Tuesday, 24 October 2017

GST BAYAR HUTANG 1MDB - SATU PEMBOHONGAN BESAR


PUTRAJAYA, 24 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyelar momokan pihak-pihak yang mendakwa hasil daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) digunakan untuk membayar 1MDB.
Menurutnya, dakwaan tersebut merupakan satu pembohongan besar, pembohongan yang disedari sendiri oleh pihak yang membuat dakwaan tersebut.
“1MDB sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan perjanjian kuasa berat sebelah yang telah ditandatangani semasa era Tun Mahathir Mohamad yang memihak kepada syarikat IPP kroninya dan merugikan TNB serta membebankan rakyat.



“Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia adalah pembida terendah dalam semua perjanjiannya, dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam 20 tahun akan datang serta meringankan beban rakyat yang membayar tarif letrik yang tinggi.


“Malah, satu laporan firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak semula ini diberi tajuk ‘Tiada lagi perjanjian pilih kasih’”, ujar Najib di dalam catatan terbaru di blognya najibrazak.com yang bertajuk: ‘Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia’ di sini hari ini.
Tambah Menteri Kewangan itu lagi, 1MDB juga telah membiayai pembinaan dan penambahbaikan lapan pangkalan tentera yang tidak dapat dilakukan oleh Tun Mahathir  pada masa dahulu di samping ia juga telah membiayai beribu-ribu biasiswa dan perjalanan Haji untuk para jemaah.
“Memang benar bahawa 1MDB mempunyai masalahnya, dan kita telah mengambil tindakan merombak pengurusan untuk membetulkan kesilapan dan mengembalikannya kepada keadaan kewangan yang sihat.
“Tetapi apabila perjanjian projek Bandar Malaysia ditandatangani, 1MDB dijangka akan membuat keuntungan yang lebih daripada cukup untuk menanggung kerugiannya.
“Dan pembohongan bahawa rakyat perlu menanggung akibat daripada keputusan 1MDB akan terkubur. Ini kerana selepas program rasionalisasi selesai, 1MDB berkemungkinan besar akan menjana keuntungan untuk rakyat, dan ini tidak termasuk segala usaha tanggungjawab sosial korporat yang telah dilaksanakannya selama bertahun-tahun,” katanya.
Tambahnya juga, GST tidak sepatutnya dianggap sebagai cukai tambahan baru tetapi sebahagian daripada pembaharuan cukai menyeluruh yang direka untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, dapat mengawasi ekonomi hitam dan haram, serta mengurangkan pengelakan cukai dan meluaskan asas percukaian negara.
“Banyak negara lain seperti India dan Mesir turut ikut serta jejak Malaysia semenjak kita melaksanakan GST pada tahun 2015. Sementara itu, semua Negara Kerjasama Teluk seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu akan melaksanakan GST mereka pada 1 Januari tahun depan.
“Malah, perancangan ekonomi kita telah membolehkan kadar GST Malaysia hanya 6%, jauh lebih rendah daripada negara-negara lain yang tidak berkongsi asas ekonomi yang kukuh seperti kita.
“Kebanyakan negara, lebih daripada 160 di seluruh dunia telah melaksanakan GST kerana mereka tahu ia diperlukan untuk menjadikan negara mereka lebih kuat dan lebih berdaya saing,” ujarnya.
Anehnya, pihak pembangkang mendakwa tidak memahami perkara ini dan mahu memansuhkan GST tetapi tanpa cadangan bagaimana mereka akan menggantikan RM41 bilion yang dijana oleh GST pada tahun lalu, sinisnya. 

No comments:

Post a Comment