Monday, 28 May 2018

MASUKKAN INSTITUSI RAJA DALAM REFORMASI… ISYARAT APA INI KADIR JASIN? - ANNUAR MUSA.

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa terkejut dengan tulisan Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan (MPK-PH), Datuk Kadir Jasin(DKJ) seperti yang tersiar di Sinar Harian dan dipetik oleh Free Malaysia Today(FMT).
Ini adalah kerana katanya, DKJ adalah satu badan yang dilihat sangat berpengaruh dan berkuasa di bawah kerajaan baru, malah dianggap lebih berpengaruh dan tinggi dari kabinet itu sendiri.
“Majlis ini telah bertindak dan mengeluarkan pelbagai kenyataan hatta sebelum kabinet di bentuk lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, DKJ dilihat sebagai satu isyarat dan amaran kepada Raja-raja Melayu apabila beliau secara terang-terangan membangkitkan isu kontrak sosial antara raja dan rakyat yang lebih tepat lagi ianya berbaur hasutan.
“Apakah ini satu isyarat bahawa pentadbiran baru sedang bergerak ke arah reformasi institusi raja dan cuba meminda perlembagaan seperti pernah di lakukan pada awal 90-an yg telah menyeret kita semua dalam pertembungan raja dan rakyat?
“Dari tulisan Ketua Media dan Komunikasi MPK-PH ini ia sangat jelas sekali lagi bagi saya ia bersifat ugutan dan hasutan.
“DKJ sepatutnya menghormati penjelasan yang telah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-raja Melayu yang telah pun mengeluarkan kenyataan bersabit isu yang dibangkitkan pihak tertentu,yang disentuh beliau di awal para tulisannya.”
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian sebagai mengulas berkaitan kenyataan DKJ dalam Sinar Harian semalam yang bertajuk ‘Masukkan Institusi Raja Dalam Reformasi’.
“Apakah ini suara DKJ atau suara MPK-PH atau suara orang berkuasa yang lain? Apakah DKJ merasakan beliau kebal dan dilindungi untuk mengeluarkan kenyataan sebegini?
“Tulisan DKJ yang mengungkit kemewahan pihak Istana, pembiayaan oleh rakyat dan lain-lain jelas untuk menyemarakkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap institusi raja. Ke arah mana DKJ dan MPK-PH ingin membawa kita setelah ‘mendapat mandat rakyat’
“Malah sebutan oleh DKJ bahawa raja tidak kekal,boleh disifatkan sebagai satu percubaan mengugut dan menggugat kedudukan dan kemuliaan institusi raja raja Melayu.”
Namun katanya, perlu diperingatkan DKJ bahawa rakyat, terutamanya orang Melayu tidak akan membiarkan peristiwa 90-an berulang dan berharap kerajaan jangan cuba berketerlaluan dalam tindak-tanduk mereka, terutama dalam percubaan yang boleh di sifatkan menggugat kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam dan paling penting perlembagaan itu sendiri.
“Sebarang usaha meminda perlembagaan seperti yang cuba dibayangkan oleh DKJ akan kita tentang habis habisan.
“Kita akur dengan mandat rakyat kepada PH, kerana itulah kita pastikan peralihan kuasa berjalan secara licin dan tanpa halangan walau mandat itu amat nipis sekali, malah ketua kerajaan sendiri mempunyai mandat tak sampai 10 peratus di parlimen.
“Kita juga ingin mengingatkan DKJ bahawa mandat dari pengundi Melayu tidak bersama PH. Statistik jelas menunjukkan lebih dari 70 peratus undi orang Melayu tidak memilih PH,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sepatutnya DKJ dan MPK-PH menumpukan usaha utk menunaikan segala janji 100 hari pertama yg belum ditunaikan.
“Rakyat sedang menunggu dengan sabar penghapusan cukai GST(bukan zero-rated), penghapusan tol, penstabilan harga minyak pada RM1.50 seliter, pendidikan percuma,penurunan harga barang dan lain-lain ‘Harapan’ rakyat dan bukannya ugutan terhadap institusi Raja atau percubaan meminda perlembagaan.
“Saya harap pihak berwajib tidak akan merasa takut untuk bersikap adil menjalankan siasatan ke atas tulisan DKJ,dan berharap keluhuran undang undang dapat di pertahankan.
“Saya juga berharap DKJ berlapang dada dengan catitan saya ini.Sebagai seorang yang telah melalui episod awal 90-an, saya tidak akan membiarkan peristiwa tersebut berulang lagi semata mata kerana dendam peribadi,” ujar beliau lagi. 

No comments:

Post a Comment