Friday 25 May 2018

JANGAN JADIKAN RIBUAN STAF KERAJAAN BERGAJI SEDERHANA SEBAGAI SASARAN.


KUALA LUMPUR May 25 2018: Nasib ribuan pegawai dan staf kerajaan yang disebut ‘lantikan politik’ oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendapat perhatian Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar tidak menjadikan mereka sebagai sasaran mainan dan agenda politik kerajaan semasa.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan ini bergaji sederhana dan rendah serta ada antara mereka menerima gaji mengikut Gred 17.

“Dakwaan bahawa mereka menjadi kroni Menteri juga adalah tidak benar kerana mereka hanya dilantik dengan persetujuan dan rujukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), yang menentukan tangga gaji yang sesuai dengan jawatan dan kelayakan yang disandang.

“Mereka tidak dilantik secara terus seperti yang didakwa oleh banyak pihak, sebaliknya perlu melalui proses yang sama dengan penjawat awam lain termasuk temuduga dan saringan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, apa yang menimpa mereka sekarang mencerminkan ketidakprihatinan kerajaan terhadap perkara ini apabila mereka ditamatkan serta-merta ketika sedang bersiap sedia menyambut 1 Syawal. Ini satu tindakan yang zalim kerana mereka ini merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysian dan sebahagian dripada mereka mungkin terdiri daripada pengundi PH yang menjayakan kemenangan pakatan itu.

“Biarpun mereka adalah kakitangan sandaran, mereka mempunyai keluarga dan mulut untuk disuap. Fikirkanlah soal kebajikan anak isteri mereka, mereka juga manusia biasa rakyat Malaysia.

“Alangkah baik jika sebahagian besar mereka diserapkan ke perkhidmatan awam, supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat benar-benar ingin membela nasib rakyat, dan bukan menghukum mereka atas ketaksuban pemimpin terhadap politik. Hak asasi rakyat yang menjadi mangsa politik harus diambil kira oleh kerajaan yang ada sekarang.

Dalam pada itu, UMNO juga bimbang bahawa cubaan kerajaan PH untuk memberi gambaran tidak betul bahawa hutang kerajaan lebih tinggi dari yang dilaporkan dahulu akan digunakan sebagai alasan untuk memecat lebih banyak penjawat awam dalam masa terdekat.

Tambahnya, rakyat tidak akan lupa bahawa hasrat parti DAP dari dulu lagi ialah untuk mengurangkan beratus ribu penjawat awam kerana majoriti daripada mereka terdiri daripada kaum Melayu.

Tidak mustahil bahawa ribuan penjawat awam ini hanya merupakan titik permulaan dan akan menjadi tidak terkawal dan mungkin ia akan menjurus ke arah masalah perkauman sekiranya ia tidak dibendung oleh kerajaan yang bertanggungjawab.

Baru-baru ini, PM mengambil keputusan untuk memberhentikan perkhidmatan kakitangan sandaran dengan alasan mereka bergaji besar dan bertindak sebagai kroni Menteri dan Ketua Jabatan tertentu.

No comments:

Post a Comment