KUALA LUMPUR, 15 Okt – Seramai 42 pihak yang menerima kompaun daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan notis yang diberikan agensi berkenaan dibawah Seksyen 91/1 AMLATFPUAA melantik peguam dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mewakili kumpulan berkenaan berkata laporan polis yang akan dibuat itu bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung beberapa perkara yang berkaitan.
“Antara sebab tidak puas hati ialah wang yang diterima daripada presiden parti dan juga perdana menteri pada ketika itu pada tahun 2012 dan 2013, wang yang diterima itu dana politik, dan dalam peraturan serta undang-undang Malaysia dana politik dibenarkan dan tidak salah.
“Keduanya kami tidak tahu pun wang itu ada kaitan dengan 1MDB, misalnya pada 2012 mana ada lagi kes itu dan kita difahamkan dana 2.6 bilion yang ada dalam akaun Datuk Seri Najib dan kemudian dipulangkan itu pun dimasukkan pada bulan Mac 2013 bukannya tahun 2012,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Selain beliau, Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad dan pimpinan Ketua UMNO bahagian, parti-parti komponen BN dan beberapa pihak lain turut serta pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, semalam.
Seterusnya tambah Ahmad lagi, nilai yang dikenakan ada yang digandakan dan majoriti digandakan 2.5 kali ganda.
“Jika ada kumpulan kami ini menerima RM1 Juta digandakan tawaran menerima kompaun itu menerima 2.5 juta. Ada yang RM50,000 pun sama dan ada yang RM100,000. Seterusnya satu lagi sebab yang kami tidak puas hati yang menyebabkan kami akan membuat laporan polis ialah kerana kes SRC dan 1MDB masih lagi berjalan dan oleh kerana masih berjalan maka pada pandangan kami apa yang dibuat oleh SPRM ini mempunyai unsur subjudis dan ‘melebihi kuasa’ atau ‘ultra vires’ mengikut istilah undang-undang.
“Jadi kenapa pihak SPRM telah menuduh kami walhal kes itu masih lagi dibicarakan di mahkamah. Satu lagi kami tidak puas hati kerana dalam perbicaraan SRC misalnya, disebut oleh saksi SPRM sendiri dan juga saksi AmBank, ratusan juta duit yang masuk dalam akaun yang dikaitkan itu adalah dana daripada kementerian kewangan Arab Saudi
“Dengan lain perkataan kami adalah orang-orang yang amat tidak berpuas hati dan dalam lain perkataan kami terasa diugut serta dianiayai dengan apa yang berlaku. Jadi antara nasihat peguam kepada pihak kami ialah mereka akan memfailkan ‘judicial review’ atau semakan penghakiman,” katanya.
Tambahnya lagi pihaknya bertindak secara berjemaah dan seterusnya berazam untuk menghentikan supaya tidak lagi berlaku ugutan serta penganiayaan dan rasa tidak puas hati yang sama kepada senarai-senarai yang disebut akan dikeluarkan lagi oleh pihak SPRM.
No comments:
Post a Comment