Wednesday, 28 February 2018

PAKATAN HARAPAN SEMAKIN ‘MUFLIS’ MODAL POLITIK.



Agak melucukan apabila soal apa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak makanpun mahu dipolitikkan oleh Pakatan Harapan dikuasai DAP.

Kalau soal makanpun sudah jadi bahan politik terbuktilah pembangkang bukan lagi ketandusan isu tetapi telah sampai pada tahap ‘muflis’ dalam usaha mereka meracuni fikiran rakyat bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menjelang PRU-14 dan dalam usaha mencari modal memburuk-burukkan kerajaan, Pakatan Harapan semakin kelam-kabut. Ia memandangkan fitnah dan tomahan mereka tidak berhasil, ia ditambah pula sikap tenang Najib menghadapi serangan mereka.

Walaupun ‘diserang’ siang malam termasuk melalui media sosial mahupun portal berita pro pembangkang, Najib meneruskan tugas beliau seperti biasa. Keadaan itulah yang memungkinkan Pakatan Harapan yang cukup bernafsu untuk menang PRU-14 kali ini terpaksa ‘merangkul apa sahaja’ untuk dijadikan isu. Ibarat seorang yang hampir lemas di sungai, hingga sanggup mengapai apa sahaja, malah najis sekalipun yang terapung di permukaan sungai.

Bayangkanlah kalau seorang yang kononnya bertaraf negarawan pun turut mempolitikkan apa yang Perdana Menteri makan, susahlah Malaysia kalau pembangkang bersikap seperti itu. Namun begitu kita tidak perlu membuang masa melayan kejahilan Pakatan Harapan berpolitik. Biarlah rakyat sahaja menilai tahap pemikiran mereka.

Hakikatnya Pakatan Harapan semakin rimas. Kemelut dalaman khususnya melibatkan PPBM semakin serius. Pemilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara pula dilihat mula mewujudkan gelombang penolakan rakyat termasuk penyokong terhadap pakatan itu dan paling teruk ketika Pakatan Harapan menganggap mereka mahu menghapuskan kleptokrasi, negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka pula tercetus pelbagai isu berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan integriti.

Untuk menutup semua kelemahan dan kepincangan tersebut serta bagi melindungi ‘tengkorak buruk yang sedang memaparkan wajah sebenar’ mereka, maka isu remeh pun terpaksa digunakan bagi mengalih perhatian rakyat.

Malang sekali Malaysia ada gabungan pembangkang seumpama itu. Sepatutnya mereka membentangkan kepada rakyat apa agenda mereka untuk negara dan bagaimana mereka boleh menjadi lebih baik daripada kerajaan BN.

Tetapi sudah pastilah Pakatan Harapan tidak berupaya membentangkan agenda mereka. Ia kerana agenda mereka hanya satu iaitu memburu kuasa. Itu sahaja. Tambahan pula pengerusi mereka sendiri sudah menyatakan tidak mampu menunaikan janji-janji dalam manifesto yang mereka bentangkan. Kalau begitulah keadaannya, apa modal mereka ada untuk mempengaruhi rakyat? Modal mereka ialah tomahan dan fitnah serta mencari isu remeh untuk dipolitikkan.

Pakatan Harapan cuba memperbodohkan rakyat dengan isu yang tiada kaitan dengan usaha mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara. Kehadiran Dr. Mahathir dalam pakatan itu ternyata tidak membawa apa-apa faedah kepada harapan rakyat untuk melihat kewujudan barisan pembangkang yang rasional dan matang.
Sebaliknya rakyat terus dipaksa menyaksikan adegan, membaca kenyataan dan mendengar hujah-hujah memualkan oleh segerombolan ahli politik yang diresapi politik kebencian yang dibawa oleh Dr. Mahathir. Itulah Pakatan Harapan.




No comments:

Post a Comment