan pembelanjaan dan pungutan cukai bertambah. Jangkaan mudah sebegini sewajarnya dipersoalkan.
Pembangkang sebelum ini seringkali melemparkan tuduhan bahawa Malaysia akan bankrap di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mereka sebenarnya yang akan membankrapkan ekonomi negara menerusi pelan-pelan fiskal yang tidak bertanggungjawab ini.
Agenda ekonomi hanya boleh dipercayai sekiranya kesemua rancangan-rancangan pembelanjaan yang diutarakan dapat ditampung dengan langkah-langkah yang akan menjana pendapatan kerajaan.
Adakah rakyat perlu percaya dengan janji-janji populis dan tidak mapan yang ditawarkan di bawah Bajet Alternatif?
Mengenai penghapusan tol, seperti bajet alternatif tahun-tahun sebelum ini, tidak ada rancangan bagaimana mereka mahu menampung kos membeli konsesi tol.
Tiada rancangan yang jelas juga bagaimana mereka akan membayar RM40 bilion pinjaman PTPTN daripada institusi-institusi kewangan atau bagaimana mereka mahu menjimatkan RM20 bilion setiap tahun dengan membanteras rasuah.
Adakah menghapuskan tol, menyediakan pendidikan percuma dan meningkatkan gaji minimum tidak memerlukan peruntukan kewangan yang besar?
Adakah perkara itu dinyatakan dengan terperinci oleh Pakatan Harapan?
Itulah cerminan Belajawan Pakatan Harapan sejak daripada dahulu lagi dan rakyat pun sudah pasti pandai menilainya.
Tunggu Bajet 2018 kerajaan dan buat perbandingan logik dengan Bajet Alternatif 2018.
Bajet mana yang lebih baik? Kata yang dikota Kerajaan atau sembang kosong Pakatan Pembangkang?

No comments:

Post a Comment