20 JAN: Lonjakan kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun 2018 adalah hasil kepesatan ekonomi di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2017.
Kenaikan itu tidak ada kena mengena dengan apa-apa strategi oleh kerajaan Pakatan Harapan dan bukan juga kerana kedudukan ekonomi yang baik seperti yang didakwa oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Ini kerana, ramai yang tahu bahawa cukai yang kena bayar pada tahun ini adalah daripada pendapatan tahun sebelumnya, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Maka kebanyakan cukai yang dibayar pada tahun 2018 adalah daripada hasil tahun 2017.“Tiada kena-mengena dengan apa-apa strategi PH dan bukan kerana ekonomi baik untuk tahun lepas seperti yang Guan Eng cuba tumpang puji. Nak tuntut kredit?,” kata ahli Parlimen Ayer Hitam itu. Ibarat ‘lembu punya susu sapi dapat nama’.
Tambahnya, rakyat boleh lihat dengan mata sendiri ekonomi semakin merosot selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
Ka Siong memuat naik hantaran terbaharunya melalui Facebook selepas Guan Eng memaklumkan tentang kutipan kasar LHDN tahun 2018.
Dalam kenyataannya tengah hari tadi, Guan Eng berkata, kutipan kasar cukai LHDN bagi tahun 2018 ialah RM137.035 bilion, meningkat sebanyak 11.13 peratus atau RM13.723 bilion berbanding kutipan tahun 2017.
Katanya, cukai tahun lalu mengatasi kutipan cukai langsung yang direkodkan pada tahun 2014 iaitu RM133.700 bilion.
Dalam kenyataan itu, Guan Eng berkata, lonjakan kutipan itu mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), selain menunjukkan pertumbuhan ekonomi masih menggalakkan dalam tahun 2018.
Dakwa Menteri Kewangan itu lagi, prestasi kutipan sangat memberangsangkan ini jelas kesan daripada strategi-strategi efektif dan berkesan berkaitan percukaian yang ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.
No comments:
Post a Comment