Wednesday, 25 October 2017

DENDAM PERIBADI, EGO PUNCA TUN MAHATHIR TERUS SERANG NAJIB - SHAHRIR


Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat terus tidak berpuas hati meskipun bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB) Peter Bellew menjelaskan bahawa peletakan jawatannya bukan kerana campurtangan daripada kerajaan atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Samad berkata dalam kenyataan lengkap yang dibuat Bellew semalam, sudah terang lagi bersuluh Bellew menjelaskan bahawa pembelian pesawat Boeing baru untuk menggantikan pesawat sedia ada dan penambahan laluan baru adalah keputusan yang dibuat oleh MAB sebelum ini dan ia sejajar dengan rancangan pemulihan MAB.
Namun apa jelas sekarang menurut Shahrir, Tun Mahathir masih tetap mahu menyerang semua pihak dan tidak puas hati apabila tuduhan liarnya gagal.
“Apabila MAB memutuskan untuk menggunakan khidmat warganegara asing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Tun Mahathir menyerang Perdana Menteri. Sekarang, apabila warganegara asing itu meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Tun Mahathir juga menyerang Perdana Menteri.
“Sudah jelas bahawa serangan peribadi Tun Mahathir terhadap Perdana Menteri menggunakan MAB dan isu-isu lain semata-mata adalah masalah kebencian dan ego peribadi – tidak berdasarkan fakta atau demi kebaikan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Shahrir, seperti dalam penjelasan Bellew semalam masalah dalaman MAB telah bermula sejak tahun 1994 iaitu ketika di bawah pentadbiran Tun Mahathir apabila beliau telah menswastakan MAS dalam usahanya untuk menutup sebahagian daripada skandal kerugian FOREX Bank Negara berjumlah RM32.5 bilion.
Malah Ketua Pembangkang DAP, Lim Kit Siang juga berulang kali menyalahkan Tun Mahathir ketika masalah MAS waktu itu.
“Semua perkara yang dibangkitkan Bellew telah dinyatakan dalam pengakuan Tun Mahathir sendiri dalam bukunya bahawa beliau terkilan dan marah bahawa tidak dilantik sebagai penasihat syarikat penerbangan selepas meletak jawatan.
“Ini jelas membuktikan serangan yang dibuat terhadap MAB adalah semata-mata atas dasar peribadi dirinya sendiri.
“Seperti masalah perjanjian Pelan Jana Kuasa ‘lop-sided’ di mana kerajaan telah menyelesaikannya dan kenaikan tol lebuh raya yang dimiliki oleh PLUS dan telah diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan daripada syarikat swasta pada 2010, jadi masalah MAB juga perlu dipulihkan segera demi menjaga nama baik kebanggaan negara,” katanya lagi.
Jelas Shahrir, serangan Tun Mahathir terhadap MAB langsung tidak memberi manfaat kepada negara sebaliknya hanyalah untuk menanam kebencian terhadap Najib.
“Tun Mahathir akan terus memutarbelitkan, membohongi, mengelirukan, membuat perubahan dan bertentangan dengan dirinya untuk mencapai agenda peribadinya. Ia bukanlah demi kepetingan sesiapa tetapi semuanya hanyalah tentang dirinya sendiri.
“Menjadi Ahli Parlimen sejak beberapa dulu lagi dan pernah bekerja serta menentang Tun Mahathir sebelum ini selama beberapa dekad, saya cukup kenal beliau,” sindir Shahrir.

No comments:

Post a Comment