Wednesday, 18 March 2020

COVID-19 : DUA ASAS UTAMA KOMUNIKASI DAN KOORDINASI WAJIB BERFUNGSI KETIKA KRISIS

Kami berpandangan dalam menghadapi sesuatu krisis, dua asas utama yang wajib berfungsi dengan berkesan iaitu komunikasi dan koordinasi.
Apabila salah satu tidak berfungsi dengan baik akan tercetuslah suasana haru-biru, bahkan sebaliknya kemudaratan pula yang bakal melanda hingga menyusahkan rakyat
Contoh terbaik berlaku dalam krisis COVID-19 kini. Apabila diumumkan penutupan kampus-kampus univesiti, berkejar pelajar-pelajar universiti membeli tiket bas. Tiba-tiba polis pula mengumumkan keperluan untuk dapatkan permit pergerakan ke luar sempadan atau balik kampung.
Kementerian Kesihatan pula tidak galakkan keluar kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Arahan itu memang wajar untuk menangkis penularan wabak tersebut ke tempat lain atau dari tempat lain.
Akhirnya balai polis pula menjadi kawasan berisiko tinggi terdedah kepada wabak COVID-19 lantaran kebanjiran orang ramai hendak dapatkan permit keluar kawasan atau balik kampung.
Malam tadi dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah menarik balik arahan untuk orang ramai mendapatkan surat perlepasan untuk keluar kawasan, selepas beberapa jam di sebelah petangnya menggesa orang ramai berbuat demikian.
Ekoran arahan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, tular di media sosial orang ramai membanjiri balai polis hingga menimbulkan kesesakan di beberapa lokasi terutama sekitar Lembah Klang.
Ini jelas menampakkan tidak ada koordinasi di antara pihak-pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan PDRM. Arahan yang dikeluarkan adalah tepat dan wajar dilaksanakan demi membasmi penularan wabak COVID-19 yang dialami negara sekarang.
MKN pihak berkuasa yang bertanggungjawab gagal mengkoordinasikan pelaksanaan arahan ini kepada PDRM. PDRM pula mengandaikan mereka mampu melaksanakannya tanpa mengambil kira masalah sampingan iaitu kebanjiran ramai permohonan-pemohon keluar kawasan di balai-balai Polis.
Memandangkan arahan sekatan ke luar kawasan amat penting untuk menyekat penularan wabak COVID-19, ia tidak wajar ditarik balik begitu sahaja. Sudah tentu ia ada penyelesai yang lain, seperti permohonan atau kelulusan dibuat secara atas talian. Itu lebih masuk akal daripada menarik balik atau membatalkannya.
Satu lagi masalah isu kommunikasi dan koordinasi mungkin dihadapi dalam operasi membawa balik rakyat Malaysia di seberang laut. Setakat ini pelaksanaan tidak begitu jelas siapa yang akan dibawa balik. Adakah semua atau mereka yang ada kaitan dengan isu wabak COVID-19 akan dibawa balik.
Jika dalam isu yang ada kaitan COVID-19 sudah tentu ia merangkumi tiga kategori, iaitu mereka yang positif, mereka disyaki positif (perlu dikuratin) dan mereka yang negatif COVID-19.
Daripada ketiga-tiga kategori tersebut, adakah semua akan dibawa pulang atau hanya yang negatif COVID-19 sahaja demi menyelamatkan mereka dari wabak di negara berkenaan?
Demi mengelakkan risiko jangkita kepada orang lain semasa dalam penerbangan,  di lapangan terbang KLIA dan di negara ini sendiri, adalah wajar hanya yang negatif COVID-19 sahaja diberi keutamaan dibawa pulang terlebih dahulu.
Yang positif dan disyaki positif COVID-19 perlu dirawat dan dikuratin di negara berkenaan. Mereka hanya akan dibawa balik setelah menjalani rawatan atau menjalani kuratin hingga sembuh.
Justeru itu, kami memohon agar Majlis Keselamatan Negara dapat bertindak dengan segera memantapkan koordinasi dan komunikasi bersama-sama dengan semua Kementerian dan Agensi sebelum suasana menjadi lebih buruk dan rakyat menjadi mangsa keadaan.
Dalam pada itu juga, kami turut menggesa agar pihak berkaitan memastikan kafe, kantin dewan-dewan makan di kampus-kampus tidak ditutup sepanjang 14 hari ini bagi menampung pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.
Untuk rekod, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang medianya pada Isnin malam berkata kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, mulai hari ini hingga 31 Mac ini yang meliputi seluruh negara

No comments:

Post a Comment