KUALA LUMPUR, 27 Mei – Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyelar kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan yang sentiasa tidak konsisten dalam memberikan fakta.
Jelas beliau, akujanji yang diucapkan oleh mereka sehingga kini tidak satu pun dilaksanakan.
“Selaku kerajaan baru, sudah pasti mereka akan diperhatikan. Kita lihat contohnya, apabila diisytiharkan mereka menang, kata harga minyak akan turun tetapi kenyataannya sehingga sekarang harga minya tidak turun.
“Mereka juga isytihar GST akan dihapuskan tapi tidak ada barang yang harga turun walaupun GST 0 peratus. Ada 90 barangan yang telah naik harga. Begitu juga kalau kita lihat PTPTN, apabila mereka kata berpendapatan RM4 ribu ke bawah tidak perlu bayar maka situasi untuk pembiayaan semula melalui PTPTN tidak dapat dilaksanakan.
“Mereka juga mengatakan hutang negara RM1 trilion, tetapi yang jelas hanya RM686.8 billion. Mereka katakan ada pinjaman asing tetapi sebenarnya domestic debt iaitu pinjaman dalam negara… ertinya tidak ada pengaliran wang tunai ke luar negara,” ujar beliau dalam program berbuka puasa bersama Ketua-ketua Penerangan Bahagian UMNO.
Selain itu jelas Zahid, kerajaan baru juga menuduh kerajaan terdahulu membuat pinjaman dalam bentuk US dollar dan yen tetapi kenyataan dari Bank Negara membuktikan hanya dua peratus sahaja pinjaman dalam bentuk US dollar dan satu peratus dalam yen.
“Ertinya pinjaman kita dalam bentuk ringgit…. Mereka juga kata Bursa KL akan meningkat tapi akhirnya merudum jatuh….selama 14 hari berturut-turut.
“Dulu mereka kata ekonomi berada dalam kekecamukan dan negara hampir bankrup tetapi akhirnya mereka kata ekonomi kukuh. Siang cakap lain petang cakap lain. Macam tempe… pagi masih lagi kacang, petang sudah jadi tempe, esok sudah naik kulat,” selar beliau.
Justeru, beliau berharap agar semua Ahli Parlimen BN bersatu menjadi pasukan pembangkang yang efektif di Dewan Rakyat bagi mengekang fitnah dan tohmahan tidak benar yang menjadi darah daging kerajaan baru di bawah Pakatan Harapan. Faktor inilah juga yang membuat mereka memenangi PRU-14.
No comments:
Post a Comment