Monday, 28 May 2018

RAKYAT MENGHITUNG HARI MENANTI 100 HARI PEMERINTAHAN PH


Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad telah mengankat sumpah dan memulakan tugas baru-baru ini.

Sebagai rakyat Malaysia dan pengamal media, kami berpendapat berilah peluang kepada Kabinet baharu ini melaksanakan tanggungjawab mereka.

Biarlah rakyat menilai terutama prestasi dalam tempoh 100 hari dan mampukah kerajaan Pakatan Harapan menunaikan segala janji dalam erti kata sebenar.

Menjadi kerajaan terutama era ledakan teknologi maklumat termasuk media sosial, bukanlah semudah menjadi pembangkang yang bermodalkan sentimen.

Cabaran besar Kabinet Dr. Mahathir adalah mengurus persepsi dan menangani sentimen anti-kerajaan di merata pelosok dunia.

Dua minggu kebelakangan ini pun menyaksikan begitu banyak komen negatif rakyat menerusi media sosial terhadap kerajaan. Sepatutnya atas kertas kerajaan yang baru menang PRU-14 akan lebih popular di media sosial tetapi tidak begitu keadaannya. Banyak isu yang berlegar antaranya pelanggaran kedaulatan undang-undang (rule of law), tindakan-tindakan yang dilihat lebih didorong dendam, mempolitikkan siaatan ke atas bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan fakta-fakta yang mengelirukan rakyat. Apa yang dijanjikan dan hujah yang digunakan sebelum ini sudah bertukar nada seperti isu Proton, harga minyak, GST, tol dan PTPTN.

Inilah yang disifatkan ramai sebagai kecelaruan yang diharap tidak membawa banyak kerosakan. Itu belum menyentuh tindakan menghukum rakyat dengan memberhentikan ribuan pekerja serta-merta yang mengundang kemarahan ramai.

Dalam kes siasatan ke atas Najib, semua pihak harus membiarkan proses siasatan berjalan tanpa tindak-tanduk yang menimbulkan prejudis terhadap siasatan. Itulah juga nasihat Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1MDB, Abu Talib Othman dan Dr. Tan Seng Giaw.

Kami percaya itulah yang terbaik supaya rakyat tidak melihat ada pihak yang menjadi mangsa buli melalui kedaulatan kekuasaan (rule of might) kerajaan dan sedangkan Pakatan Harapan menjanjikan keadilan. Sepatutnya inilah masanya untuk memenangi hati rakyat dan bukan sebaliknya.

Antara langkah awal Dr. Mahathir yang disambut positif adalah gaji menteri Kabinet dikurangkan 10 peratus, kaji semula elaun tinggi melampau pegawai tinggi awam dan lantikan politik dalam syarikat milik kerajaan.

Kini tugas Dr.Mahathir berat dan berharap kerajaan pimpinannya dapat menangani semua isu serta cabaran. Tempoh bulan madu tidak lama (untuk melihat prestasi dan melaksanakan segala janji), rakyat menghitung hari menanti janji.

No comments:

Post a Comment