Wednesday, 18 April 2018

RAMPASAN KAPAL MEWAH EQUANIMITY TIDAK SAH

Mahkamah Indonesia memutuskan rampasan kapal mewah Equanimity yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai tidak sah dan dibuat tanpa asas undang-undang.

Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, Ratmoho dalam penghakimannya berkata, rampasan itu sepatutnya dilakukan di bawah rangka kerja bantuan perundangan antara pihak terlibat seperti yang ditetapkan dalam undang-undang 2006, yang memberi mandat kepada Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia, bukan pihak polis.

Beliau memutuskan rampasan yang dilakukan oleh polis Indonesia sebagai tidak sah dan tidak berasas.

Kapal mewah didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low itu dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada Februari lalu kerana dipercayai dibeli menggunakan dana yang didakwa diseleweng.

Polis Indonesia juga mengesahkan berita penemuan wang tunai bernilai RM1 bilion dalam kapal Equanimity yang dirampas itu adalah berita palsu.

Timbalan Pengarah Direktorat Jenayah Ekonomi Khas, Persuruhjaya Tinggi Polis Indonesia, Daniel Silitingo berkata, tiada sebarang wang tunai yang ditemukan sepanjang proses pencarian bukti di dalam kapal mewah tersebut.

Berita penemuan wang tunai tersebut tular dalam media sosial selepas pihak berkuasa Indonesia merampas kapal tersebut dan isu itu dipolitikkan oleh pihak pembangkang dan mengaitkan dengan dana yang diseleweng daripada syarikat 1MDB.

Dalam pada itu, Ratmoho berkata, tiada keputusan mahkamah menunjukkan bahawa pemilik kapal mewah itu melakukan jenayah.

“Jika kesalahan itu tidak dapat dibuktikan, maka rampasan juga tidak seharusnya berlaku,” kata beliau.


No comments:

Post a Comment