Wednesday 28 February 2018

DR MAHATHIR DAN KHAIRUDDIN GAGAL MENYAMAN NAJIB.


Tun Dr. Mahathir Mohamad dan satu pihak lagi terlepas segala peluang untuk menyaman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan melakukan salah laku dalam pentadbirannya berkaitan kes 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

Perkara tersebut ditentukan selepas Mahkamah Persekutuan berpuas hati terhadap tafsiran undang-undang yang menyatakan Perdana Menteri tidak boleh disaman kerana beliau merupakan anggota pentadbiran Persekutuan, bukan penjawat awam.

Selain Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri serta Setiausaha Politik juga tidak boleh disaman kerana mereka merupakan anggota pentadbiran Persekutuan dan tidak termaktub di bawah definasi penjawat awam.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif sebulat suara menolak permohonan Dr. Mahathir dan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk kebenaran merayu.

Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang bersandarkan kepada tafsiran Perlembagaan Persekutuan ketika memutuskan Najib tidak boleh disaman atas alasan beliau bukan penjawat awam, dikekalkan.

Kuorum berkenaan turut berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan tidak melepasi aras jangkaan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 yang membolehkan kebenaran merayu diberikan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Aziah Ali juga memerintahkan kos RM20,000 dibayar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kedua-duanya memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka dan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman terhadap Najib.

Panel itu menetapkan 16 April ini bagi mendengar permohonan peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla yang mewakili ketiga-tiganya, menarik diri daripada mewakili Anina.

No comments:

Post a Comment