Wednesday 30 August 2017

MISTERI DALANG ‘ORANG ATASAN’ DALAM RCI SKANDAL KERUGIAN FOREX BANK NEGARA MALAYSIA (BNM).


Siapakah individu yang digelar ‘orang atasan’ tersebut dan adakah beliau terlalu berkuasa sehingga boleh memberi arahan kepada Jabatan Ketua Audit Negara supaya tidak bertanya lagi tentang urus niaga mata wang asing oleh BNM?

Sehingga kini, masih belum jelas apakah motif di sebalik keputusan BNM untuk terlibat secara langsung dalam urus niaga mata wang asing yang berunsur spekulatif dan berisiko tinggi sekitar tahun 1990-an.

Urus niaga melibatkan sejumlah dana yang besar oleh bank pusat itu turut dipertikaikan oleh banyak pihak ketika itu termasuk media tempatan dan asing.

Langkah tersebut dikatakan bertentangan dengan apa yang lazimnya dilakukan oleh bank-bank pusat lain diseluruh dunia.

Seperti yang diketahui umum, peranan bank pusat di sesebuah negara lebih tertumpu kepada mengawal selia kegiatan yang dijalankan oleh institusi perbankan dan kewangan serta menguatkuasakan semua peruntukan di bawah undang-undang berkaitan.

Namun, BNM nampaknya bertindak melebihi amalan kebiasaan dengan menggunakan dana awam berjumlah berbilion ringgit untuk melakukan urus niaga mata wang asing.

P.Kanason Bekas Penolong Ketua Audit Negara
Bekas pegawai kanan Jabatan Ketua Audit Negara, P. Kanason yang terlibat secara langsung dalam proses audit urus niaga wang asing oleh BNM itu pernah mendapatkan pandangan daripada juruaudit di Lembaga Monetari Singapura.

Rakan-rakan sejawatnya di negara jiran itu seterusnya mengingatkan Kanason tentang risiko yang bakal dihadapi sekiranya berlaku masalah dalam urus niaga berkenaan.

Apa yang mereka bimbangkan itu benar-benar berlaku pada 1988, 1989, 1991, 1992, 1993 dan 1984. BNM mengalami kerugian lebih RM30 bilion akibat urus niaga mata wang asing.

Ketika memberi keterangan dalam prosiding pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar 1990-an di Putrajaya. Kanason turut menyatakan beliau telah berusaha mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara.

Tan Sri Ainum Mohamed Saaid
Cuma, kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila Kanason menghubungi Tan Sri Ainum Mohamed Saaid yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara ketika itu.

Dalam perbualan telefon itu, Ainum memberitahu Kanason : “Orang atasan cakap jangan campur tangan”.

  Siapakah individu yang digelar ‘orang atasan’ tersebut dan adakah beliau terlalu berkuasa sehingga boleh memberi arahan kepada Jabatan Ketua Audit Negara supaya tidak bertanya lagi tentang urus niaga mata wang asing oleh BNM?
Tidak diketahui sama ada ‘orang atasan’ berkenaan mempunyai kaitan dengan dalang di sebalik skandal yang menyebabkan BNM mengalami kerugian besar.

Identiti individu terbabit dianggap satu misteri yang hanya boleh dirungkai oleh mereka yang mengenalinya dan ada kemungkinan Ainum boleh menjawab persoalan itu sekiranya beliau dipanggil untuk memberi keterangan dihadapan RCI.

No comments:

Post a Comment