Tuesday, 15 January 2019

SPRM DIDESAK SIASAT KIT SIANG KERANA MENGAKU BERLAKU BERI WANG


15 JAN: Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivaarrajh mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengakui individu yang berbaju Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang kepada Orang Asli di Cameron Highlands baru-baru ini sebagai bayaran balik kos petrol para sukarelawan.
Sehubungan itu Sivaarrajh berkata kenyataan Kit Siang itu boleh dijadikan bukti untuk SPRM.
Beliau yang membuat laporan di SPRM berhubung dakwaan wujudnya politik wang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di parlimen itu yang bermula pada 13 Januari lalu menambah, gambar pemberian wang oleh wakil atau ejen calon DAP yang tular di media sosial kini juga perlu dijadikan bahan bukti dan perlu disiasat oleh SPRM.
“Laporan yang dibuat oleh saya ini kerana ingin mencari keadilan apabila pemberian wang itu sama dengan kes saya di mahkamah hingga dilucutkan jawatan sebagai ahli parlimen.
“Malah hakim kes saya turut menyebut pemberian wang petrol atau rokok tetap dikira rasuah.
“Jadi saya menjadi mangsa kerana petisyen yang dibuat calon DAP sebelum ini hanya cakap-cakap tetapi kempen ketika ini gambar pemberian wang sudah menjadi viral dan diakui sendiri oleh Kit Siang,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Kempen PRK Cameron Highlands ketika menjadi kontroversi apabila gambar tular seorang individu memakai baju berlogo Pakatan Harapan mengagihkan wang kepada beberapa individu lain.
Kit Siang mengakui individu berkenaan adalah seorang sukarelawan Impian Malaysia dan wang yang diagihkan itu adalah bayaran balik kos petrol para sukarelawan.
PRK parlimen itu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor berdepan dengan tiga lawan dalam saingan empat penjuru pada PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.
Ramli ditentang oleh calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas calon parlimen itu pada PRU-14, M. Manogaran serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah.
Oleh itu, Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi parlimen itu.

No comments:

Post a Comment