SEMENYIH, 19 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bukan sahaja mengenai harapan rakyat yang tidak tertunai tetapi mengenai di mana kedudukan Melayu dalam Malaysia Baru.
Jelas beliau, orang Melayu tidak boleh dikesampingkan kerana Malaysia ini terasnya adalah orang Melayu.
“PRK Semenyih adalah satu peluang untuk pengundi di sini menyatakan pendirian dan perasaan mereka kepada prestasi Kerajaan sedia ada. Banyak isu yang menjadi pertimbangan rakyat antaranya harapan yang tidak tercapai, harapan yang digambarkan seolah-olah kalau mereka ini menjadi kerajaan kehidupan akan menjadi lebih baik tapi sayangnya harapan tinggal harapan.
“Kedua, pilihan raya ini memberi peluang pengundi menyatakan mengenai aku janji yang tidak ditunaikan dan ketiga, yang wajar dibangkitkan adalah bagaimana dan di mana kedudukan Melayu dalam Malaysia Baru ini.
“Sebab… apabila PH (Pakatan Harapan) kalah di Cameron Highlands mereka menuduh BN (Barisan Nasional) menggunakan pendekatan perasaan perkauman. Pokoknya ialah dalam pilihan raya ini, orang Melayu perlu menyatakan soal bangsa dan agama kerana ia memang penting dan tidak patut diketepikan,” ujar beliau kepada UMNO-Online selepas menyertai calon BN Zakaria Hanafi dalam kempen PRK DUN Semenyih di Pasar Malam Bandar Tasik Kesuma di sini, semalam.
Tambah Khalid, sejak dulu lagi perjuangan UMNO adalah berkaitan bangsa Melayu kerana Melayu itu adalah teras negara.
“Memang kita tidak malu untuk akui kita perjuangkan orang Melayu. Seruan kita supaya orang Melayu bersatu… itu bukannya rasis.
“Kita boleh nampak orang Cina semua sokong Dap, kenapa itu tidak rasis. Kalau hari ini kita beritahu bahawa bangsa Melayu bukannya teras… cuba bayangkan semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh sesiapa sahaja dalam kerajaan tidak bersandarkan itu, maka macam mana keadaan bila sesuatu keputusan tidak dibuat berlandaskan Melayu itu sebagai teras.
“Kita mempertahan Melayu, Islam, bahasa Melayu dan kita ini pro-Perlembagaan. Walau bagaimana majupun negara ini, kita hendaklah kekalkan identiti Melayu dan Islam.
“Sebab itu PRK ini adalah satu pilihan raya di mana orang Melayu menyatakan pendirian sama ada tidak mahu lagi konsep identiti Melayu Islam atau perlu kekalkannya. Bercakap soal Melayu Islam, ia sesekali tidak membawa kepada negara ini tidak boleh maju,” tegas beliau lagi.
[
No comments:
Post a Comment