Tuesday 20 February 2018

ISU TANAH IJOK PENEROKA TERANIAYA, AZMIN IBARAT ‘LEPAS TANGAN’.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini didakwa dipersoal apabila ibarat ‘lepas tangan’ berhubung isu bayaran pampasan kepada peneroka tanah di mukim Ijok, di sini yang diberi mengikut nilai hartanah lebih 15 tahun lepas.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata ini kerana Mohamed Azmin dilihat menyerahkan sepenuhnya kuasa rundingan penjualan tanah tersebut kepada syarikat pemaju terlibat sedangkan ia sewajarnya dilakukan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata bayaran pampasan sebanyak RM180,000 dan sebuah rumah bernilai RM250,000 bagi setiap 980 peneroka itu dilihat tidak sepadan memandangkan syarikat pemaju tersebut mengaut keuntungan apabila menjual tanah kepada pihak ketiga pada harga RM1.18 bilion, mengikut nilai hartanah semasa.
Difahamkan RM421.4 juta pampasan tanah dan rumah telah dibayar kepada 980 peneroka tersebut dan berbaki RM758.6 juta. Sekarang di manakah baki wang tersebut?
“Pampasan yang dibayar kepada peneroka itu mengikut nilai lama, nilai tanah pertanian malah kalau mengikut undang-undang, jika pemaju lambat menyiapkan projek pembangunan, sepuluh peratus penalti mesti dibayar kepada peneroka tanah.
“Saya difahamkan dua pemaju yang gagal bangunkan tanah ini menentukan sendiri kepada siapa tanah ini perlu dijual. Sudahlah pemaju lama bermasalah, kerajaan negeri pula serah rundingan (penjualan tanah) dengan pihak ketiga kepada pemaju tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Noh berkata tindakan Mohamed Azmin yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menyelesaikan isu berkaitan tanah kepada syarikat-syarikat pemaju itu menggambarkan kelemahan kerajaan negeri pimpinannya.
Malah katanya, Timbalan Presiden PKR itu juga tidak sepatutnya menyalahkan Menteri Besar terdahulu berhubung isu tanah di mukim Ijok berkenaan kerana usaha pemimpin sebelumnya adalah berlandaskan kepentingan rakyat dan bukan seperti tindakan Mohamed Azmin, yang diibarat ‘ada udang di sebalik batu’.
Noh mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini yang mendesak menteri besar itu memberi penjelasan berhubung tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pada 2016.
Abdul Rahman berkata tindakan itu menjadi persoalan kerana keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memihak kepada kerajaan negeri pada 2013 dan 2014 dalam kes mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat berkenaan.
Beliau dilapor mempersoal justifikasi Mohamed Azmin tidak menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan memandangkan kerajaan negeri Selangor telah menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

No comments:

Post a Comment