KUALA LUMPUR, 31 Mei – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan baharu yang menerajui negara hari ini disaran agar terus memberi ruang dan modal yang cukup besar kepada Petronas untuk terus memenuhi visi mereka dan bukannya menjarah atau merompak dana Petronas atau bagi misi ‘bail-outs’ sebagaimana dilakukan ketika pentadbiran 22 tahun Tun Mahathir yang dahulu.
Dalam satu kenyataan menerusi catatan facebooknya, beliau turut berpandangan kenyataan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang menyatakan pemansuhan GST akan dibiayai dengan meminta Petronas, Khazanah dan BNM untuk membuat bayaran dividen yang lebih tinggi kepada kerajaan adalah satu pendekatan rapuh (not sustainable) dan bakal mengorbankan jangka masa panjang hanya untuk pembiayaan jangka masa pendek.
“Pada ketika pentadbiran saya, saya amat teliti dalam memastikan Petronas tidak perlu membayar dividen kepada kerajaan melangkaui keperluan kerana saya mahu memastikan mempunyai imbangan tunai mencukupi bagi memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama dan hiliran bagi menjadi sebuah syarikat tenaga berintegrasi bertaraf dunia.
“Hasilnya, baki tunai Petronas telah meningkat secara signifikan dan syarikat ini berupaya membuat pelaburan serta berkembang untuk melaksanakan projek bersifat ‘game changer’ seperti projek RAPID Pengerang, Projek Integrasi Minyak dan Gas Sabah Sarawak (SSIOGP) dan projek Amonia dan Urea Sabah (Samur),” katanya.
Jelasnya lagi pada masa itu, Petronas turut diberi ruang kebebasan untuk membuat pelaburan dalam projek huluan yang besar di Malaysia dan di merata tempat di dunia seperti Kanada, Iraq dan Brunei.
“Pelaburan-pelaburan ini akan berupaya menghasilkan dividen yang tinggi bagi Petronas serta Malaysia bagi jangka masa panjang. Kita melabur untuk memastikan manfaat bagi jangka masa panjang.
“Keuntungan Petronas juga bergantung kepada harga minyak dan gas dunia yang terletak di luar kawalannya. Kebergantungan yang keterlaluan terhadap harga minyak yang tinggi sepatutnya dielakkan. Walaupun harga minyak dunia sekarang agak tinggi berbanding jangkaan dalam bajet 2018 saya, kita perlu menjaga jika harga minyak jatuh lagi seperti kejatuhan sebanyak 80% yang berlaku pada tahun 2014 dan 2015,” ujarnya.
Najib seterusnya menegaskan Rizab tunai Petronas sekarang jauh lebih tinggi berbanding tahun 2008 semasa beliau mula bertugas sebagai menteri kewangan.
“Alhamdulillah, rizab tunai Petronas meningkat kepada RM164.7 bilion pada akhir Mac 2018, meningkat RM36.5 bilion berbanding RM128.2 bilion pada tiga bulan lalu iaitu pada penghujung 2017.
“Peningkatan ini adalah berikutan harga minyak yang memberangsangkan selain dari penerimaan bayaran dari pelaburan Aramco Saudi bagi projek RAPID Pengerang,” katanya.
No comments:
Post a Comment