Dalam mengkaji sejarah politik, sama sekali tidak boleh dilupakan bagaimana Perdana Menteri Singapura yang juga merupakan Setiausaha Agung PAP, mendiang Lee Kuan Yew menarik sokongan orang Melayu dengan memakai songkok.
Sokongan masyarakat pribumi ternyata amat diperlukan, oleh itu, tidak menghairankan untuk melihat segala pendekatan digunakan semata-mata bagi menarik sokongan.
Membandingkan perkara tersebut di Malaysia, parti DAP yang lahir daripada PAP, tidak terkecuali dilihat bersungguh-sungguh mengumpan sokongan masyarakat Melayu dalam setiap kali pilihan raya umum.
Dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin dihampiri, DAP sudah sampai ke peringkat sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih kuasa termasuk memperalatkan pemimpin-pemimpin Melayu yang terdesak serta kecewa atas kepentingan peribadi dan mengetepikan logo roket miliknya dan mengambil logo PKR.
Matlamat paling besar DAP pada masa ini sudah tentunya adalah memerangkap pengundi-pengundi Melayu kepada gabungan pembangkang PKR ekoran keyakinan parti itu dapat menawan majoriti pengundi kaum Cina.
Begitupun, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu wajar sedar DAP penuh dengan sandiwara. Parti itu sama sekali tidak akan memisahkan dirinya dengan agenda perkaumannya dalam dasar Malaysian Malaysia bagi menyamaratakan dan bukannya kesaksamaan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Dengan segala keputusan penting gabungan pakatan itu akan ditentukan oleh DAP, parti-parti lain terpaksa tunduk akur kepada kehendak DAP sebagaimana yang pernah berlaku semasa kerajaan negeri Perak dikuasai pakatan pembangkang pada tahun 2008 hingga 2009.
Begitu juga kerajaan negeri Selangor sekarang. Walaupun mempunyai Menteri Besar seorang Melayu tetapi kuasa di sebalik Dewan Undangan Negeri Selangor ialah DAP sebab mempunyai lebih kerusi daripada PKR. Semua dasar pentadbiran negeri Selangor ditentukan oleh DAP.
Selain itu, DAP juga memiliki rekod kebiadaban dan keangkuhan sebagaimana pernah ditunjukkan wakil-wakil rakyatnya yang enggan mengenakan pakaian rasmi dan songkok dalam upacara pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Meskipun simbol roket mungkin tidak kelihatan, menyerahkan negara kepada lambang mata lebam PKR itu adalah sama dengan menyerahkan kuasa negara ini kepada DAP. Demi mendapatkan kuasa, DAP sanggup melakukan apa sahaja, iaitu matlamat menghalalkan cara.
Kesimpulannya, orang Melayu sama ada yang mengundi calon PKR atau calon PPBM (walaupun sudah diharamkan) atau PAN (sayap Melayu DAP) samalah memberi kuasa kepada DAP. Apabila DAP berkuasa sudah tentu orang Melayu akan merempat di tanah air sendiri, dipinggirkan serta diperkotak katikan. Contoh yang terdekat sila lihat macam mana orang Melayu di Pulau Pinang, tanah mereka dirampas, dihalau keluar daripada pulau (secara tersirat) ke tanah besar Seberang Perai dan lain-lain negeri.
No comments:
Post a Comment