Monday 26 June 2017

LEBIHAN BAYARAN SEBANYAK 400 PERATUS PROJEK JALAN : GUAN ENG DITUNTUT BERI PENJELASAN.

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Pengarah Strategik Dan Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Rahman Dahlan meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberikan penjelasan berhubung tindakan kerajaan Pulau Pinang yang membuat pembayaran yuran perunding terhadap projek pengubahsuaian tiga jalan yang didapati empat kali lebih mahal daripada jumlah kos sebenar yang dinilai oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM)

Menurut Rahman, LJM mengatakan bahawa kos yuran perunding perkhidmatan kejuruteraan sehingga peringkat rekabentuk terperinci hanyalah RM41 juta tetapi kerajaan negeri Pulau Pinang telah membelanjakan sebanyak RM208 juta yang dibayar kepada syarikat yang telah diberikan projek tersebut.
“Kita nak tanya kerajaan Pulau Pinang, mengapa mereka bersetuju untuk membayar jumlah yuran pelan dan rekabentuk yang 400 peratus lebih tinggi daripada harga yang berikan oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang mana lebihan bayaran tersebut dianggarkan sebanyak RM136 juta
“Jumlah ini adalah lebih tinggi daripada jumlah yang dibelanjakan oleh kerajaan Dap Pulau Pinang dalam usaha mengatasi banjir sejak 2008 yang hanya menelan belanja sebanyak RM 100 juga, sepertimana yang diumumkan oleh Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada Novermber 2016 yang lalu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada dalam satu sidang media bertempat di Cyberjaya di sini hari ini.
Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Timbalan Pengarah Strategik dan Komunikasi BN, Datuk Eric See To.
Tambah Rahman lagi,  begitu juga dengan kos konsultasi yang begitu tinggi untuk projek jalan dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang  yang hanya sepanjang 10.53 kilometer sebanyak RM120.4 juta, 10 kali ganda daripada jumlah maksimum yang dibenarkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia.
“Kita mahu Ketua Menteri Pulau Pinang jelaskan mengapa kos untuk konsultasi jalan yang hanya 10.53 kilometer dibayar dengan begitu tinggi iaitu 32 peratus daripada jumlah kos pembinaan keseluruhannya, RM 337.6 juta.
“Rakyat mahu tahu,  mengapa konsultasi untuk pembinaan jalan yang hanya 10.53 kilometer itu lebih tinggi daripada jumlah yang dibayar untuk khidmat konsultasi pembinaan terowong bawah laut yang lebih mahal dan berisiko tinggi, iaitu hanya sebanyak RM96 juta sahaja”, tegasnya.
Beliau seterusnya menambah rakyat mahu tahu, bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran Dap telah membelanjakan sebanyak RM210  hanya untuk kertas kerja bagi 20 kilometer jalan raya, bersamaan 11 juta bagi satu kilometer yang kini telah bertangguh pelaksanaannya selama tiga tahun.
“Sebagai perbandingan untuk semua, kerajaan BN telah membelanjakan hanya RM230 untuk pembinaan sepenuhnya Jambatan Batang Sadong yang merupakan jambatan terpanjang di Sarawak di mana ianya telah pun siap beroperasi pada tahun lepas,” katanya.
Rahman turut mempersoalkan lagi mengapa projek-projek tersebut sehingga kini masih belum bermula, sedangkan pembayaran penuh telah pun dibuat kepada syarikat yang diberikan tender untuk melaksanakan projek tersebut.
“Sudahlah kosnya lebih tinggi dari yang sepatutnya, projek ini sampai sekarang masih belum bermula. Sedangkan pembayaran terhadap syarikat yang diberikan tender melalui proses pembelian tanah dan sebagainya, telah pun dilangsaikan oleh kerajaan negeri.
“Selain daripada yuran perkhidmatan perunding kejuruteraan dan konsultasi yang berkali lipat  ganda lebih tinggi dari nilai sepatutnya, kita juga nak tanya pada Guan Eng mengapa projek yang sudah pun dibayar langsai itu sehingga ke hari ini masih belum dimulakan sehingga ke hari ini,” ujarnya.
Menurut Rahman, sekiranya Guan Eng gagal untuk memberikan penjelasan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan itu, beliau tidak teragak-agak untuk membawa perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
“Tetapi hari ini, kita tidak mahu buat laporan kepada SPRM dulu. Kita mahu tahu apa jawapan Guan Eng berhubung perkara ini. Kita bagi beliau peluang untuk menjawab dan merungkai segala persoalan ini.
“Kita bagi beliau tempoh selama seminggu untuk jawab perkara ini. Jika Guan Eng masih berdiam diri dan tidak mahu menjawab segala persoalan berhubung perkara itu, barulah kita bawa perkara ini kepada pihak SPRM untuk siasatan lanjut,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment