Wednesday 16 May 2018

TIGA KEJANGGALAN KETARA SETELAH LIMA HARI PERTAMA KERAJAAN PH MEMERINTAH.

Pakatan Harapan baru sahaja menubuhkan kerajaan selama tempoh lima hari. Masih terlalu awal untuk menilai pencapaian kerajaan baharu ini, justeru kita seharusnya memberikan ruang kepada kerajaan melunaskan janji-janjinya.

Pun demikian, dari hari pertama lagi, kami mengikuti dengan dekat tindak tanduk kerajaan baharu ini, dan kami dapati ada beberapa perkara yang agak merisaukan.

Jika diteliti muka surat 4 Buku Harapan, kerajaan hari ini berjanji “akan menghentikan kerosakan institusi-institusi penting negara, dan akan mengembalikan kedaulatan undang-undang, lantas menjamin kebebasan agensi penting dalam kerajaan.”

Tetapi tindak tanduk kerajaan hari ini nampak sungguh membelakangkan kedaulatan undang-undang (rule of law), dan lebih berpihak kepada kedaulatan kekuasaan (rule of might)dengan menakutkan-nakutkan rakyat. Berikut adalah tiga perkara itu:-

Kejanggalan pertama - Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah memberi kenyataan di hari kedua pembentukan kerajaan baru bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju untuk memberikan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hal ini amat janggal, kerana di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, sungguhpun kuasa untuk memberikan pengampunan adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, tetapi kuasa itu hendaklah dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan. Persoalannya, adakah Lembaga Pengampunan telah bersidang ketika itu, untuk mengatakan Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar?

Jika diteliti Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara adalah salah seorang ahli dalam Lembaga Pengampunan; Perkara 42(9) pula memperuntukkan bahawa sebelum membuat sebarang nasihat untuk pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Lembaga Pengampunan hendaklah mendapatkan pandangan bertulis daripada Peguam Negara terlebih dahulu.

Kami yakin, kesemua perkara ini belum dilakukan lagi, kerana sejak menubuhkan kerajaan baharu, hari bekerja pun belum bermula lagi, dan Lembaga Pengampunan pun belum bersidang, bahkan bagaimanakah agaknya rupa bentuknya pandangan bertulis Peguam Negara nanti? Justeru mengapa Dr. Mahathir sebagai perdana menteri yang telah mengangkat sumpah dan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri (yang belum mengangkat sumpah) bull doze kesemua peruntukan keperlembagaan ini?

Kejangalan kedua - Apabila Dr.Mahathir dalam satu sidang media mengumumkan bahawa Peguam Negara sekarang ini bukanlah lagi Peguam Negara, dan kini terdapat kekosongan untuk jawatan itu.

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sungguhpun Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan seorang Peguam Negara, tetapi sebaik-baik sahaja dia telah dilantik, maka dia berhak memegang jawatan itu selagi mana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Hal ini bermaksud bahawa seseorang Perdana Menteri tiada hak untuk memecat Peguam Negara sesuka hatinya.

Bahkan jika diingatkan lagi, diketika Peguam Negara terdahulu Tan Sri Abdul Gani Patail diberhentikan jawatannya serta, banyak pihak, termasuk Dr. Mahathir sendiri, mempersoalkan keabsahan pemecatan itu. Hal ini terkandung di dalam kertas-kertas kausa mahkamah yang difailkan oleh Dr. Mahathir di dalam kes samannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak. Malahan Gobind Singh dan Ambiga juga pernah mengutarkan hal yang sama.

Jika dahulu pemecatan Gani Patail dikatakan tidak mengikut Perlembagaan, maka adakah ‘pemecatan’ Tan Sri Mohamed Apandi Ali secara unilateral oleh Dr. Mahathir melalui sidang media boleh dikatakan sebagai mengikut perlembagaan?

Kejangalan ketiga- Berkenaan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan. Ini adalah secara jelas suatu konflik kepentingan. Guan Eng masih menghadapi pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, justeru selagi mana beliau belum membersihkan namanya, beliau tidak seharusnya dibenarkan untuk memegang sebarang portfolio jawatan awam kerana dikhuatiri beliau boleh menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk mempengaruhi keputusan mahkamah.

Apabila dipertikaikan oleh media barulah Dr. Mahathir menjawab bahawa ‘itu hanya merupakan perlantikan belum lagi secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan’. Persoalannya dengan pertuduhan yang dihadapi mengapa beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan? Seolah-olah Perdana Menteri tidak mengetahui latar belakang menteri yang dilantik dari segi kelayakan dan dilihat seperti main-main sahaja atau mempunyai motif yang tertentu.

Ini memandangkan prinsip keadilan memperuntukkan bahawa keadilan tidak hanya perlu dilaksanakan, malahan ia juga perlu nampak dilaksanakan.

Akhir kata, kami perlu tekankan bahawa kami bukan ingin mempertahankan rejim terdahulu, yang pentingnya ketelusan dan kebenaran perlu diambil kira.

Bahawa mereka yang benar-benar bersalah perlu disiasat dengan telus, diadili dan dihukum dengan hukuman yang setimpal. Itu adalah sememangnya tidak dipertikaikan. Tetapi proses untuk mencapai keadilan tersebut perlulah mengikut prinsip-prinsip yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh sama sekali membelakangkan kedaulatan undang-undang semata-mata untuk membalas dendam. Amatlah merisaukan melihatkan di hari-hari awalnya lagi, kerajaan baharu ini tidak menunjukkan minat untuk menghormati peruntukan keperlembagaan, lantas apakah bezanya mereka dengan kerajaan terdahulu yang digantikannya? 

No comments:

Post a Comment