Saturday 24 February 2018

INJUNKSI SEMENTARA TERHADAP TONY PUA : PENGIKTIRAFAN KEHAKIMAN NAJIB TAK BERSALAH DALAM ISU 1MDB PERLU DITERIMA.

Mahkamah Rayuan perlu menerima pengiktirafan kehakiman tentang hakikat bahawa Peguam Negara telah membuat keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan sebarang kesalahan dalam isu 1MDB, kata seorang Hakim Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya.

Dalam penghakiman setebal 33 muka surat, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, dapatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tentang perkara itu dilapor secara meluas serta terkandung dalam domain awam yang tidak boleh sama sekali dipertikai.

Katanya, mahkamah itu berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi fakta atau undang-undang dalam menunaikan budi bicaranya mengenakan injunksi terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee atas alasan pembelaan dirinya (Tony Pua) tidak boleh berjaya dengan wujudnya bukti, terutama tentang keputusan Peguam Negara itu.

“Oleh itu, memang sewajarnyalah dakwaan bahawa dapatan itu bersifat jahat juga tidak harus dilayan sebagai satu pandangan serius,” kata beliau sambil menjelaskan bahawa fakta yang diberi pengiktirafan kehakiman itu wujud dalam rayuan Najib.

Beliau berkata, apabila sesuatu fakta diberi pengiktirafan kehakiman oleh mahkamah, tiada bukti perlu dikemukakan bagi membuktikan kewujudannya.

Hakim Yaacob adalah antara anggota panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 14 Februari lalu dan membuat keputusan tentang rayuan Tony Pua terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung saman fitnah difailkan Najib terhadapnya (Tony Pua).

Panel hakim itu menolak rayuan Tony Pua dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi kepada Najib injunksi sementara dua belah pihak terhadap Tony Pua berhubung satu klip video fitnah berkaitan pembentangan satu rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Dalam penghakimannya, Hakim Yaacob berkata, Seksyen 56 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan satu jendela perundangan, yang melaluinya, mahkamah boleh membuat keputusan untuk menerima pengiktirafan kehakiman tentang sesuatu fakta atau perkara, yang mana tiada pembuktian selanjutnya perlu dikemukakan bagi membuktikan kewujudannya.

Hakim Yaacob juga berkata, keputusan Peguam Negara itu terletak dalam rangka kerja Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Najib melunaskan syarat yang diwajibkan ke atasnya untuk diberi injunksi sementara terhadap Tony Pua sementara menunggu keputusan kes saman fitnahnya terhadap Tony Pua.

“Kami bersetuju sepenuhnya dengan hujah peguam yang arif bagi pihak plaintif (Najib) bahawa keseluruhan isu 1MDB telah diteliti dan disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dilantik Parlimen,” kata Hakim Yaacob.
Beliau berkata, siasatan juga dilakukan SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Peguam Negara (AGC), yang keputusannya diumumkan kepada orang ramai oleh AGC bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung dakwaan berkaitan 1MDB.

Yaacob berkata, dakwaan Tony Pua tentang kewujudan pakatan sulit antara Najib, Barisan Nasional (BN) dan PAS berkaitan RUU 355 adalah andaian semata-mata dan perkara itu terletak sepenuhnya pada kuasa mutlak dan budi bicara yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membuat keputusan tentang penerimaan dan urusan Dewan itu sama ada membenarkan atau menolak sesuatu rang undang-undang.

Kata hakim itu, setelah meneliti pembelaan diri Tony Pua, jelas didapati bahawa beliau bukannya pembuat dokumen berkenaan dan dokumen itu merupakan keterangan dengar cakap atau ‘here say’ yang tidak terdapat dalam pengetahuan peribadi Tony Pua.

Najib menyaman Tony Pua atas kedudukan peribadi beliau dengan mendakwa Tony Pua membuat kenyataan fitnah terhadapnya dalam video secara langsung berkaitan pembentangan RUU 355.

Perdana Menteri mendakwa klip video yang dimuat naik oleh Tony Pua atau ejennya dalam Facebooknya sepanjang dua minit, 21 saat bertajuk BN Government abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill, boleh diakses secara meluas dan percuma melalui internet.

Pada 21hb April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib bagi mendapatkan injunksi sebelah pihak untuk menghalang Tony Pua daripada terus menyiarkan perkataan yang sama atau serupa dan pada 4hb Ogos tahun lepas, Perdana Menteri juga diberi injunksi sementara dua belah pihak oleh Mahkamah Tinggi.

Perkembangan muktahir ini meramalkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai plaintif dijangkakan mampu memenangi kes saman fitnah beliau terhadap Tony Pua yang rata-rata berniat jahat.

Kesimpulannya manusia yang berniat jahat seperti Tony Pua hanya mampu merancang kejahatan beliau, tetapi hanya allah sahaja yang boleh menentukannya. Tetapi malangnya beliau bukan seorang Muslim untuk mempercayai nya maka beliau akan terus melakukan kejahatan sampai bila-bila. 

No comments:

Post a Comment