KUALA LUMPUR, 10 Okt – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata seharusnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunggu sehingga pihak mahkamah membuat keputusan yang muktamad tetapi sebaliknya mereka bertindak unilateral dengan memilih membuat tekanan dan intimidasi berbaur politik.
Bidasnya, tindakan berpilih sangat menjejaskan integriti SPRM itu sendiri.
“Difahamkan, kini menjadi satu pendekatan kepada SPRM untuk bertindak secara berpilih dan berbaur politik dengan motif membantu Pakatan Harapan (PH) dalam perang persepsi terhadap UMNO, PAS dan pembangkang yang lain.
“Dikatakan juga pendakwaan atas kes-kes yang sudah ditutup, yang samar, yang lemah kiranya ia melibatkan pemimpin pembangkang yang enggan melompat atau menyokong kepimpinan kerajaan sedang diatur,” katanya dalam satu catatan di Facebook miliknya.
Annuar berkata demikian ketika mengulas mengenai lebih dari 40 Bahagian-bahagian UMNO, sayap dan individu parti telah menerima notis tawaran kompaun dua setengah kali ganda jumlah terima yang disampaikan SPRM atas arahan Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya.
Dilaporkan, mereka terbabit diberi tempoh 14 hari untuk membuat bayaran kepada SPRM atas dasar SPRM yang berpendirian bahawa wang yang penama pernah terima daripada Presiden UMNO ketika itu Datuk Seri Najib Razak (DSNR) adalah wang milik 1MDB.
“Hal ini menimbulkan tanda tanya tentang integriti pihak badan penyiasat kerana bagaimana pihak yang menyiasat boleh mendahului mahkamah.
“Belum ada satu mahkamah pun yang memutuskan bahawa wang akaun DSNR itu wang 1MDB.
“Malah dalam perbicaraan yang sedang berjalan pun kita dengar pengakuan dan pengesahan bahawa wang dalam akaun tersebut datangnya antara lain dari Kementerian Kewangan Kerajaan Arab Saudi dan juga dari Sumbangan Putera Turki Raja Abdul Aziz,” jelasnya.
Tambah Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, terdapat juga maklumat yang mengatakan sejumlah besar dari dana dalam akaun itu dikembalikan kepada sumber asal iaitu kepada Kerajaan Arab Saudi dan Putera Turki Raja Abdul Aziz.
Itulah keterangan setakat ini daripada sama ada saksi pendakwa atau pembela dalam perbicara yang sudah berakhir iaitu kes SRC International. Dan bagi perbicaraan 1MDB walaupun sedang berjalan sekarang, setakat ini tidak ada isu pengagihan wang 1MDB disebut oleh mana-mana pihak dalam perbicaraan tersebut seperti yang didakwa oleh SPRM.
Dengan itu jelas di sini dilihat tindakan SPRM itu merupakan satu tindakan yang melulu serta berniat jahat yang mana ia prejudis kepada kes tersebut. Ini memandangkan kedua-dua kes tersebut (walaupun kes SRC International telah pun selesai tetapi hakim belum buat keputusan) dan yang sedang berjalan sekarang ( kes 1MDB).
“Jadi bagaimana mungkin dana yang UMNO Bahagian dan lain-lain terima dikatakan datang dari 1MDB.
“Malah sewaktu dana diterima sekitar 2012 dan 2013 istilah 1MDB jarang disebut dan tidak diketahui kewujudannya oleh penerima yang kebanyakannya memohon bantuan dari presiden parti,” katanya.
Justeru itu tegasnya, pendekatan SPRM telah meletakkan mereka pada imej yang paling rendah dalam sejarah Malaysia, di bawah kerajaan PH.
“SPRM dilihat menjadi ‘political tool’ dan sedang diperalatkan.
“Ini pastinya menambah buruknya prestasi serta wibawa kerajaan PH itu sendiri,” bidasnya.
Apa pun pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini masih mempunyai hak untuk melaksanakan undang-undang dengan membuat ‘saman sivil’ terhadap SPRM sebagai responden pertama dan kerajaan PH sebagai reponden kedua. Atas kegagalan saman sivil, pihak-pihak yang terlibat masih ada lagi mempunyai hak untuk membuat ‘Semakan Kehakiman’ atau ‘Judiciary Review’ di mahkamah. Ini untuk memastikan sama ada apa yang dilakukan oleh SPRM itu betul atau tidak.
Ini merupakan satu acara untuk mengajar kerajaan PH amnya dan SPRM khasnya bagaiman untuk laksanakan ‘Rules of Law’ untuk menegakkan keadilan.
No comments:
Post a Comment