Saturday 17 June 2017

SETIAUSAHA AKHBAR PM MEMPERSOALKAN KENYATAAN TERKINI DOJ KE ATAS 1MDB.



Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat masih gagal memohon kerjasama kerajaan Malaysia dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum memfailkan tindakan sivil rampasan aset yang didakwa berkaiatan 1 MDB.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, perkara itu berlaku walaupun kerajaan Malaysia telah memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan penyiasatan terhadap mana-mana syarikat atau warganya mengikut protokol undang-undang antarabangsa.

“Kami mengambil berat tentang perkara ini di mana sekali lagi DOJ telah gagal untuk mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Malaysia, 1MDB atau syarikat Malaysia yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia juga memandang berat terhadap penamaan yang tidak sepatutnya dan tanpa sebab terhadap perkara dan individu tertentu dalam saman sivil terbaharu yang difailkan oleh DOJ itu.

Katanya, tindakan tersebut sebenarnya hanya memberikan peluang kepada pihak-pihak tertentu untuk manipulasi dan menggangu situasai politik dalam negara ini.

“Ini menunjukkan motivasi yang melampaui matlamat, untuk merampas aset,” katanya.

Tambah beliau, terdapat banyak siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung isu 1MDB termasuk siasatan yang dijalankan oleh badan-badan bebas seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),namun tiada sebarang unsur jenayah ditemui.

“1MDB masih subjek siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jika terdapat bukti salah laku, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,”ujarnya.

Katanya, kerajaan Malaysia juga mengambil perhatian mengenai kenyataan akhbar DOJ yang menyatakan aduan rampasan harta itu hanya dakwaan bahawa wang dan harta terlibat dalam kegiatan jenayah dan ia tidak dibuktikan sehingga mahkamah memberikan penghakiman yang menyebelahi Amerika Syarikat(AS).

“Malaysia tegas menyokong ketelusan dan tadbir urus yang baik termasuk memastikan segala dakwaan mempunyai asas dalam fakta berbanding tuduhan daripada lawan politik,”katanya.

Dalam pada itu, 1MDB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai tuntutan sivil difailkan oleh DOJ terhadap aset tertentu 1MDB.

“1MDB ingin menekankan bahawa 1MDB bukan merupakan pihak yang dinamakan dalam saman sivil tersebut dan tidak pernah dihubungi oleh DOJ berhubung perkara ini.

“Malah, tuntutan mahkamah sivil tidak mengandungi sebarang lampiran dengan bukti atau saksi penyata dokumen untuk menyokong dakwaan yang dibuat oleh DOJ,”kata kenyataan itu.  

No comments:

Post a Comment