Puan Sri Sabariah Mohd Shariff |
11 FEB: Seorang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih memfailkan saman pemula terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun |
Pengundi berkenaan, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff, 58 tahun, yang memfailkan saman melalui Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co itu turut menamakan SPR dan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan dalam saman berkenaan.
Kumpulan Peguam Pn Sri Sabariah |
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, anak guamnya menuntut pelbagai deklarasi, antaranya pengisytiharan bahawa suruhanjaya itu tidak wujud dari segi undang-undang.
“Saman ini baru diabstrak oleh mahkamah melalui sistem e-filing, jadi kita belum dapat tarikh pendengarannya.
“Kita memfailkan tiga dokumen, yang pertama saman pemula, kemudian efidavit sokongan dan satu lagi perakuan segera.
“Kita mahu mahkamah ini segera menetapkan tarikh bicara, kami bersedia, esok atau lusa, seawal-awalnya lusa untuk mendengar permohonan ini, perbicaraan ini supaya mahkamah dapat membuat keputusan sebelum 16 Februari,” katanya semasa sidang media selepas memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin.
Memfailkan saman di Mahkamah Tinggi |
SPR sebelum ini menetapkan penamaan calon PRK Semenyih pada 16 Februari ini.
Jelas Khairul Azam, Fasal 114(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa SPR mestilah terdiri daripada gabungan seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan lima orang ahli yang kesemuanya di lantik oleh Yang Di Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Setakat 18 Januari, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong tidak ada membuat sebarang lantikan Timbalan Pengerusi dan lima ahli lain.
“Plaintif percaya di sebabkan SPR tidak lagi wujud selepas 1 Januari 2019, maka Pengerusi SPR seorang diri tidak boleh kendalikan,diagihkan atau laksanakan apa-apa mesyuarat atau membuat apa-apa keputusan untuk mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N24 Semenyih.
“SPR tidak wujud secara sah mengikut Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, tiada sebarang PRK DUN N24 Semenyih boleh dibuat. Bahawa apa kenyataan SPR bermula dari 1 Januari 2019 adalah tidak sah dan batal mengikut undang-undang,” ujarnya.
Seandainya saman ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi, ia boleh dirayu ke mahkamah atasan Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan melalui Semakan Kehakiman atau ‘Judiciary Review’ atas penolakan Mahkamah Tinggi. Demi kepentingan keadilan pengundi dalam sistem pilihan raya negara ini saman ini sekiranya ia ditolak, ia tidak seharusnya berakhir di Mahkamah Tinggi dan ia perlu dimuktamatkan melalui Semakan Kehakiman.
No comments:
Post a Comment