Tuesday, 15 May 2018

DESAKAN AGAR SATU SURUHANJAYA KEBENARAN DAN REKONSILIASI (TRC) SIASAT KES SALAH GUNA KUASA,RASUAH KERAJAAN.


Kami sebagai rakyat pembayar cukai mendesak Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhamad V dan Majlis Raja-Raja diminta mempertimbangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi (Truth Reconciliation Commission atau TRC) di negara ini bagi menyiasat segala kes rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kerajaan. 

Meskipun kerajaan Pakatan Harapan berusaha untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), namun mereka tidak menyentuh beberapa skandal terdahulu antaranya Skandal Bumiputra Malaysian Finance (BMF) (1983), Skandal Maminco-Makuasa (1985-1986), keputusan siasatan hasil RCI Skandal Kerugian FOREX Bank Negara (1988-1994), isu saham MAS, Skandal Perwaja Steel (2002),dasar penswastaan negara (perjanjian IPP dan Lebuh Raya Utara Selatan yang berat sebelah),projek Pelabuhan Klang (PKFZ), projek kad pengenalan di Sabah, keputusan siasatan penyelewengan dana Kementerian Luar Bandar dan keputusan siasatan rasuah skandal Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Perkara ini amat membimbangkan kerana rasuah harus disingkirkan sebagai entiti tunggal. Setiap individu yang terlibat dan mendapat manfaat daripadanya harus dipertanggungjawabkan.

Kita tidak boleh tertumpu kepada kepada individu yang tidak disukai dan membenarkan skandal-skandal terdahulu dibiarkan begitu sahaja dengan hanya permintaan maaf secara lisan.

TRC itu harus berperanan menyiasat dan mendedahkan semua perbuatan salah laku kerajaan sebelum ini selain menggesa pihak terlibat memberi jawapan dan penyelesaian konflik yang sewajarnya.

Rakyat tidak mahu usaha mencari kebenaran bersandarkan kepada motif politik atau balas dendam semata-matanya tetapi memerlukan siasatan bebas merangkumi rekonsilisasi, keadilan, pampasan dan kesedaran.

Jikalau faktor-faktor tersebut di atas dicabuli, nescaya rakyat akan mempersoalkan kredibiliti kenyataan Perdana Menteri Dr.Mahatir ketika mengambil tugas bahawa ‘siasatan yang bakal dilaksanakan tidak berasaskan dendam’.

TRC yang ditubuhkan itu harus tertumpu pada isu-isu dari 1983 jika perlu berbanding 2009 sewaktu kes 1MDB ditimbulkan. Penyalahgunaan kuasa mungkin telah disiasat sejak 2009, namun sebagai institusi, ia harus disiasat bermula 1983.

Kami berharap untuk mengetahui bagaimana ia bermula dan berkembang, mengenal pasti penyalahgunaan kuasa seawal mungkin amatlah penting.

Dalam pada itu kami mengenal pasti penyalahgunaan kuasa tidak hanya mencuri wang atau klaptokrasi tetapi melibatkan melanggar hak asasi manusia, merosakkan sistem kehakiman, menjejaskan sistem diraja, penindasan hak media dan sebagainya.

Justeru, kami berharap TRC itu dapat diperkasakan dengan membenarkan pendakwaan jenayah.

Seterusnya, kami yakin bahawa TRC bukan perkara baharu kerana telah dilaksanakan oleh banyak negara antaranya penubuhan Suruhanjaya Penjelasan di Guatemala yang menangani salah guna kuasa kerajaan terdahulu, TRC di Timor Leste untuk menangani pemerintahan autokratik, Suruhanjaya Kebenaran di Chile pada 2003 untuk menyiasat kekejaman yang dilakukan oleh bekas diktator, Augusto Pinochet dan TRC di Afrika Selatan diterajui oleh Bishop Desmond Tutu kesan dasar Apartheid pada 1995.

Kami percaya TRC boleh menjadi penyelesaian kepada rakyat yang kini terpisah akibat situasi politik berbeza. Kami meminta keadilan dalam bentuk pemulihan dan bukannya hukuman. Jika penyelesaian tidak dapat dilakukan, kami mahu keadilan secara ganti rugi yang mana mangsa diberi pampasan, permohonan maaf dan peringatan.

Sebelum ini, ahli politik terlibat dalam kes salah guna kuasa dikenakan cukai harta yang memaksa mereka mengembalikan keuntungan haram yang diklebihaut. Yang penting, kita tidak harus membenarkan pemindahan kuasa menghalang pendakwaan mahkamah terhadap mereka yang didapati bersalah (salah guna kuasa).

Dalam situasi yang tidak menentu, kami sebagai rakyat memohon bimbingan Tuanku Yang diPertuan Agong untuk memimpin negara tercinta daripada keputusan pilihan raya lalu bagi mengukuhkan kembali Malaysia.

Sementara itu kami berpendapat, usaha Pakatan Harapan untuk menggugurkan pentadbiran kerajaan yang disyaki menyalahgunakan kuasa adalah objektif yang baik, namun tumpuan mereka lebih terarah untuk menghukum kerajaan sebelum ini oleh kuasa eksekutif baharu yang mengatasi proses undang-undang.

Kami bimbang proses pengabungan kuasa sudah bermula. Meskipun kerajaan baharu masih belum dibentuk sepenuhnya, kuasa eksekutif baharu mengambil tindakan dengan sendiri.

Kami khuatir tindakan tersebut seolah-olah memudahkan penyingkiran musuh-musuh politiknya. Kami bimbang institusi terjejas akibat pelantikan politik yang ditakuti boleh mendorong kepada situasi tidak terkawal.


No comments:

Post a Comment