Barisan Nasional (BN) Johor hari ini mencabar pembangkang supaya menunjukkan data empirikal berhubung dakwaan BN berkemungkinan hilang kuasa di empat negeri termasuk Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dakwaan tersebut merupakan perang psikologi yang dimainkan pembangkang, namun sebagai parti yang berpengalaman, BN dan UMNO tidak akan termakan dengan perang psikologi itu.
“Kepada mereka yang pasang angan-angan, jangan anggap kita (BN) tidak akan lawan dengan mereka. Apabila mereka kata hendak tawan Johor, cuba tunjukkan dengan data empirikal kalau mereka kata bahawa mereka boleh tawan Johor.
“Kalau dia (pembangkang) kata boleh tawan Johor, beritahu saya kerusi mana yang dia akan tawan? Permas, Semarang, Mahkota, Kemelah? Kita ada jentera dan data, tapi kita tidak mahu kongsi, buat apa kita hendak beritahu kekuatan kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin yang mendakwa terdapat kajian yang BN berkemungkinan hilang kuasa di empat negeri – Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah – pada PRU14 berdasarkan beberapa perkembangan semasa.
Mohamed Khaled berkata perpaduan BN Johor sangat kukuh, malah yakin dapat merampas kerusi yang dikuasai pembangkang di negeri ini.
“Bila sampai masa, saya akan beritahu prestasi wakil rakyat pembangkang. Kita ada data siapa yang paling rendah prestasi perkhidmatan dia. Bila kita ukur prestasi wakil rakyat BN, kita tidak hanya hadkan pada BN sebab rakyat hendak tahu.
“Kita boleh kata, secara keseluruhan, prestasi wakil rakyat BN adalah lebih baik daripada pembangkang,” katanya.
Mengenai mesyuarat hari ini, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata pihaknya berpuas hati dengan persiapan di peringkat UMNO Bahagian dalam menghadapi PRU14.
“Kita sekarang dalam proses untuk memantapkan dan memastikan jentera parti dan isu-isu yang dihadapi dapat diselesaikan atau diminimakan. Jadi, kita berbincang mengenai pelbagai pendekatan dan peranan patut dimainkan BN peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Mohamed Khaled berkata kira-kira 100,000 jentera BN Johor juga sudah disusun dan dimantapkan bagi menghadapi PRU14.
Mengenai senarai calon yang bakal bertanding, beliau menegaskan ia adalah urusan pucuk pimpinan parti dan setiap pilihan raya pasti terdapat calon muka baharu yang akan ditampilkan parti.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Johor itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka melawat negeri ini, minggu depan.
“Kita akan menyambut kedatangan Perdana Menteri ke daerah Muar pada 9 Feb manakala Timbalan Perdana Menteri melawat negeri ini pada 10 dan 11 Feb. Selain memenuhi program yang disusun, ia juga memberi peluang kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri bertemu dengan rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment