Monday, 19 June 2017

DOJ PERLU MENDEDAHKAN IDENTITI PENGADU YANG MENCETUSKAN SAMAN SIVIL BERKAITAN 1MDB.

Siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkenaan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) dipercayai dicetuskan oleh pengadu yang majoritinya terdiri daripada rakyat tempatan yang mempunyai agenda politik jahat terhadap kerajaan.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang percaya pengadu terbabit merupakan rakyat Malaysia.

Berikutan itu, beliau menegaskan DOJ perlu mendedahkan identiti pengadu tersebut kerana Malaysia berhak mengetahuinya.

“DOJ perlu mendedahkan identiti mereka supaya Malaysia dapat mengesahkan kaitan pengadu tersebut dengan agenda parti pembangkang bagi mengguling Perdana Menteri dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi”, katanya dalam satu kenyataan di sini pada 18 Jun 2017.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, 1MDB bukanlah pihak yang disaman dalam saman sivil difailkan oleh DOJ.

Beliau juga memberitahu, berdasarkan fakta, aset yang didakwa oleh DOJ diperoleh daripada sumber yang salah dan mahu dilucut hak adalah dibeli oleh entiti yang tidak dimiliki atau dikawal mahupun berkaitan dengan 1MDB.

“Ketika kita memahami DOJ mempunyai hak memfailkan saman sivil itu, adalah penting untuk setiap saman berlandaskan kepada fakta yang boleh dibuktikan dan bukan berpegang kepada kenyataan retorik tanpa asas serta mempunyai niat tidak baik.

“Apa yang lebih penting, dakwaan yang dibuat DOJ perlu dibuktikan di mahkamah sebelum boleh diterima sebagai fakta”,jelas beliau.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, Malaysia tidak memerlukan campur tangan pihak asing untuk menyelesaikan masalah 1MDB termasuk DOJ.

Katanya, bukan lagi rahsia bahawa tindakan tidak profesional dan rasional DOJ itu didorong konspirasi dirancang pembangkang sedangkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah berulang kali menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat dalam penyelewengan itu.

“Tindakan DOJ ini satu konspirasi untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak perlukan campur tangan asing bagi menyelesaikan masalah 1MDB tersebut.

“DOJ bukan sahaja bertindak melulu bahkan juga menuduh tanpa usul periksa. Tidak ada sebab untuk kita mempercayai kenyataan dikeluarkan DOJ”, katanya.

No comments:

Post a Comment