Monday, 14 May 2018

CABARAN MAHATHIR PASCA PRU 14

Kami ingin memulakan ruangan artikel ini dengan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Dr. Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Beliau mencatatkan sejarah menyandang jawatan itu buat kali kedua iaitu selepas 15 tahun. Dr. Mahathir juga memecahkan rekod menjadi Perdana tertua di dunia pada usia 92 tahun. Apa yang sebelum ini diramalkan sukar berlaku telah menjadi kenyataan. Malah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) meyaksikan kejutan besar dengan kejayaan Pakatan Harapan yang menggunakan logo PKR menawan Kerajaan Pusat.

Penguasaan BN yang diketuai UMNO selama enam dekad akhirnya lebur. Pakatan Harapan memperolehi 113 daripada 222 kerusi Parlimen termasuk di Langkawi yang dimenangi Dr. Mahathir. Rakyat telah membuat penentuan yang kita semua harus hormat atas nama demokrasi. Berilah peluang kepada Dr. Mahathir dan kerajaan baharu membuktikan kemampuan pada era mencabar ini.

Harapan rakyat kepada kerajaan pimpinan Dr.Mahathir adalah terlalu tinggi, lebih-lebih lagi banyak janji yang ditawrkan. Rakyat menghitung hari untuk menikmati pemansuhan GST, tol, PTPTN, pemberian biasiswa, menstabilkan harga minyak di bawah paras RM1.50 dan banyak lagi janji. Ini berbeza ketika beliau mula-mula menjadi Perdana Menteri pada 1981 yang tidak diwarnai dengan pelbagai janji. Satu lagi cabaran Dr. Mahathir ialah beliau kini mentadbir kerajaan di dalam era media sosial berbanding ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri. Walaupun berpengalaman luas selama 22 tahun, situasi jauh berlainan dengan rakyat semakin kritis, berani dan bertindak sebagai wartawan di media sosial atau citizen journalism.

Apatah lagi di seluruh dunia gerakan pembangkang adalah satu trend dan mempunyai kelebihan untuk membentuk persepsi rakyat sementara sebagai kerajaan banyak kekangannya.

Dengan perkataan lain, lebih mudah, seksi dan macho menjadi pembangkang berbanding kerajaan. Realitinya Pakatan Harapan bukan lagi pembangkang termasuk di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah selain Wilayah Persekutuan. Tanggungjawab, amanah dan akauntabiliti terpikul sepenuhnya di bahu Perdana Menteri dan kerajaan. Atas faktor itu kami menasihatkan pihak yang menang jangan terlalu gembira sementara yang kalah usah berduka.

Hidup ini termasuk keputusan PRU-14 umpama roda, adakalnya di atas. Dengan kata lain kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh melakukan banyak kesilapan.

Gagal melaksanakan janji akan membawa padah. Juga terbukti rakyat tidak akan kepada rasa terhutang budi. Ambillah iktibar bagaimana rakyat boleh menjatuhkan hukuman, yang selepas ini giliran siapa pula?

Oleh yang demikian pada kami, strategi terbaik adalah melaksanakan pendekatan yang memenangi hati rakyat dan bukannya lebih menonjolkan sisi untuk melepaskan dendam serta geram kepada musuh politik. Inilah masa untuk menyatukan semula rakyat dan janganlah ulangi sejarah keangkuhan sesiapa pun melalui politik kebencian.

Bukan semua orang mendapat peluang seperti Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua bagi menebus segala kesilapan dan mendapat penghormatan pada usia yang sangat lanjut. Walaupun menang besar gabungan Pakatan Harapan belum teruji sebagai kerajaan dan mudah rapuh untuk dilanda konflik.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Dr. Mhatahir hanya parti yang rendah pemilikan kerusi (13 kerusi) di Parlimen berbanding PKR (47 kerusi) dan DAP (42 kerusi). Tidak sama senario ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dengan UMNO yang dipimpinnya ketika itu sepanjang masa mempunyai jumlah kerusi terbesar sebagai sandaran. Dalam politik jumlah kerusi yang dimiliki melambangkan kuasa sesebuah parti atau pemimpin.

Sukar untuk meramalkan apa akan berlaku selepas ini - mempunyai tiga pemimpin yang pernah saling bermusuhan iaitu Dr. Mahathir, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim (yang akan bebas daripada penjara selepas mendapat pengampunan) dalam satu gelanggang - ini tidak akan menjadikan sesiapa selesa. Tiada siapa dapat membaca sama ada mereka telah memaafkan antara mereka. Mereka bergabung hanya untuk menewaskan musuh yang sama, tidak lebih daripada itu. Apa pun marilah kita melihat ke hadapan dengan harapan kerajaan baharu ini benar-benar jauh lebih baik daripada kerajaan BN dan bukan disebaliknya. 

No comments:

Post a Comment