Sunday, 27 October 2019

PUTRAJAYA BERISIKO LANGGAR UNDANG-UNDANG KERANA PINJAMAN MELEBIHI HAD YANG DITETAPKAN - NAJIB RAZAK

Najib Razak berkata, pentadbiran Pakatan Harapan berisiko melanggar undang-undang kerana cuba mendapatkan pinjaman bagi membiayai perbelanjaan kerajaan persekutuan.
Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan persekutuan dilarang undang-undang untuk meminjam wang apabila hutang negara melebihi had statutori nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 55%.
Undang-undang itu adalah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.
“Bagaimanapun, kerajaan PH seolah-olah tidak peduli tentang kewujudan akta-akta ini,” tulisnya di Facebook hari ini.
Bekas perdana menteri itu memetik satu laporan agensi penarafan antarabangsa, Moody’s yang nisbah hutang kepada KDNK akan mencecah 55% menjelang akhir tahun ini dan melepasi 55% tahun depan.
“Pada paras ini, hutang kekal tinggi berbanding unjuran median penarafan A pada 37.6% bagi 2019, menunjukkan kekangan fiskal sebagai cabaran kredit utama bagi Malaysia,” katanya memetik Moody’s.
“Ini bermakna kerajaan PH dijangka melanggar undang-undang kerajaan sendiri tahun depan, apabila ianya melebihi had statutori 55% ini.
“Ini juga bermakna kerajaan PH tidak akan ada ruang untuk merangsang dan menyelamatkan ekonomi, jika negara dilanda krisis ekonomi.”
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, nisbah hutang meningkat begitu pantas di bawah pentadbiran PH, di mana hutang negara mencecah RM810 bilion sekarang berbanding RM686.8 bilion pada akhir 2017 ketika pemerintahan Barisan Nasional.
Katanya, kerajaan BN berjaya menurunkan nisbah hutang kepada 48.7% pada suku pertama 2018, tetapi di bawah PH, kadar itu meningkat kepada 52.7% pada suku kedua 2019 dan ia terus meminjam pada suku ketiga tahun ini.
Tapi apa dia kisah?
“Masa kita dilanda krisis teruk dan kerajaan tidak dapat menyelamatkan negara, mereka masih boleh menyalahkan BN atau saya.
“Rakyat tetap akan percaya, walaupun saya dan syarikat-syarikat penarafan antarabangsa berulang kali memberi amaran kerajaan PH sering gagal capai sasaran sendiri dan kuat meminjam pada kadar jauh lebih pantas daripada kerajaan BN dahulu.”

No comments:

Post a Comment